SENSASI JUALAN HEBAT, FESTIVAL KASUT DAN PERLUMBAAN KERETA DI BULAN MAC
KUALA LUMPUR, 13 Mac 2015 – Jualan 1Malaysia Grand Prix dan Festival Kasut Antarabangsa Malaysia kembali semula pada bulan ini bagi menawarkan para pembeli satu pengalaman membeli-belah yang hebat sekali. Semua pusat beli-belah di seluruh negara yang mengambil bahagian akan memberikan tawaran yang menarik dan diskaun hebat sepanjang acara jualan yang akan berlangsung dari 14 Mac hingga 5 April, manakala Festival Kasut Antarabangsa Malaysia yang dianjurkan selama tiga hari akan bermula hari ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Kedua-dua acara ini diadakan sebelum bermulanya edisi ke-17 Formula One Grand Prix Malaysia Petronas 2015 yang akan berlangsung dari 27 hingga 29 Mac di Litar Antarabangsa Sepang.
Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Dato’ Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dengan rasminya melancarkan kedua-dua acara tersebut di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini. Acara ini dihadiri oleh tokoh-tokoh industri pelancongan dan bidang fesyen, termasuk dua ikon Malaysia – Profesor Datuk Dr Jimmy Choo OBE dan Datuk Zang Toi.
Turut hadir ialah wakil-wakil agensi pelancongan dan media antarabangsa dari 11 buah negara, termasuk Singapura, Indonesia, Korea, Taiwan, Australia dan New Zealand, yang merupakan peserta program Suai kenal Mega anjuran Tourism Malaysia.
Semasa majlis pelancaran, Dato’ Seri Mohamed Nazri telah menyampaikan dua anugerah Festival Kasut Antarabangsa Malaysia iaitu Anugerah Cemerlang Tertinggi kepada Profesor Datuk Dr Jimmy Choo OBE, dan Anugerah Pengiktirafan Khas kepada Datuk Zang Toi, pereka fesyen Malaysia bertaraf antarabangsa yang berpangkalan di New York. Beliau terlebih dahulu telah dilantik sebagai duta jenama festival kasut tersebut.
Acara pelancaran ini juga turut menyaksikan model-model menggayakan Koleksi Fesyen Musim Luruh dan Sejuk 2015 rekaan Datuk Zang Toi. Pertunjukan fesyen yang hebat ini telah menambahkan lagi kemeriahan Festival Kasut anjuran Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dengan kerjasama Persatuan Pembuat-pembuat Kasut Malaysia.
Edisi keenam festival ini akan mempamerkan lebih daripada 100 jenama kasut tempatan dan antarabangsa. Acara ini juga dijangka akan menarik lebih daripada 70,000 pengunjung dari dalam dan luar negara. Ia merupakan pertanda baik untuk acara Jualan 1Malaysia Grand Prix yang diadakan serentak bagi menawarkan pilihan membeli-belah yang lebih besar kepada para pembeli di seluruh negara.
“Pusat-pusat beli-belah di Malaysia telah menjadi destinasi pelancongan mini yang menarik pelancong tempatan dan luar negara untuk mencari keseronokan membeli-belah, berhibur, dan beriadah, menikmati pelbagai juadah, selain mengikuti program kesihatan dan sukan serta pelbagai tarikan lain. Reka bentuk pusat-pusat beli-belah lama yang standard dan berteraskan fungsi telah berubah kepada pusat-pusat beli-belah bertema yang menawarkan pengalaman gaya hidup untuk semua peringkat umur,” kata Dato’ Seri Mohamed Nazri.
Beliau menambah bahawa melihat kepada perubahan senario tersebut, Tourism Malaysia akan melaungkan tema ‘Pengalaman Membeli-belah’ bagi menonjolkan pelbagai pengalaman membeli-belah yang seronok di Malaysia.
Tema ini akan digunakan untuk ketiga-tiga kempen jualan nasional, bermula dengan Jualan 1Malaysia Grand Prix bulan ini, diikuti dengan Karnival Jualan Mega 1Malaysia dari 27 Jun hingga 31 Ogos dan Jualan Akhir Tahun 1Malaysia dari 14 November hingga 3 Januari tahun hadapan. Ketiga-tiga jualan tahunan tersebut dianjurkan setiap tahun oleh Sekretariat Shopping Malaysia, cabang promosi jualan Tourism Malaysia, dan telah memberi banyak faedah kepada sektor runcit tempatan dan membantu mempertingkatkan perbelanjaan pelancong di dalam negara.
Sektor beli-belah Malaysia merupakan penyumbang utama kepada pendapatan pelancongan negara dengan sumbangan sebanyak RM21.6 bilion atau 30.0 peratus daripada jumlah pendapatan keseluruhan sebanyak RM72 bilion pada 2014. Aktiviti membeli-belah juga terus kekal sebagai penyumbang kedua tertinggi dalam perbelanjaan pelancong selepas sektor penginapan yang hanya dibezakan dengan 0.3 peratus.
