Jan 8, 2020

TM MENYOKONG TOURISM MALAYSIA SEBAGAI RAKAN TELEKOMUNIKASI STRATEGIK BAGI VISIT TRULY ASIA MALAYSIA 2020

TOURISM MALAYSIA & TELEKOM MALAYSIA

SIARAN AKHBAR

Kuala Lumpur
8 Januari 2020

Memperkenalkan pelan unifi Mobile khusus untuk pelancong yang menawarkan perhubungan tanpa had dan menyeluruh di Malaysia

Para pelancong antarabangsa yang berkunjung ke Malaysia, ada tawaran hebat untuk anda! Anda kini boleh mendaftar unifi Travel Pass, SIM pelancong terhebat di Malaysia bagi menikmati data berkelajuan tinggi tanpa had, sambungan ke wifi dan rancangan TV kegemaran anda!

Tawaran istimewa ini direalisasikan menerusi kerjasama di antara Telekom Malaysia Berhad (TM) dan Tourism Malaysia untuk kempen Visit Truly Asia Malaysia 2020, sejajar dengan komitmen untuk mencapai 30 juta kedatangan pengunjung dan RM100 bilion perbelanjaan pelancong pada tahun 2020.

Kerjasama ini menggambarkan usaha kukuh kedua-dua pihak untuk mengoptimumkan penggunaan teknologi terkini, memanfaatkan pemasaran digital dan memaksimumkan kempen pemasaran bersepadu untuk memacu industri pelancongan di Malaysia. Kerjasama ini memberi tumpuan kepada tiga (3) teras utama, iaitu sambungan internet jalur lebar untuk pelancong; promosi kempen menerusi aset-aset digital TM; dan promosi kempen menerusi aset domestik dan antarabangsa.

Bagi menandakan sinergi kerjasama yang penting ini, kedua-dua pihak hari ini bertukar-tukar dokumen kerjasama dalam satu majlis yang dihadiri oleh Dato' Dr. Noor Zari Hamat, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, bersama-sama Tuan Haji Rosli Man, Pengerusi TM. Pada majlis tersebut, Izlyn Ramli, Naib Presiden, Jenama dan Komunikasi Kumpulan, TM bertukar dokumen berkenaan dengan Datuk Musa Yusof, Ketua Pengarah, Tourism Malaysia.

Di bawah kerjasama yang terjalin, TM menerusi jenama Konvergens utamanya – unifi – memperkenalkan pelan unifi Mobile istimewa, dikenali sebagai unifi Travel Pass, direka secara eksklusif untuk pelancong dari luar negara yang datang ke Malaysia. unifi Travel Pass menawarkan kebebasan untuk berhubung dengan pelan data berkelajuan tinggi tanpa had, akses kepada wifi tanpa had di seluruh negara menerusi wifi@unifi dan hiburan tanpa henti menerusi aplikasi playtv@unifi, menjadikannya SIM untuk pelancong yang terbaik di Malaysia.

Mengulas mengenai kerjasama itu, Tuan Haji Rosli berkata, “Kami amat teruja untuk menyokong Tourism Malaysia sebagai Rakan Telekomunikasi Strategik bagi kempen Visit Truly Asia Malaysia 2020. Kerjasama ini bukan sahaja menggambarkan sokongan kami kepada industri pelancongan Malaysia, ia juga merupakan bukti komitmen berterusan kami untuk membawakan sambungan tanpa had kepada semua termasuk pelancong luar negara yang datang ke Malaysia, agar mereka kekal berhubung dengan dunia digital, selaras dengan peranan kami ke arah merealisasikan aspirasi Negara Digital Malaysia. TM menerusi produk dan penyelesaian yang lengkap dan inovatif akan terus memberi khidmat kepada masyarakat dan gaya hidup digital, perniagaan digital dan industri vertikal, serta Kerajaan digital.”

Tambah beliau lagi, “Saya ingin mengalu-alukan kedatangan semua pelancong ke negara kita. Saya berharap mereka akan mencipta dan meninggalkan kenangan yang manis di Malaysia. Kami memahami yang sambungan internet amat penting kepada para pelancong; dari tempahan hotel, pengangkutan, tempat-tempat menarik untuk dikunjungi, cadangan makanan dan maklumat cuaca, semua ini boleh diakses dengan mudah menerusi sambungan internet yang diyakini. Justeru, kami menawarkan para pelacong cara yang mudah untuk terus berhubung, agar mereka boleh menikmati Malaysia sepenuhnya sambil kekal berhubung dengan keluarga dan rakan-rakan mereka di negara asal mereka. Selain data mudah alih tanpa had, para pelancong juga boleh mengakses perkhidmatan wifi@unifi kami di lebih daripada 8,000 hotspot wifi@unifi di seluruh negara. Bukan itu sahaja, para pelancong juga boleh menikmati hiburan tanpa henti sepanjang mereka berada di Malaysia menerusi aplikasi playTV@unifi, yang menawarkan penstriman digital saluran-saluran LANGSUNG tempatan dan antarabangsa, jadi mereka boleh menonton program TV kegemaran dan mendapatkan berita terkini daripada FOX Sports, nick Jr, Euronews, BBC World News dan banyak lagi.”

