Nov 21, 2011

TIMBALAN MENTERI PELANCONGAN MERASMIKAN KARNIVAL JUALAN AKHIR TAHUN 1MALAYSIA

YB Dato' Dr. James Dawos Mamit, Timbalan Menteri Pelancongan, hari ini menyempurnakan majlis pelancaran Karnival Jualan Akhir Tahun 1Malaysia (1MYES) peringkat Negeri Johor di Kompleks Membeli-belah KSL di Johor Bahru. Turut hadir pada acara tersebut adalah YB Dato' Hoo Seong Chang, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Perdagangan Dalam Negeri Johor.

Karnival Jualan Akhir Tahun 1Malaysia ini merupakan satu usaha promosi Kementerian Pelancongan untuk merangsang pertumbuhan pelancongan domestik dan menarik lebih ramai pelancong ke negara ini. Karnival membeli-belah yang berlangsung di seluruh negara dari 15 November hingga 1 Januari 2012 ini menawarkan pelbagai barangan dengan diskaun yang menarik dan merupakan kempen jualan tahunan yang ketiga selepas Karnival Jualan Grand Prix (Mac - April) dan Karnival Jualan Mega 1Malaysia (Jun - Ogos).

Pada tahun in, 1MYES lebih meriah dengan pembukaan Johor Premium Outlet (JPO) yang terletak di Kulaijaya pada 11 Disember 2011. Ia merupakan Premium Outlet yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara dengan lebih daripada 80 buah kedai yang menawarkan barangan berjenama pada harga diskaun. JPO merupakan salah satu projek pelancongan yang dilaksanakan di bawah bidang ekonomi utama nasional atau NKEA untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi membeli-belah terkemuka di rantau ini.

Selain itu, Mastercard turut memberikan ganjaran kepada pemegang kadnya dengan pelbagai keistimewaan dan faedah serta penebusan segera dengan berbelanja sekurang-kurangnya RM250 di kedai-kedai yang mengambil bahagian.

Di peringkat negeri Johor pula, bagi memeriahkan lagi kempen ini, Tourism Malaysia turut menganjurkan beberapa program menarik bagi para pengunjung seperti ‘shopping marathon' bersama pasar raya TESCO. Program seperti ini diharap dapat mempromosikan kompleks membeli-belah yang ada di Johor seperti JB City Square, The ZON, Plaza Pelangi, Perling Mall dan Plaza Angsana kepada negara jiran seperti Singapura, Batam dan Tanjung Pinang, Indonesia.

Tourism Malaysia turut menjemput seramai 20 orang wakil media dan penulis rencana dari Singapura untuk hadir sama dalam majlis pelancaran 1MYES pada hari ini.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Tourism Malaysia Johor,  Encik Edzuar Zar Ayob Azari, Pengarah Negeri, di +607 222 3590/3591 atau e-mel edzuar@tourism.gov.my atau hubungi, Sekretariat Membeli-belah Malaysia di +603 8891 8000 , fax: 603 88918548, e-mel: enq-megasales@tourism.gov.my atau layari laman web: http://www.shopmalaysia.my

Copyright © 2025 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use