Jun 28, 2024

TOURISM MALAYSIA LANCAR PAKEJ AGROPELANCONGAN DURIAN TOURISM 2024/2025

LENGGENG, 27 Jun 2024 – Dalam usaha merancakkan lagi sektor pelancongan negara, Tourism Malaysia hari ini melancarkan sebanyak 62 pakej agropelancongan Durian Tourism 2024/2025 bagi memeriahkan serta mempromosikan musim durian di Malaysia menerusi kerjasama dengan 27 pengendali pelancongan tempatan.

Pakej yang ditawarkan bermula serendah RM70 seorang untuk aktiviti makan durian di Relau, Kedah sehingga RM4,450 bagi itinerari 3 Hari 2 Malam (3H2M) di Bentong Bilut Hills, Pahang. Pelbagai aktiviti lain yang ditawarkan termasuklah lawatan ke dusun durian, pengalaman mengutip serta menikmati durian dan buah-buahan tempatan, mengikuti kelas memasak, membuat tempoyak, berakit, merasai pengalaman tinggal di kampung selain menaiki kereta api dan bermain golf.

Encik Saidi Bundan, Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Tourism Malaysia berkata, pakej-pakej yang dibangunkan pada kali ini meliputi negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Melaka, Johor, Pahang, Kelantan dan Sabah bermula Jun 2024 untuk tempoh sah kempen sehingga Disember 2025.

“Selain Brunei, Tourism Malaysia juga menyasarkan pasaran luar negara seperti China, Hong Kong, Taiwan dan Singapura menerusi penerbitan bahan promosi pakej Durian Tourism dalam bahasa Mandarin.

“Pelancaran pakej ini bukan sahaja diharap dapat memperkenalkan lebih banyak destinasi yang mampu memberikan impak kepada kegiatan ekonomi setempat, malahan menjadikan program agropelancongan yang diterajui oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan sebagai salah satu segmen produk pelancongan minat khas sekali gus memperkukuhkan komitmen kerajaan terhadap pembangunan pelancongan lestari seiring dengan Dasar Pelancongan Negara (DPN) 2020-2030,” katanya.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan pakej-pakej yang ditawarkan, sila layari laman web Tourism Malaysia di www.malaysia.travel.

TAMAT


Tourism Malaysia

Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia atau Tourism Malaysia ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Malaysia. Tourism Malaysia giat memfokuskan kepada tugas khusus untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam industri pelancongan antarabangsa. Penganjuran Tahun Melawat Malaysia 2026 bakal meraikan kelestarian industri pelancongan negara seiring dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG). Selain itu, Tourism Malaysia turut menyokong Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) ke arah merealisasikan Tahun Melawat IMT-GT 2023-2025 bagi mempromosikan wilayah serantau sebagai destinasi pelancongan tunggal. Untuk maklumat lanjut, layari akaun media sosial Tourism Malaysia di Facebook, Instagram, Twitter, YouTube, dan TikTok.

Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi:

Ida Harlina Mohd Idris
Penolong Pengarah Kanan
Bahagian Pembangunan Pakej
idaharlina@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8513

Marhafizman Mohamad Daud
Pegawai Pelancongan Kanan
Bahagian Komunikasi Korporat
marhafizman@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8785

Related Photos

Copyright © 2025 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use