Dec 16, 2022

TOURISM MALAYSIA ANJUR PROGRAM JERAYAWARA BERSAMA PENGGIAT INDUSTRI PANTAI TIMUR DI SARAWAK


KUCHING, 14 Disember 2022 - Tourism Malaysia hari ini menganjurkan program jerayawara antara penggiat industri dari Wilayah Timur dan Sarawak bagi merancakkan lagi aktiviti pelancongan domestik serta mempromosikan pakej-pakej pelancongan dan produk yang menarik dan terkini.

Program ini bertujuan menarik minat pelancong dari Sarawak untuk melancong ke negeri-negeri di Wilayah Timur seperti Pahang, Terengganu dan Kelantan menerusi penganjuran sesi perniagaan ke perniagaan (B2B) yang dihadiri oleh penggiat industri dan pengendali pelancongan.

Penganjuran kali ini merupakan timbal balas kepada program Jerayawara ‘Jom Ke Sarawak’ siri pertama yang telah berlangsung di Wilayah Timur iaitu Kota Bharu, Kelantan dan juga Wilayah Utara di Pulau Pinang pada bulan Mei lalu.

Program yang berlangsung di Hotel Pullman, Kuching itu disempurnakan oleh Encik Iskandar Mirza Mohd Yusof, Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Tourism Malaysia dan turut dihadiri oleh Pengurus Besar Tourism Pahang, Encik Kamaruddin Ibrahim; Puan Zuraini Abdul Ghani, Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Timur; dan Puan Nurul Mardiana Abdul Alim, Penolong Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu.

Encik Iskandar Mirza berkata, penganjuran program ini merupakan platform terbaik untuk penggiat industri pelancongan dari Pantai Timur menjalinkan kerjasama dan mengadakan perbincangan perniagaan bersama pemain industri pelancongan di Sarawak.

“Program ini adalah salah satu usaha bagi merancakkan kembali aktiviti-aktiviti pelancongan Pantai Timur serta mempromosikan negeri-negeri di Pantai Timur sebagai salah satu destinasi pilihan kepada pelancong domestik di Sarawak,” katanya.

“Dengan adanya penerbangan terus dua hala antara Kota Bharu dan Kuching sebanyak 3 kali seminggu, ia bukan sahaja memudahkan perjalanan ke Kelantan, malah pakej-pakej pelancongan ini juga dapat dibangunkan dengan lebih mudah meliputi negeri Pahang dan Terengganu,” katanya.

TAMAT

Tourism Malaysia

Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia atau Tourism Malaysia ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Malaysia. Tourism Malaysia giat memfokuskan kepada tugas khusus untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam industri pelancongan antarabangsa. Untuk maklumat lanjut, layari akaun media sosial Tourism Malaysia di Facebook, Instagram, Twitter, YouTube, and TikTok.

Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi:

Mohd Ashrul Ashraf Mohd Noor

Timbalan Pengarah

Tourism Malaysia Wilayah Timur

mohdashrulashraf@tourism.gov.my

Tel: +609 5677 112/ 115

Muadz Samat

Penolong Pengarah

Bahagian Komunikasi Korporat

muadz@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8755

Related Photos

Copyright © 2025 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use