TOURISM MALAYSIA HARGAI SUMBANGAN MEDIA JAYAKAN PROMOSI PELANCONGAN DOMESTIK
KOTA KINABALU, 8 Disember 2024 – Tourism Malaysia Sabah hari ini menganjurkan acara “Industry Gathering” bagi meraikan pengamal media yang telah banyak menyokong aktiviti promosi pelancongan domestik sepanjang tahun 2024. Berlangsung di KK Galaxy Bowl, Centre Point, acara ini dihadiri oleh seramai 40 pengamal media termasuk wakil Kementerian Pelancongan, Kebudayaan Dan Alam Sekitar Sabah, Lembaga Pelancongan Sabah (STB) serta penggiat industri pelancongan di Sabah.
Cik Haryanty Abu Bakar, Pengarah Tourism Malaysia Sabah berkata, penganjuran acara
ini dengan sokongan kerjasama strategik daripada syarikat penerbangan MASWings
adalah bertujuan menghargai pihak media yang sentiasa memberikan sokongan
kepada Tourism Malaysia khususnya dalam mempromosikan destinasi pelancongan
menarik di negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.
“Seiring untuk menggerakkan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026, kerjasama erat
bersama pihak media amat penting bagi menjayakan agenda nasional ini yang
menyasarkan ketibaan seramai 35.6 juta pelancong asing dengan jangkaan
pendapatan pelancongan sebanyak RM147.1 bilion dan sejumlah 261 juta pelawat
domestik dengan sasaran perbelanjaan sebanyak RM115.2 bilion.
“Keterlibatan media dalam mempromosikan Malaysia akan melengkapkan lagi
program-program fast conversion dan berimpak tinggi yang direncanakan oleh
Tourism Malaysia bagi pasaran domestik dan antarabangsa menerusi kerjasama
strategik bersama syarikat penerbangan termasuk di platform digital selain
pelaksanaan misi jualan dan penyertaan di pameran-pameran pelancongan,” katanya.
Bersandarkan potensi dalam segmen ekopelancongan dan pengembaraan, Sabah berada dalam kedudukan terbaik untuk menarik ketibaan pelancong global yang mencari pengalaman autentik. Setakat September 2024, Malaysia mencatatkan ketibaan 18.4 juta pelancong antarabangsa dengan merekodkan peningkatan sebanyak 27% berbanding tempoh yang sama pada tahun 2023.
TAMAT
Tourism Malaysia
Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia atau Tourism Malaysia ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Malaysia. Tourism Malaysia giat memfokuskan kepada tugas khusus untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam industri pelancongan antarabangsa. Penganjuran Tahun Melawat Malaysia 2026 bakal meraikan kelestarian industri pelancongan negara seiring dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG). Selain itu, Tourism Malaysia turut menyokong Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) ke arah merealisasikan Tahun Melawat IMT-GT 2023-2025 bagi mempromosikan wilayah serantau sebagai destinasi pelancongan tunggal. Untuk maklumat lanjut, layari akaun media sosial Tourism Malaysia di Facebook, Instagram, Twitter, YouTube, dan TikTok.
Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi:
Fariza Zakaria
Pegawai Pelancongan
Tourism Malaysia Sabah
fariza@tourism.gov.my
Tel: +608 8248 698
Fazly Mohamad
Pegawai Pelancongan Kanan
Bahagian Komunikasi Korporat
fazly@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8778