SEMINAR “WHAT’S UP NORTHERN” SIRI 1 PERKUKUH JALINAN INDUSTRI PELANCONGAN PERLIS & KEDAH SEMPENA VM2026
KANGAR, 22 April 2025 – Tourism Malaysia hari ini menganjurkan program seminar bagi membuka peluang kerjasama strategik yang boleh dijalinkan bersama penggiat industri di samping mengenal pasti produk-produk pelancongan berpotensi di negeri Perlis dan Kedah sekali gus menyemarakkan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
Program yang dinamakan “What’s Up Northern” Siri 1 (Perlis & Kedah) itu menghimpunkan seramai 60 peserta terdiri daripada rakan-rakan industri pelancongan daripada kedua-dua buah negeri dengan melibatkan beberapa perkongsian pembentangan berkaitan aktiviti pembangunan dan promosi produk-produk pelancongan melalui platform media sosial.
Abdul Hadi Che Man, Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Utara berkata, penekanan diberikan kepada promosi produk-produk pelancongan yang berpotensi untuk diketengahkan serta dipakejkan bagi menarik kunjungan pelawat domestik dan antarabangsa.
“Penganjuran seminar ini dapat membantu para penggiat industri untuk menjana idea baharu selain berkongsi pengalaman dalam industri pelancongan. Selain itu, para peserta juga berpeluang untuk memperkenalkan produk masing-masing di samping mencari rakan kerjasama strategik untuk sama-sama memajukan industri pelancongan.
“Kita juga optimis bahawa program seumpama ini dapat membentuk sinergi yang lebih kukuh antara agensi pelancongan negeri dan pusat serta merangka strategi lebih berkesan dalam menyokong perencanaan kempen VM2026,” katanya.
Para pembentang yang dijemput untuk siri kali ini terdiri daripada syarikat profesional dalam bimbingan aktiviti luar, Pretty World Resources, komuniti astronomi Sahabat Langit Utara (SALUT), Sahril Pekan Enterprise yang mempromosikan Teluk Intan River Cruise, Klook dan Persatuan Pemandu Pelancong Kedah/Perlis.
TAMAT
Tourism Malaysia
Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia atau Tourism Malaysia ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Malaysia. Tourism Malaysia giat memfokuskan kepada tugas khusus untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam industri pelancongan antarabangsa. Penganjuran Tahun Melawat Malaysia 2026 bakal meraikan kelestarian industri pelancongan negara seiring dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG). Selain itu, Tourism Malaysia turut menyokong Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) ke arah merealisasikan Tahun Melawat IMT-GT 2023-2025 bagi mempromosikan wilayah serantau sebagai destinasi pelancongan tunggal. Untuk maklumat lanjut, layari akaun media sosial Tourism Malaysia di Facebook, Instagram, X, YouTube, dan TikTok.
Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi:
Abdul Hadi Che Man
Pengarah
Tourism Malaysia Wilayah Utara
abdulhadi@tourism.gov.my
Tel: +604 – 261 0058
Norshariza Mohd Saad
Timbalan Pengarah
Bahagian Komunikasi Korporat
norshariza@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8775