Feb 17, 2017

PULAU PINANG TUAN RUMAH MAJLIS PERAYAAN PELANCONGAN TAHUN BAHARU CINA

PUTRAJAYA, 13 Februari 2017: Bersempena dengan Tahun Baharu Cina, Tourism Malaysia akan menganjurkan satu program khas bagi meraikan perayaan tersebut di Pulau Pinang. Majlis Perayaan Pelancongan Tahun Baharu Cina ini akan diadakan di Jalan Padang Kota Lama, Georgetown, Pulau Pinang pada 24 Februari dari pukul 8 malam hingga 10 malam.

Seramai 10,000 orang dijangka menghadiri acara ini yang akan dihoskan oleh Dato’ (Dr) Siew Ka Wei, Pengerusi Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia dan bakal diserikan dengan kehadiran Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Dato’ Seri Nazri Abdul Aziz danKetua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Pelancong asing dan penduduk tempatan adalah dijemput untuk menghadiri majlis perayaan ini bagi menyaksikan sendiri kekayaan warisan budaya masyarakat Cina di negara ini, dan persembahan tarian kebudayaan, di samping menikmati pelbagai jenis makanan tempatan.

Majlis Perayaan Pelancongan Tahun Baharu Cina ini bertujuan memupuk perpaduan, persefahaman, dan semangat muhibah dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini, selari dengan semangat 1Malaysia. Di samping itu, ia juga menyasarkan untuk meningkatkan pelancongan domestik dan menggalakkan rakyat Malaysia untuk bercuti di dalam negara.

Pulau Pinang merupakan pilihan terbaik untuk menjadi tuan rumah kepada acara ini kerana 45% dari 1.6 juta penduduknya adalah terdiri daripada masyarakat Cina. Pulau Pinang turut terkenal sebagai syurga makanan dan destinasi pelancongan utama kerana keindahan pantai-pantai, khazanah alam semulajadi, dan warisan sejarahnya. Pada tahun 2008, ibu kotanya, George Town telah diisytiharkan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO.

TAMAT

Untuk mendapatkan siaran akhbar, media info dan artikel berkaitan industri pelancongan di Malaysia, sila lawati Pusat Media di laman web Tourism Malaysia di http://www.tourism.gov.my/

LEMBAGA PENGGALAKAN PELANCONGAN MALAYSIA ATAU TOURISM MALAYSIA ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia. Ia memberi tumpuan kepada tugas khusus iaitu mempromosi Malaysia sebagai destinasi percutian pilihan. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah membangun dengan pesatnya dan telah muncul sebagai pemain utama dalam dunia pelancongan antarabangsa. Pada 2015, Malaysia telah mencatatkan kedatangan seramai 25.7 juta orang pelancong asing dengan pendapatan pelancong sebanyak RM69.1 bilion, sekali gus meletakkannya dalam kalangan destinasi pelancongan utama dunia.

Hubungi:

Unit Perhubungan Media:

Mohd Libra Lee Haniff, Timbalan Pengarah, Bahagian Komunikasi Korporat
Tel: +603-8891 8752
Emel: mohdlibra@tourism.gov.my

Unit Editorial:

Puan Anis Rozalina Ramli, Senior Editor, Bahagian Komunikasi Korporat
Tel: +603-8891 8759
Emel: anisramli@tourism.gov.my


Copyright © 2024 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use