Mar 19, 2019

TOURISM MALAYSIA ANJUR PROGRAM “EKSPRESI MEDIA - KENYIR 2019” UNTUK MEMPROMOSI TERENGGANU

PUTRAJAYA, 19 MAC 2019: Seramai 22 pengamal media cetak dan media dalam talian dari pelbagai agensi di Malaysia mengambil bahagian dalam program “Ekspresi Media – Kenyir 2019” anjuran Tourism Malaysia dari 18 hingga 21 Mac. Inisiatif ini bertujuan untuk merapatkan hubungan antara Tourism Malaysia dengan pengamal media dan menggalakkan mereka untuk mempromosikan destinasi pelancongan Terengganu sempena kempen Melawat Malaysia 2020.
Program yang dianjurkan buat julung-julung kalinya ini mengandungi pelbagai elemen menarik seperti peluang untuk bersiar-siar sambil mengenali dan memeriksa produk pelancongan baharu, kesempatan untuk merasai sendiri pengalaman melawat tempat-tempat menarik, serta sesi taklimat mengenai produk pelancongan oleh para penggiat industri pelancongan. Pendekatan ini diambil untuk memberi para peserta program pengalaman yang serba lengkap mengenai produk pelancongan Terengganu. Program sebegini juga diharapkan akan dapat mengeratkan jalinan hubungan antara pihak media dengan sektor kerajaan dan swasta yang berkaitan dengan industri pelancongan.

Para peserta akan didedahkan kepada pelbagai aktiviti dan pengalaman termasuklah mencuba makanan tradisional Terengganu seperti nasi dagang di restoran popular yang pernah tular di laman-laman media sosial; mengerjakan solat Subuh di Masjid Tuanku Nur Zahirah yang juga dikenali sebagai Masjid Terapung; merentas hutan ke Gua Bewah; bermalam di atas sebuah “houseboat” di Tasik Kenyir; berenang dengan spesis ikan kelah; dan memberi makan dan bermain dengan gajah.

Selain itu, mereka juga berpeluang untuk mendapatkan tips fotografi dari syarikat Canon Malaysia dan berkenalan dengan pelukis komik terkemuka Malaysia, Ujang. Beberapa wakil industri pelancongan juga akan hadir untuk berkongsi maklumat mengenai rancangan pembangunan sektor pelancongan di Terengganu.

Tourism Malaysia berharap agar para pengamal media yang terlibat akan berkongsi tentang pengalaman mereka semasa meneroka Terengganu kepada para pembaca dan pengikut mereka, sekali gus membantu menimbulkan minat dalam kalangan mereka untuk melawat negeri Darul Iman ini.

Dijangkakan para peserta program akan menjana sebanyak 40 hingga 50 “cerita” mengenai Terengganu dalam bentuk rencana yang diterbitkan serta kiriman di dalam Facebook, Instagram, YouTube, Twitter dan blog. Tourism Malaysia berharap agar posting ini akan dikongsikan bersama untuk mendapatkan antara 2 juta and 4 juta jangkauan di laman-laman media sosial.

Bagi memanfaatkan kuasa media sosial, hashtag seperti #tourismmalaysia, #malaysiatrulyasia, #cuticutimalaysia, #vm2020 dan #ekspresimedia2019 akan digunakan sepanjang program untuk meningkatkan publisiti.

Program sulung “Ekspresi Media – Kenyir 2019” ini telah dijayakan oleh Tourism Malaysia dengan kerjasama pihak Jabatan Pelancongan Terengganu, KETENGAH, PERHILITAN, IPD Kuala Terengganu, dan Canon Malaysia.
TAMAT


Untuk mendapatkan siaran akhbar, media info dan artikel berkaitan industri pelancongan di Malaysia, sila lawati Pusat Media di laman web Tourism Malaysia di http://www.tourism.gov.my/

LEMBAGA PENGGALAKAN PELANCONGAN MALAYSIA ATAU TOURISM MALAYSIA ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia. Tourism Malaysia menumpukan kepada tugas khusus iaitu mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam dunia pelancongan antarabangsa. Pada 2018, Malaysia telah mencatatkan kedatangan seramai 25.9 juta orang pelancong asing dan pendapatan pelancong berjumlah sebanyak RM84.1 bilion sekali gus meletakkan negara ini dalam kalangan destinasi pelancongan utama dunia.

Unit Media
Muadz Samat, Penolong Pengarah
Bahagian Komunikasi Korporat
Tel: +603-8891 8755
Emel: muadz@tourism.gov.my

Related Photos

Copyright © 2024 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use