Feb 17, 2020

TOURISM MALAYSIA DAN FIREFLY BERGABUNG UNTUK KEMPEN VM2020

SUBANG, 17 FEBRUARI 2020: Subang Skypark hari ini menyaksikan kerjasama Tourism Malaysia dan Firefly, dalam pelancaran logo (livery) VM2020 dan pakej pelancongan ‘The Best of Langkawi Discovery’. YB. Datuk Mohamaddin bin Ketapi, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), hadir merasmikan pelancaran tersebut, disertai Dato’ Dr. Noor Zari Hamat, Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Musa Yusof, Ketua Pengarah Tourism Malaysia, serta CEO Firely Encik Philip See.

Kempen ini menyaksikan paparan logo VM2020 pada badan pesawat Firefly, serta info produk pelancongan pelbagai negeri pada ruang simpanan atas serta tempat hidangan dalam pesawat. Selain itu, hiasan dalaman yang ceria dan berwarna-warni turut ditambah pelbagai imej makanan, budaya, pantai, eko-pelancongan, seni dan pemandangan indah Malaysia.

Kesemua paparan visual itu diharap dapat menyemarakkan kempen VM2020 untuk pasaran domestik dan ASEAN, serta menarik minat generasi muda untuk menghargai produk pelancongan domestik.

Menurut Datuk Musa, kempen ini juga merupakan salah satu program dan strategi Quick Win oleh Tourism Malaysia untuk menangani isu wabak Covid-19. “Adalah diharap, melalui polisi, dasar dan program kerajaan, ditambah inisiatif dan tawaran pihak swasta, ia akan disokong pula di peringkat pengguna iaitu rakyat Malaysia,” ulas beliau, supaya rakyat Malaysia dapat menggunakan faedah ini untuk melancong dalam negara.

Selain paparan logo dan imej, Firely turut menawarkan potongan diskaun 30% untuk para pelancong menikmati pelbagai pakej pelancongan yang menarik. Pakej ke destinasi unggul Pulau Langkawi menjadi pembuka tirai tawaran Firefly dengan tempoh tempahan bermula pada 17 Februari hingga 13 Mac 2020, sementara tempoh perjalanan adalah sehingga 30 Jun 2020. Terdapat 70 buah hotel terlibat di Langkawi, dengan baucar penginapan percuma, aktiviti island-hopping dan tiket ke Crocodile Adventureland ada ditawarkan.

“Firefly berbangga menjadi sebahagian daripada inisiatif pelancongan negara, terutamanya kempen VM2020. Firefly kini menyediakan khidmat kepada pasaran khas dengan memenuhi kehendak pelancong tempatan dan antarabangsa dari segi kemudahsampaian dan kos penerbangan yang berpatutan. Tambahan pula, pelancongan domestik merupakan gaya melancong terbaharu kepada generasi millennial dan penggemar makanan (foodie) yang gemar melawat dan menikmati pelbagai juadah serta budaya nasional yang rencam,” kata Encik Philip See.

Pakej ‘The Best of Langkawi Discovery’ dengan 6 tonggak itu menyasarkan supaya pelancong mendapat kepuasan berganda melalui aspirasi "See It, Hear It, Sense It, Feel It, Touch It, Taste It" dan dijangka akan dapat merancakkan pelancongan domestik, serta mengimbangi penurunan kedatangan pelancong antarabangsa.

Selepas Langkawi, kerjasama Tourism Malaysia dengan Firefly ini akan menyaksikan pelbagai pakej destinasi lain akan ditawarkan sepanjang tahun ini dengan tawaran menarik dan berpatutan kepada pelanggan.

TAMAT

Untuk mendapatkan siaran akhbar, media info dan artikel berkaitan industri pelancongan di Malaysia, sila lawati Pusat Media di laman web Tourism Malaysia di http://www.tourism.gov.my/

LEMBAGA PENGGALAKAN PELANCONGAN MALAYSIA ATAU TOURISM MALAYSIA ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia. Tourism Malaysia menumpukan kepada tugas khusus iaitu mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam dunia pelancongan antarabangsa. Pada 2018, Malaysia telah mencatatkan kedatangan seramai 25.8 juta orang pelancong asing dan pendapatan pelancong berjumlah sebanyak RM84.1 bilion sekali gus meletakkan negara ini dalam kalangan destinasi pelancongan utama dunia.

Hubungi:
Unit Media
Encik Muadz Samat,
Penolong Pengarah, Bahagian Komunikasi Korporat
Tel: +603-8891 8755
Emel: muadz@tourism.gov.my


Related Photos

Copyright © 2024 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use