Media antarabangsa berwibawa, CNN, telah memilih Kuala Lumpur sebagai salah satu destinasi beli-belah terbaik dunia. Kuala Lumpur menduduki tangga keempat dalam senarai Bandar raya Beli-belah Terbaik Dunia CNN untuk dua tahun berturut-turut (2012 dan 2013). Ini meletakkan Malaysia dalam kelompok bandar raya beli-belah ternama dunia seperti New York, Tokyo dan London. Kuala Lumpur juga telah dipilih oleh Globe Shopper Index sebagai Destinasi Beli-belah ke-2 Terbaik di Asia Pasifik, yang menjadikan ibu negara kita sebagai destinasi beli-belah terbaik di Asia Tenggara dan antara yang terunggul di Asia.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:-
Puan Salinda Sany,
Penolong Pengarah Kanan, Sekretariat Shopping Malaysia
Tel: + 603-8891 8531
Emel: salinda@tourism.gov.my
SEPINTAS LALU:
• Jumlah ketibaan pelancong ke Malaysia pada 2014 mencecah 27.4 juta, meningkat sebanyak 6.7% berbanding 25.7 juta pada 2013.
• Pendapatan pelancongan pada tahun 2014 adalah sebanyak RM72 bilion, meningkat 10.0% peratus berbanding RM65.4 bilion yang diperolehi pada 2013.
• Pelancong ke Malaysia telah membelanjakan sebanyak RM21.6 bilion untuk membeli-belah, pada 2014, berbanding RM19.8 bilion yang dibelanjakan pada 2013.
• Sektor peruncitan menyumbang 30.0 peratus daripada jumlah keseluruhan pendapatan pelancongan pada 2014 berbanding 30.2 peratus pada 2013.
• Aktiviti membeli-belah menjadi penyumbang kedua tertinggi dalam jumlah keseluruhan perbelanjaan pelancong selepas sektor penginapan.
• MyFest 2015 dijangka akan membantu Malaysia mencapai sasaran ketibaan pelancong seramai 29.4 juta orang dengan pendapatan pelancongan sebanyak RM89 bilion pada 2015, sekali gus membantu untuk mencapai sasaran yang telah ditetapkan di bawah Pelan Transformasi Pelancongan Malaysia iaitu ketibaan pelancong seramai 36 juta orang dengan pendapatan pelancongan sebanyak RM168 bilion menjelang 2020.
-TAMAT-
Untuk mendapatkan siaran media, media info dan artikel berkaitan industri pelancongan di Malaysia, sila lawati Pusat Media di laman web Tourism Malaysia di www.tourismmalaysia.gov.my
LEMBAGA PENGGALAKAN PELANCONGAN MALAYSIA ATAU TOURISM MALAYSIA ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia. Tourism Malaysia bertanggungjawab untuk mempromosikan Malaysia di semua peringkat. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah membangun dengan pesatnya dan telah muncul sebagai pemain utama dalam dunia pelancongan antarabangsa. Pada 2013, Malaysia telah mencatatkan kedatangan seramai 25.7 juta orang pelancong asing dengan pendapatan pelancongan sebanyak RM65.4 bilion sekaligus menjadikan pelancongan sebagi penyumbang kedua terbesar negara menerusi tukaran mata wang asing dan penyumbang keenam terbesar kepada Pendapatan Negara Kasar (PNK).
Malaysia telah menyambut Tahun Melawat Malaysia (TMM) buat kali keempat pada 2014 dengan tema Celebrating 1Malaysia Truly Asia”. Promosi negara diteruskan dengan penganjuran Tahun Festival Malaysia (MyFest) pada 2015 dengan tema “Endless Celebrations” yang menekankan kepada pelbagai festival yang disambut oleh masyarakat yang berbilang bangsa. Kedua-dua kempen ini menjadi pemacu ke arah mencapai sasaran ketibaan seramai 36 juta pelancong dengan pendapatan pelancongan sebanyak RM168 bilion pada 2020, berdasarkan Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA).
Melalui NKEA, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan telah mempertingkatkan kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan dan sektor swasta untuk memantapkan kedudukan negara sebagai destinasi pelancong antarabangsa yang terkemuka. Sasaran yang telah ditetapkan di bawah NKEA Pelancongan akan tercapai melalui pelaksanaan 12 Projek Permulaan (EPPs) yang merangkumi lima tema: Kembara Mewah Mampu Milik; Kembara Alam Semula Jadi; Keseronokan Seisi Keluarga; Acara, Hiburan, Spa dan Sukan; dan Pelancongan Perniagaan.
Hubungi:
Unit Perhubungan Media:
Cik Azizah Aziz, Timbalan Pengarah Kanan, Bahagian Komunikasi dan Publisiti
Tel: +603-8891 8752
Emel: azizahaziz@tourism.gov.my
Unit Editorial:
Puan Anis Rozalina Ramli, Senior Editor, Bahagian Komunikasi dan Publisiti
Tel: +603-8891 8759
Emel: anisramli@tourism.gov.my