Sementara itu, Dato' Dr. Noor Zari berkata: “Kami berharap kerjasama antara Tourism Malaysia dan TM akan memainkan peranan penting dalam merealisasikan hasrat menjadi sebuah destinasi pelancongan yang unik dan kaya dengan budaya untuk semua pengunjung dari seluruh dunia.”

unifi Travel Pass menawarkan SIM data berkelajuan tinggi tanpa had buat para pelancong untuk terus berhubung sepanjang berada di Malaysia. Mereka boleh memilih sama ada pas 7 hari untuk RM30 atau pas 15 hari untuk RM60, kedua-duanya menawarkan data 4G/3G berkelajuan tinggi. Ia turut didatangkan dengan kredit masa berbual untuk mereka membuat panggilan keluar dengan hanya RM0.20 seminit dan menghantar SMS dengan RM0.10 untuk satu SMS. Selain itu, mereka boleh menambah nilai kredit pada bila-bila masa secara online atau boleh dibeli di lebih 15,000 vendor tambah nilai unifi Mobile seluruh negara. unifi Travel Pass ini sedia untuk dibeli di mobile.unifi.com.my/travepass bermula Januari 2020. Para pelancong boleh memilih untuk mengambil kad SIM mereka di Pusat Penerangan Pelancongan Tourism Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2.

Untuk maklumat lanjut tentang produk dan penawaran terkini daripada unifi, layari www.unifi.com.my.

TAMAT

Mengenai TM

Telekom Malaysia Berhad (TM) adalah syarikat telekomunikasi bersepadu terkemuka di Malaysia yang menawarkan himpunan perkhidmatan dan penyelesaian komunikasi yang menyeluruh dalam perkhidmatan tetap (telefoni dan jalur lebar), mobiliti, kandungan, WiFi, ICT, Awan dan perkhidmatan pintar. TM dipacu oleh penciptaan nilai pihak berkepentingan dalam persekitaran yang amat kompetitif. serta memberi tumpuan kepada penyampaian pengalaman pelanggan yang dipertingkatkan melalui usaha-usaha peningkatan kualiti dan inovasi khidmat pelanggan berterusan, sambil memfokus kepada peningkatan kecekapan operasi dan produktiviti.

Sebagai pemacu aspirasi Negara Digital/Ekonomi Digital Malaysia, TM sentiasa menerajui setiap evolusi teknologi telekomunikasi negara, dan akan terus berbuat demikian. Syarikat menyediakan nadi komunikasi buat Malaysia dengan ketersambungan dan rangkaian bersepadu terluas. TM kekal komited untuk terus memperluaskan rangkaiannya kepada infrastruktur digital yang komprehensif – apabila Syarikat melangkah melangkaui perkhidmatan sambungan kepada perkhidmatan digital bernilai tambah yang baharu – untuk memenuhi gaya hidup dan masyarakat yang lebih digital, perniagaan digital dan Kerajaan digital – ke arah menjadikan “Hidup dan Perniagaan Lebih Mudah demi Kesejahteraan Malaysia”.

Maklumat lanjut mengenai TM, layari www.tm.com.my.

Mengenai Tourism Malaysia

LEMBAGA PENGGALAKAN PELANCONGAN MALAYSIA ATAU TOURISM MALAYSIA ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia. Tourism Malaysia menumpukan kepada tugas khusus iaitu mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam dunia pelancongan antarabangsa. Pada 2018, Malaysia telah mencatatkan kedatangan seramai 25.8 juta orang pelancong asing dan pendapatan pelancong berjumlah sebanyak RM84.1 bilion sekali gus meletakkan negara ini dalam kalangan destinasi pelancongan utama dunia.

Untuk mendapatkan siaran akhbar, media info dan artikel berkaitan industri pelancongan di Malaysia, sila lawati Pusat Media di laman web Tourism Malaysia di http://www.tourism.gov.my/

Dikeluarkan bersama oleh:

Bahagian Komunikasi Korporat
Tourism Malaysia
Tingkat 7, No. 2, Tower 1 Jalan P5/6,
Precinct 5 62200 Putrajaya

DAN

Jenama dan Komunikasi
Kumpulan Telekom Malaysia Berhad
Aras 9 (Utara), Menara TM Jalan Pantai Baharu
50672 Kuala Lumpur

Sebarang pertanyaan, sila hubungi:

TOURISM MALAYSIA
Muadz Samat
Unit Media
Bahagian Komunikasi Korporat Tourism Malaysia
Tel: (03) 8891 8755 Emel: mediaunit@tourism.gov.my


TELEKOM MALAYSIA
Asma Abdul Aziz
Penolong Pengurus Besar
Pengurusan Media, Perhubungan Awam & Penerbitan
Jenama dan Komunikasi Kumpulan
HP: (013) 364 1830 Emel: asma aa@tm.com.my

Saiful Azni Matmor
Pengurus
Pengurusan Media,Perhubungan Awam & Penerbitan
Jenama dan Komunikasi Kumpulan
HP: (013) 360 3496 Emel: msaiful@tm.com.my

Related Photos

Copyright © 2024 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use