RAIKAN KEDATANGAN TAHUN BARU CINA DENGAN PALUAN 200 GENDANG DI CHINATOWN
PUTRAJAYA, 8 FEBRUARI 2013: Sekumpulan usahawan tempatan telah berjaya menyahut seruan Perdana Menteri Malaysia untuk menjadikan Tahun Melawat Malaysia 2014 sebagai misi negara dengan menganjurkan satu acara unik bagi meraikan Tahun Baru Cina.
Dengan bertemakan “Berikan Kebahagian” atau “Delivering Happiness”, acara Semarak Gendang Perpaduan yang diilhamkan oleh Organisasi Usahawan Cawangan Malaysia atau Malaysian Chapter of the Entrepreneurs’ Organisation (EO) dan mendapat sokongan Kementerian Pelancongan Malaysia ini ialah sebuah persembahan kebudayaan dan musikal yang memaparkan gabungan persembahan lebih 200 buah gendang oleh pelbagai kaum di Malaysia di sepanjang jalan di Chinatown bagi meraikan Tahun Ular.
“Acara ini menjanjikan sebuah persembahan kebudayaan yang begitu bermakna dan mengujakan serta pastinya akan meninggalkan kesan yang tidak akan dapat dilupakan kepada para pelancong asing dan rakyat tempatan di samping dapat meletakkan Chinatown KL pada peta dunia.
Semarak Gendang Perpaduan yang menjanjikan persembahan jalanan yang terbesar dalam sejarah di Malaysia ini diadakan bersempena dengan acara sambutan Tahun Baru Cina di Jalan Petaling pada hari Ahad ini, 17 Februari, dari jam 4.00 petang hingga 11.00 malam,” kata Menteri Pelancongan, YB Dato’ Sri Dr. Ng Yen Yen di sini, hari ini.
“Acara Semarak Gendang Perpaduan ini diadakan adalah bertujuan untuk menyambut tahun baru lunar di tengah-tengah Chinatown KL dengan disertai oleh pelbagai kaum di Malaysia sejajar dengan ketulusan semangat 1Malaysia yang melambangkan perpaduan, harmoni, kegembiraan dan kegemilangan. Ia adalah untuk meraikan kekukuhan perpaduan daripada budaya yang pelbagai. Acara ini juga adalah untuk membina semangat kekitaan yang dapat melahirkan masyarakat yang bersatu padu melalui perkongsian pelbagai acara, aktiviti-aktiviti menarik dan pelbagai makanan tempatan,” sambung beliau lagi.
Selain itu, pelbagai acara yang menarik turut diadakan termasuklah persembahan oleh Angkatan Tentera Malaysia, persembahan akrobatik oleh Persatuan Tarian Singa yang bergelar juara dunia, produksi teater & cahaya yang akan mempersembahkan kekayaan sejarah Chinatown, persembahan pentas oleh wakil Tourism Malaysia, gerai-gerai makanan jalanan serta persembahan piroteknik dan bunga api.
Menteri Pelancongan berkata bahawa acara Semarak Gendang Perpaduan ini akan menguntungkan para peniaga tempatan selain menyediakan peluang yang unik bagi mempersembahkan kekayaan khazanah warisan Chinatown KL yang berwarna warni serta turut mengukuhkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Bagi memudahkan para pengunjung untuk menikmati makanan di gerai-gerai jalanan yang terkenal di Chinatown tersebut maka Jalan Sultan akan ditutup untuk semua lalu lintas dan bertukar menjadi laluan pejalan kaki pada 17 Februari dari jam 6.00 petang hingga 11.00 malam.
Organisasi Usahawan Cawangan Malaysia (EO) ialah sebuah komuniti global yang memperkayakan kehidupan ahli-ahlinya melalui pembelajaran langsung dengan rakan sebaya, hubungan dengan pakar dan pengalaman-pengalaman yang terhebat dalam hidup. EO merupakan pemangkin yang membolehkan para usahawan untuk belajar daripada satu sama lain, seterusnya membawa kepada pencapaian terhebat dalam perniagaan dan memperkayakan pengalaman hidup.
Untuk maklumat lanjut mengenai acara ini, sila hubungi
Celine Lai
Chapter Administrator
Entrepreneurs' Organization Malaysia
Tel: 03- 6253 5788 / 03-6241 5386
Faks: 03-6251 1448
EO FB Fanpage: www.facebook.com/eomalaysia