Sep 30, 2014
SARAWAK BAKAL JADI LOKASI POPULAR AKTIVITI SELAM SKUBA
MIRI, 30 September 2014 – Enam pakej menyelam skuba yang telah dibangunkan oleh Tourism Malaysia bakal menjadikan Sarawak sebagai syurga bagi para penyelam skuba. Pelancaran pakej “Sarawak Adventure Dive” 2014/2015 peringkat negeri Sarawak telah dirasmikan oleh Pengarah Pemasaran Domestik Tourism Malaysia YBhg. Datuk Musa Yusof di Hotel Imperial Palace, di sini, hari ini.
Pembangunan pakej ini adalah hasil kerjasama antara Tourism Malaysia Sarawak dengan empat buah agensi pelancongan yang terdiri daripada Borneo Exploration Tours & Travel Service, dan CPH Travel Agencies yang berpusat di Kuching serta Minda Nusantara Tour & Travel Agencies, dan Planet Borneo Tours & Travel Service yang terletak di Miri.
Enam pakej menyelam yang ditawarkan sehingga Disember 2015 ini adalah seperti berikut:-
• Wreck Dives (Kuching) – Pakej 4 hari 3 malam dari RM1,860 – RM2,400 seorang (minimum empat orang tanpa peralatan).
• Dive Package 1 (Kuching) - Pakej 3 hari 2 malam bermula dari RM719 seorang.
• Dive Package 2 (Kuching) – Pakej 4 hari 3 malam bermula dari RM1,132 seorang.
• Dive Miri – Pakej 4 hari 3 malam bermula dari RM850 – RM1,350 seorang (minimum dua orang).
• Miri Dive Holidays – Pakej 5 hari 4 malam dari RM1,080 – RM1,450 seorang.
• Miri Dive & Stay Package @cocohouse – Pakej 4 hari 3 malam bermula dari RM748 seorang.
Sempena pelancaran pakej tersebut, seramai 30 penyelam yang terdiri daripada wakil media, para pengusaha pusat menyelam dan agensi-agensi pelancongan dari seluruh negara serta para penggiat industri pelancongan Miri telah dijemput untuk menyertai aktiviti menyelam di perairan Sarawak.
Antara lokasi menyelam yang akan mereka kunjungi termasuklah Anemone Garden, Kenyalang Wreck, Atago Maru WW2 Wreck dan Eve’s Garden selain dibawa meneroka keunikan Gua Niah.
Di samping itu, mereka turut menghadiri seminar berkaitan industri menyelam anjuran Tourism Malaysia Sarawak yang telah disampaikan oleh Pengarah Kursus PADI Clement Lee, Pengurus Wilayah PADI - Asia Pasific Johnny Chew dan Pengarah Kids Scuba Malaysia Syed Abdul Rahman Syed Hassan.
Pakej “Sarawak Adventure Dive” 2014/2015 ini telah diperkenalkan buat pertama kalinya pada program Cuti-Cuti 1Malaysia Travel Fair yang berlangsung di Kompleks Beli-belah Mid Valley pada 8 Ogos 2014.
Lokasi Menyelam di Kuching
Bangkai kapal Perang Dunia Ke-2 berhampiran Santubong menjadi lokasi pilihan bagi para peminat aktiviti selam skuba dari dalam dan luar negara kerana keseronokkan menerokai sisa-sisa kapal perang Jepun seperti Katori Maru, Hisyoshi Maru dan Sagiri.
Bangkai-bangkai kapal tersebut turut memainkan peranan penting dalam ekosistem marin kerana menjadi pelindung kepada hidupan marin di kawasan tersebut. Kedalaman sekitar bahagian bawah kapal-kapal karam tersebut ialah 22 meter dan boleh dianggap mudah untuk diterokai.
Selain aktiviti menyelam, pelbagai aktiviti lain turut boleh dilakukan seperti melawat Kampung Budaya Sarawak, Pusat Pemulihan Hidupan Liar Semenggoh, Taman Negara Bako ataupun menerokai khazanah alam lain seperti Gua Sireh & Gua Sebayan di Bau.
