Sep 6, 2012

TANGLUNG 1MALAYSIA GERGASI SEBAGAI TARIKAN UTAMA PESTA PELANCONGAN TANGLUNG 1MALAYSIA 2012

KUALA LUMPUR, 6 SEPTEMBER- Pesta Pelancongan Tanglung 1Malaysia kembali lagi bagi tahun 2012, yang masuk tahun keempat penganjurannya sejak acara ini mula diperkenalkan pada tahun 2009.

Majlis pelancaran acara ini bakal dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato' Seri Najib Tun Razak pada jam 8.00 malam, 21 September 2012. Turut hadir ialah Menteri Pelancongan Malaysia, YB Dato' Seri Dr. Ng Yen Yen.

Tahun ini, antara tarikan utama yang dapat dilihat oleh para pengunjung adalah Tanglung Gergasi 1Malaysia yang berukuran 6 meter tinggi yang akan dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri,Tanglung Gergasi Taiwan berukuran 12 kaki tinggi dan perarakan tanglung oleh para tetamu jemputan dan turut disertai oleh para pelancong asing dan orang ramai pada malam majlis pelancaran nanti. Selain itu, program-program lain yang bakal menghiasi acara Pesta Pelancongan Tanglung 1Malaysia 2012 ialah demonstrasi pembuatan tanglung, persembahan pentas dan lain-lain lagi. Para pengunjung yang hadir turut berpeluang mendapat tanglung berbentuk naga secara percuma.

Satu bengkel mengenai kesenian pembuatan tanglung juga telah diadakan di Raub pada 21 Julai sehingga 22 Julai 2012 yang lalu serta di kalangan pelajar-pelajar SJK (C) Sam Yoke, Jalan Sungai Besi, Kuala Lumpur pada 23 Julai hingga 27 Julai 2012. Bengkel-bengkel tersebut telah diselia oleh pakar-pakar seni pembuatan tanglung dari Taiwan yang di datangkan khas oleh oleh Pejabat Biro Pelancongan Taiwan ke Malaysia. Antara tujuan bengkel diadakan adalah bagi memperkenal kesenian pembuatan tanglung, memupuk kreativiti serta minat para pelajar agar lebih mendalami serta memelihara seni tradisi dan kebudayaan. Sebanyak 25 buah hasil seni tanglung daripada bengkel ini akan turut dipamerkan semasa pesta ini nanti.

Selain itu, antara pengisian acara dari 21 September sehingga 30 September nanti ialah pameran kesenian tanglung, perarakan mini tanglung,  persembahan kebudayaan, tarian naga dan tarian singa serta lain-lain. Sebanyak lebih kurang 350 tanglung yang didatangkan khas dari Taiwan juga akan digantung di sekitar Pasar Seni.

Acara Pesta Pelancongan Tanglung 1Malaysia 2012 dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan Malaysia dengan kerjasama Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur (The Kuala Lumpur Chinese Assembly Hall), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Taiwan Visitors Association Kuala Lumpur Office, Pasar Seni, Air Asia X Sdn. Bhd, Kuala Lumpur Hawkers Association dan KLT Food Industries Sdn. Bhd.

Acara ini bakal berlangsung sepuluh hari berturut-turut, iaitu daripada 21 September sehingga 30 September 2012 di Pasar Seni, Kuala Lumpur bermula jam 6 petang hingga 10.00 malam. Tujuan acara ini dianjurkan adalah bagi menjadikan perarakan pelancongan tanglung sebagai tarikan baru bagi menarik lebih ramai pelancong tempatan dan asing bagi berkunjung ke Kuala Lumpur.

INFO TAMBAHAN

1. Perarakan tanglung sepanjang 2.5 km meliputi:

Pasar Seni -> Jalan Tun Tan Cheng Lock -> Jalan Sultan -> Jalan Hang Lekir -> Jalan Petaling -> kembali semula ke Pasar Seni.

2. Harapan Kementerian Pelancongan bagi acara ini adalah :

a. Mencapai misi untuk mempromosi Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang terunggul.

b. Memperkenalkan dan mempromosikan perayaan kaum Cina kepada kaum-kaum lain dan juga kepada pelancong-pelancong luar negara dan menjadikannya sebagai produk pelancongan negara.

c. Menyemarakkan aktiviti pelancongan domestik dengan memupuk budaya melancong di dalam negara sendiri di kalangan masyarakat tempatan serta menarik pelancong antarabangsa untuk sama-sama menikmati dan meraikan perayaan seperti ini.

d. Memelihara perayaan warisan kebudayaan kaum Cina.

e. Mewujudkan dan memupuk semangat perpaduan di kalangan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia selaras dengan konsep 1Malaysia.

f. Menggiatkan usaha di bawah Pelan Transformasi Pelancongan Malaysia atau Malaysia Tourism Transformation Plan di mana Kerajaan telah pun menetapkan sasaran (MTTP: 2020:36:168); melalui makmal New Key Economic Areas (NKEA)-Tourism, Kementerian Pelancongan mensasarkan kedatangan pelancong ke Malaysia sebanyak 36 juta orang dengan janaan pendapatan sebanyak RM168 billion pada tahun 2020.

___________________________________________________________________
Disediakan oleh Unit Komunikasi Korporat, Kementerian Pelancongan Malaysia
Tel: 03-8891 7000 F: 03-8891 7181 E-mel: info@motour.gov.my

Copyright © 2025 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use