Nov 15, 2022

TOURISM MALAYSIA ANJUR MISI JUALAN KE INDONESIA

JAKARTA, 15 November 2022 – Tourism Malaysia hari ini meneruskan misi jualan ke Indonesia bagi menggiatkan promosi pelancongan antarabangsa dengan mempertemukan pemain industri pelancongan Malaysia dan Indonesia dalam sesi perniagaan ke perniagaan (B2B).

Misi jualan ini berlangsung di dua bandar utama di Indonesia iaitu Jakarta dan Medan bermula 15 hingga 18 November 2022 bagi memperkenalkan pelbagai produk dan pakej pelancongan terkini untuk menarik minat pelancong Indonesia ke Malaysia.

Misi kali ini memfokuskan kepada segmen pelancongan santai (leisure), beli-belah dan sektor mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran (MICE) yang dikenal pasti menjadi pilihan bagi pelancong Indonesia. Selain itu, misi kali ini juga menyaksikan pelancaran promosi pelancongan secara dalam talian bersama Blibli.com serta pelancaran kerjasama antara syarikat penerbangan Malaysia Airlines dan Air Asia.

Misi jualan ini disertai oleh Malaysia Healthcare Travel Council (MHTC), Malaysia Airlines, Air Asia, 15 ejen pelancongan, 2 operator taman tema dan 12 wakil hotel dari Malaysia. Delegasi Malaysia diketuai oleh Encik Mohd Yusri Mohd Yusoff, Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia dan Encik Iskandar Mirza Mohd Yusof, Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Tourism Malaysia.

Encik Mohd Yusri berkata, misi jualan ke Indonesia adalah penting untuk menggiatkan promosi pelancongan pasca pandemik Covid-19 bagi menarik minat dan meningkatkan lagi keyakinan dalam kalangan warga Indonesia untuk terus memilih Malaysia sebagai destinasi percutian selamat.

“Sejak pembukaan sempadan antarabangsa, Malaysia telah merekodkan ketibaan seramai 435,156 pelancong Indonesia dari Januari sehingga Julai tahun ini. Secara keseluruhannya seramai 5.5 juta ketibaan pelancong asing telah direkodkan sehingga September 2022 dan jumlah ini dilihat menghampiri sasaran ketibaan 9.2 juta pelancong antarabangsa pada tahun ini ,” katanya.

TAMAT

Tourism Malaysia

Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia atau Tourism Malaysia ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Malaysia. Tourism Malaysia giat memfokuskan kepada tugas khusus untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam industri pelancongan antarabangsa. Untuk maklumat lanjut, layari akaun media sosial Tourism Malaysia di Facebook, Instagram, Twitter, YouTube, and TikTok.

Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi:

Mohd Hafezin Bin Khadiri
Penolong Pengarah Kanan
Bahagian Promosi Antarabangsa Asia Tenggara
hafezin@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8259

Muadz Samat
Penolong Pengarah
Bahagian Komunikasi Korporat
muadz@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8755

Copyright © 2024 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use