Lokasi Menyelam di Miri
Miri merupakan antara destinasi terawal di Sarawak yang telah dikenal pasti sebagai lokasi untuk aktiviti menyelam. Terdapat kira-kira lebih daripada 30 lokasi menyelam di sekitar perairan Miri. Jarak penglihatan dalam air ialah dari 10 meter sehingga 30 meter dan musim yang terbaik untuk menyelam di Miri ialah dari bulan Mac hingga September ataupun November bergantung pada keadaan cuaca.
Selain kawasan menyelam semulajadi, Miri juga mempunyai lima kawasan menyelam kapal karam. Antara lokasi menyelam yang tercantik di Miri ialah kawasan tukun tiruan yang dinamakan Kenyalang Wreck. Ia telah dibangunkan melalui projek usahasama antara Shell dengan Petronas kira-kira tujuh tahun yang lalu. Lokasi menyelam lain yang boleh diterokai termasuklah Anemone Garden, Siwa Reef dan Hawa Reef.
Usaha membangunkan pakej “Sarawak Adventure Dive” 2014/2015 ini merupakan kesinambungan daripada program “Product Introduction & Packaging – Kuching Adventure Dive” yang telah dianjurkan oleh Tourism Malaysia Sarawak pada tahun 2013 di Kuching, Sarawak.
Untuk maklumat lanjut mengenai pakej tersebut, sila hubungi Sitinor Zuliawati Mohd Din, Pegawai Pelancongan, Tourism Malaysia Sarawak di talian +082-246575 atau e-mel sitinorzuliawati@tourism.gov.my.
-TAMAT-
Untuk mendapatkan siaran media, media info dan artikel berkaitan industri pelancongan di Malaysia, sila lawati Pusat Media di laman web Tourism Malaysia di http://www.tourismmalaysia.gov.my/.
LEMBAGA PENGGALAKAN PELANCONGAN MALAYSIA ATAU TOURISM MALAYSIA ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia. Tourism Malaysia bertanggungjawab untuk mempromosikan Malaysia di semua peringkat. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah membangun dengan pesatnya dan telah muncul sebagai pemain utama dalam dunia pelancongan antarabangsa. Pada 2013, Malaysia telah mencatatkan kedatangan seramai 25.7 juta orang pelancong asing dengan pendapatan pelancongan sebanyak RM65.4 bilion sekaligus menjadikan pelancongan sebagi penyumbang kedua terbesar negara menerusi tukaran mata wang asing dan penyumbang keenam terbesar kepada Pendapatan Negara Kasar (PNK).
Malaysia sedang menyambut Tahun Melawat Malaysia (TMM) buat kali keempat pada 2014 dengan tema Celebrating 1Malaysia Truly Asia”. Kempen promosi TMM 2014 telahpun bermula pada 2013 dan dipenuhi dengan pelbagai acara istimewa dan aktiviti-aktiviti menarik sepanjang tahun sehinggalah tibanya TMM 2014. Penganjuran kempen TMM 2014 dijangka akan dapat membantu kerajaan mencapai sasaran untuk menerima kedatangan pelancong seramai 36 juta orang dengan pendapatan sebanyak RM168 bilion menjelang 2020 seperti yang digariskan dalam Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) Pelancongan.
Melalui NKEA, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan telah mempertingkatkan kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan dan sektor swasta untuk memantapkan kedudukan negara sebagai destinasi pelancong antarabangsa yang terkemuka. Sasaran yang telah ditetapkan di bawah NKEA Pelancongan akan tercapai melalui pelaksanaan 12 Projek Permulaan (EPPs) yang merangkumi lima tema: Kembara Mewah Mampu Milik; Kembara Alam Semula Jadi; Keseronokan Seisi Keluarga; Acara, Hiburan, Spa dan Sukan; dan Pelancongan Perniagaan.
Hubungi:
Unit Perhubungan Media:
Cik Azizah Aziz, Timbalan Pengarah Kanan, Bahagian Komunikasi dan Publisiti
Tel: +603-8891 8752
Emel: azizahaziz@tourism.gov.my
Unit Editorial:
Puan Anis Rozalina Ramli, Senior Editor, Bahagian Komunikasi dan Publisiti
Tel: +603-8891 8759
Emel: anisramli@tourism.gov.my