Nov 10, 2023

TAWARAN HEBAT PAKEJ PELANCONGAN DI JERAYAWARA JOM CUTI-CUTI MALAYSIA 2023

MELAKA, 10 November 2023 – Program pameran dan jualan Jerayawara Jom Cuti-Cuti Malaysia (JCCM) 2023 akan berlangsung selama tiga hari di AEON Mall Bandaraya Melaka bermula hari ini sehingga 12 November 2023, menawarkan lebih 100 pakej pelancongan pada tawaran diskaun antara 15 sehingga 50 peratus.

Jerayawara Jom Cuti-Cuti Malaysia (JCCM) 2023 yang digerakkan ke tujuh lokasi sebelum ini telah berjaya merekodkan hasil jualan yang dianggarkan bernilai RM 5,332,148.85 dengan sejumlah 24,262 pakej pelancongan terjual setakat ini.

Antara pakej-pakej pelancongan yang disasarkan bakal menarik minat pengunjung di Melaka kali ini ialah Pakej Pelancongan Bandar dan Tapak Warisan UNESCO, Pakej Glamping, Pakej Percutian ke Pulau Langkawi, Semporna, Redang, Rawa, Pangkor, tiket masuk ke ke Taman Tema, Zoo dan Menara Kuala Lumpur, Pakej Bulan Madu, Pakej Tasik Kenyir, Pakej Alam Semulajadi, Pakej Aktiviti Lasak, Pakej Cuti-Cuti Cikgu, Pakej Minat Khas sempena Sambutan Ulang Tahun ke-50 Tourism Malaysia serta Pakej Pelancongan Arkeo dan Geopark Lembah Lenggong serta yang terbaru Pakej Cuti-Cuti Keluarga.

Dato’ Dr. Ammar Abd. Ghapar, Ketua Pengarah Tourism Malaysia berkata, penganjuran Jerayawara JCCM 2023 telah berjaya membantu penggiat industri pelancongan tempatan berskala kecil dan sederhana meningkatkan hasil jualan pakej mereka selain memartabatkan industri kraftangan tempatan. Jumlah pengunjung yang hadir adalah dianggarkan lebih 50,000 orang pengunjung yang memeriahkan program JCCM sepanjang tahun 2023 ini.

Selain daripada pameran dan jualan pakej pelancongan, JCCM 2023 turut menyajikan persembahan kebudayaan, persembahan gambus, demonstrasi kraftangan anyaman rotan dan seni pembuatan piuter, kuiz pelancongan, cabutan bertuah dan sesi beramah mesra dengan pempengaruh kepada pengunjung yang hadir. Tourism Malaysia bakal meneruskan Jerayawara Jom Cuti-Cuti Malaysia pada tahun 2024 dan akan digerakkan ke 8 lokasi terpilih seluruh Malaysia.

Datuk Haji Zaidi Attan, Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni & Budaya Negeri Melaka berkata, program Jerayawara JCCM ini adalah solusi utama dalam merancakkan aktiviti pelancongan domestik dan ia adalah acara yang dinantikan rakyat Malaysia untuk membuat pembelian pakej percutian domestik dengan harga yang sangat berpatutan dan dijamin selamat.

“Saya berbangga kerana Melaka telah dipilih sebagai salah satu lokasi Jerayawara Jom Cuti-Cuti Malaysia 2023 dan sempena Tahun Melawat Melaka 2024, saya menjemput orang ramai untuk datang ke JCCM 2023, belilah pakej-pakej percutian yang ditawarkan dan datanglah beramai-ramai ke Negeri Melaka, Bandaraya Bersejarah. Selain Melaka, Perak, Perlis dan Kelantan turut menganjurkan Tahun Melawat Perak, Perlis dan Kelantan 2024,” katanya.

TAMAT

Tourism Malaysia

Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia atau Tourism Malaysia ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Malaysia. Tourism Malaysia giat memfokuskan kepada tugas khusus untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam industri pelancongan antarabangsa. Penganjuran Tahun Melawat Malaysia 2026 bakal meraikan kelestarian industri pelancongan negara seiring dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG). Selain itu, Tourism Malaysia turut menyokong Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) ke arah merealisasikan Tahun Melawat IMT-GT 2023-2025 bagi mempromosikan wilayah serantau sebagai destinasi pelancongan tunggal.Untuk maklumat lanjut, layari akaun media sosial Tourism Malaysia di Facebook, Instagram, Twitter, YouTube, dan TikTok.

Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi:

Maizatul Liza Mukhtar
Penolong Pengarah
Bahagian Domestik & Acara
maizatulliza@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8493

Muadz Samat
Penolong Pengarah
Bahagian Komunikasi Korporat
muadz@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8755

Related Photos

Copyright © 2024 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use