Aug 24, 2024

SABAH DURIAN TOURISM BAZAAR 2024 TINGKATKAN AGROPELANCONGAN DI KENINGAU

KENINGAU, 24 Ogos 2024 – Durian Tourism atau pelancongan durian merupakan satu segmen yang telah berjaya menarik minat pelancong domestik dan antarabangsa, terutamanya dari negara China dan negara-negara ASEAN.

Dalam usaha memeriahkan dan mempromosikan musim durian di Malaysia, Tourism Malaysia Sabah telah bekerjasama dengan Lembaga Pelancongan Sabah (STB), MATTA Sabah Chapter dan Persatuan Pengusaha Durian dan Buah-buahan Tropika Sabah (MaSDa) untuk menjayakan acara yang berlangsung selama dua hari pada 24 dan 25 Ogos 2024 bertempat di The Durian Valley, Keningau.

YB Khairul Firdaus Akhbar Khan, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya berkata, antara objektif penganjuran acara ini adalah untuk menggalakkan lebih banyak pengusaha agro berkecimpung dalam agropelancongan. “Penglibatan dalam agropelancongan bukan sahaja membantu meningkatkan sumber pendapatan malah menjadi platform pertukaran maklumat kepada para pengunjung sekali gus meningkatkan potensi segmen pelancongan ini di Sabah,” katanya.

Terdapat 31 buah gerai jualan durian, buah-buahan, makanan dan minuman hasil pengusaha agro dan peniaga kecil dari daerah-daerah di Sabah sedia untuk dikunjungi. “Pelbagai program tambahan dilaksanakan bagi menarik pengunjung ke bazaar ini seperti pertandingan Durian Race, pertandingan mewarna dan melukis kanak-kanak, pertandingan dekorasi kek kreatif serta persembahan kebudayaan dan muzik,” kata Encik Duane Evans, Presiden MaSDa kepada media.

Penganjuran acara Sabah Durian Tourism Bazaar 2024 merupakan kesinambungan kepada pelancaran pakej agropelancongan Durian Tourism 2024/2025 pada 27 Jun 2024 di Broga Orchard Hill Lenggeng, Negeri Sembilan. Sebanyak 62 pakej agropelancongan Durian Tourism telah dibangunkan menerusi kerjasama dengan 27 pengendali pelancongan tempatan. Pakej-pakej yang ditawarkan meliputi negeri Sabah, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Melaka, Johor, Pahang dan Kelantan.

TAMAT

Tourism Malaysia

Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia atau Tourism Malaysia ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Malaysia. Tourism Malaysia giat memfokuskan kepada tugas khusus untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam industri pelancongan antarabangsa. Penganjuran Tahun Melawat Malaysia 2026 bakal meraikan kelestarian industri pelancongan negara seiring dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG). Selain itu, Tourism Malaysia turut menyokong Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) ke arah merealisasikan Tahun Melawat IMT-GT 2023-2025 bagi mempromosikan wilayah serantau sebagai destinasi pelancongan tunggal. Untuk maklumat lanjut, layari akaun media sosial Tourism Malaysia di Facebook, Instagram, Twitter, YouTube, dan TikTok.

Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi:

Fariza Zakaria
Pegawai Pelancongan
Tourism Malaysia Sabah
fariza@tourism.gov.my
Tel: +608 8248 698

Marhafizman Mohamad Daud
Pegawai Pelancongan Kanan
Bahagian Komunikasi Korporat
marhafizman@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8785

Related Photos

Copyright © 2025 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use