Nov 12, 2013
SELEBRITI, MEDIA & AGEN PELANCONGAN DARI NEGARA ASEAN SERTAI "EXPLORE QUEST MALAYSIA 2013" UNTUK RANGSANG PENINGKATAN PELANCONG PADA TAHUN MELAWAT MALAYSIA 2014
KUALA LUMPUR, 11 NOV 2013: Seramai 107 orang yang terdiri daripada para selebriti, wakil media dan agen pelancongan dari pelbagai negara ASEAN telah berhimpun di Malaysia untuk menyertai ASEAN Explore Quest Malaysia 2013 yang akan berlangsung selama seminggu bermula hari ini hingga 17 November.
Program khas yang dianjurkan oleh Tourism Malaysia buat pertama kalinya ini adalah sebagai usaha untuk memastikan pertumbuhan berterusan kedatangan pelancong dari pasaran ASEAN terutamanya semasa sambutan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014.
Konsep program ASEAN Explore Quest Malaysia 2013 ini merupakan gabungan pelbagai aktiviti seperti eksplorasi pelancongan, aktiviti tanggungjawab sosial korporat, aktiviti inap desa dan pertandingan fotografi. Perjalanan para peserta dari Kuala Lumpur ke Perak dan Langkawi yang menggunakan bas dan kereta api akan dipenuhi dengan pelbagai aktiviti menarik.
Para peserta akan berpeluang mengelilingi ibu kota, melawat KidZania dan Kellie’s Castle, merasai pengalaman melancong dengan kereta api, menyaksikan perkahwinan olok-olok mengikut adat tradisional Melayu dan melibatkan diri dalam aktiviti komuniti serta permainan tradisional.
Sempena dengan acara tersebut, sebuah sidang akhbar yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Dato’ Mirza Mohammad Taiyab, telah diadakan di Hotel Seri Pasifik Kuala Lumpur, diikuti dengan majlis makan malam sebagai tanda terima kasih atas sokongan yang telah diberikan oleh para peserta program tersebut.
“Sama seperti tahun-tahun sebelumnya, pasaran ASEAN merupakan penyumbang terbesar kepada kedatangan pelancong ke Malaysia pada tahun 2012 dengan catatan seramai 18.8 juta pelancong. Ia merangkumi 75.1 peratus daripada jumlah keseluruhan kedatangan pelancong ke negara ini,” kata Dato’ Mirza.
“Oleh yang demikian, Tourism Malaysia akan meneruskan usaha-usaha promosi bagi merangsang minat di pasaran tersebut dengan memberi nafas baru kepada pelbagai tarikan pelancongan dan idea-idea percutian bagi memastikan para pelancong mengulangi kunjungan mereka ke negara ini,” sambung beliau lagi.
Program ini menawarkan maklumat terkini mengenai produk-produk pelancongan negara bagi membolehkan para media dan agen pelancongan mempromosikan dan memasarkan Malaysia dengan lebih yakin. Unsur-unsur lain seperti kebudayaan, masyarakat tempatan dan alam semulajadi juga akan diberi penekanan dalam semua aktiviti terutamanya dalam pertandingan fotografi.
Melalui lawatan tersebut, agen-agen pelancongan diharapkan dapat menyediakan pelbagai pakej pelancongan yang lebih menarik untuk para pelancong manakala pihak media pula boleh berkongsi pengalaman mereka bersama para pembaca.
Asean Explore Quest Malaysia 2013 turut melibatkan selebriti dari negara-negara ASEAN yang akan membantu mempromosikan pelbagai destinasi pelancongan negara dan meningkatkan kesedaran mengenai kempen TMM 2014 melalui saluran media sosial serta kelab-kelab peminat mereka. Antara selebriti yang terlibat termasuklah penyanyi serta model terkemuka Phan Le Ai Phuong dari Vietnam, hos TV dan koreografer Sheenalyn Vera Cruz dari Filipina dan pelakon Chaw Chaw Yu Mon Kyaw Tint dari Myanmar.
Bagi memastikan kejayaan program tersebut, Tourism Malaysia telah menjalin kerjasama pintar bersama akhbar The Star dan Star Radio Group yang terdiri daripada Suria FM, Capital FM, Red FM, dan 988 (media rasmi), Malaysia Airlines (syarikat penerbangan rasmi) dan AirAsia (syarikat penerbangan kos rendah rasmi).
Tourism Malaysia turut menerima sokongan daripada pelbagai organisasi termasuk kerajaan Negeri Perak, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Keretapi Tanah Melayu (KTM) dan juga DiGi, KidZania Kuala Lumpur, Munchy’s, Nippon Paint, Pensonic, dan Pepsico.
Pada 2012, sejumlah 18.8 juta pelancong dari negara-negara ASEAN telah berkunjung ke Malaysia.
Bagi tahun ini, negara telah mensasarkan kedatangan seramai 19.9 juta pelancong dari rantau tersebut. Malaysia telah menerima seramai 9.2 juta pelancong dari negara-negara ASEAN bagi tempoh enam bulan pertama 2013.
Untuk maklumat lanjut mengenai ASEAN Explore Quest Malaysia 2013, sila hubungi En. Abdul Rauf Abu Hassan, Timbalan Pengarah Pemasaran Antarabangsa (Asia Tenggara), Tourism Malaysia, di talian 603-8891 8252 atau melalui e-mel abdulrauf@tourism.gov.my.
TAMAT
Untuk mendapatkan siaran media, media info dan artikel berkaitan industri pelancongan di Malaysia, sila lawati Pusat Media di laman web Tourism Malaysia di http://www.tourismmalaysia.gov.my/.
LEMBAGA PENGGALAKAN PELANCONGAN MALAYSIA ATAU TOURISM MALAYSIA ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia. Tourism Malaysia bertanggungjawab untuk mempromosikan Malaysia di semua peringkat. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah membangun dengan pesatnya dan telah muncul sebagai pemain utama dalam dunia pelancongan antarabangsa. Pada 2012, Malaysia telah mencatatkan kedatangan seramai 25 juta orang pelancong asing dengan pendapatan pelancongan sebanyak RM60.6 bilion sekaligus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan ke-10 paling popular di dunia
Pada 2014, Malaysia akan menyambut Tahun Melawat Malaysia (TMM) buat kali keempat dengan tema “Celebrating 1Malaysia Truly Asia”. Kempen promosi TMM 2014 telahpun bermula pada tahun ini dan akan dipenuhi dengan pelbagai acara istimewa dan aktiviti-aktiviti menarik sepanjang tahun sehinggalah tibanya TMM 2014. Penganjuran kempen TMM 2014 dijangka akan dapat membantu kerajaan mencapai sasaran untuk menerima kedatangan pelancong seramai 36 juta orang dengan pendapatan sebanyak RM168 bilion menjelang 2020 seperti yang digariskan dalam Pelan Transformasi Pelancongan Malaysia 2020.
Hubungi:
Unit Perhubungan Media:
Encik Razaidi Abd Rahim, Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Komunikasi dan Publisiti
Emel: razaidi@tourism.gov.my
Unit Editorial:
Puan Anis Rozalina Ramli, Senior Editor, Bahagian Komunikasi dan Publisiti
Emel: anisramli@tourism.gov.my