Aug 22, 2016

PULAU PINANG TARIK MINAT PEMERHATI BURUNG DARI DALAM DAN LUAR NEGARA

SEBERANG PERAI UTARA, 20 Ogos 2016 – Penganjuran “Bengkel Pembangunan Pakej Bird Watching Pulau Pinang 2016” di Homestay Lahar Yooi di sini hari ini bertujuan memberi pendedahan kepada para pengusaha inap desa dan pengusaha agensi pelancongan Pulau Pinang mengenai aktiviti memerhati burung sebagai tarikan terbaru bagi segmen pelancongan minat khas di negeri ini.

Bengkel sehari yang buat julung kalinya diadakan ini merupakan inisiatif Tourism Malaysia Pulau Pinang dan mendapat kerjasama daripada Persatuan Pencinta Alam Malaysia, Jabatan Perhilitan Pulau Pinang, Jabatan Perhutanan Pulau Pinang dan Persatuan Homestay Pulau Pinang.

Seramai 60 orang peserta daripada 11 inap desa dan 15 agensi pelancongan dari seluruh Pulau Pinang telah menyertai bengkel tersebut.

Pengarah Tourism Malaysia Pulau Pinang Harun Pilus berkata “Tourism Malaysia ingin mempopularkan aktiviti memerhati burung dalam kalangan pelancong domestik dan menarik minat pemerhati burung dari luar negara ke Pulau Pinang memandangkan negeri ini merupakan habitat kepada lebih daripada 150 spesies burung dan juga menjadi tempat persinggahan burung-burung hijrah.”

Menurut Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai YBhg. Dato’ Maimunah Mohd Sharif, bengkel ini juga merupakan landasan terbaik bagi membantu dan menggalakkan para pengusaha inap desa dan pengusaha agensi pelancongan untuk bekerjasama membangunkan pakej-pakej pelancongan memerhati burung apatah lagi lokasi-lokasi memerhati burung di Pulau Pinang ini adalah berdekatan dengan inap-inap desa.

“Perkara yang paling utama ialah aktiviti memerhati burung ini boleh memberi pendidikan kepada masyarakat tempatan untuk menghargai burung dan memahami burung sebagai sebahagian daripada alam semulajadi dan kepentingannya dalam ekosistem,” sambung beliau lagi.

Antara spesies burung yang boleh dilihat di Pulau Pinang ialah Asian Fairy Bluebird, Hairy Backed Bul-Bul, Changeable Hawk-Eagle, Red Broadbill, Asia Paradise Flycatcher, Brahminy Kite dan spesies burung terancam seperti Spotted Greenshank Tringa Guttifer.

Pembangunan pakej-pakej pelancongan memerhati burung ini akan dapat menambah variasi kepada kempen Cuti-Cuti 1Malaysia ‘Dekat Je’ dan mempelbagaikan lagi produk pelancongan di Pulau Pinang.

STATISTIK

Berdasarkan laporan Jabatan Imigresen Cawangan Negeri Pulau Pinang, jumlah ketibaan pelancong asing ke Pulau Pinang pada 2015 ialah seramai 1,303,780 orang iaitu meningkat sebanyak 1.5% berbanding1,284,999 pada tahun 2014.

Berdasarkan laporan Bahagian Penyelidikan Tourism Malaysia pula, jumlah penginap hotel (domestik dan antarabangsa) di Pulau Pinang ialah seramai 6,347,618 pada tahun 2015 dan seramai 6,847,569 orang pada tahun 2014.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Pegawai Tourism Malaysia Pulau Pinang, Encik Muhd Haizal Razali atau Mohd Khairi Ahamad di talian 04-2610058 atau emel muhamadhaizal@tourism.gov.my / mohdkhairi@tourism.gov.my

-TAMAT-

Untuk mendapatkan siaran media, media info dan artikel berkaitan industri pelancongan di Malaysia, sila lawati Pusat Media di laman web Tourism Malaysia di http://www.tourismmalaysia.gov.my/.

LEMBAGA PENGGALAKAN PELANCONGAN MALAYSIA ATAU TOURISM MALAYSIA ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia. Tourism Malaysia bertanggungjawab untuk mempromosikan Malaysia di semua peringkat. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah membangun dengan pesatnya dan telah muncul sebagai pemain utama dalam dunia pelancongan antarabangsa. Pada 2015, Malaysia telah mencatatkan kedatangan seramai 25.7 juta orang pelancong asing dengan pendapatan pelancong sebanyak RM69.1 bilion.

Melalui NKEA, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan telah mempertingkatkan kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan dan sektor swasta untuk memantapkan kedudukan negara sebagai destinasi pelancong antarabangsa yang terkemuka.

Sasaran yang telah ditetapkan di bawah NKEA Pelancongan akan tercapai melalui pelaksanaan 12 Projek Permulaan (EPPs) yang merangkumi lima tema: Kembara Mewah Mampu Milik; Kembara Alam Semula Jadi; Keseronokan Seisi Keluarga; Acara, Hiburan, Spa dan Sukan; dan Pelancongan Perniagaan.

Hubungi:

Unit Perhubungan Media:

Cik Chresentia F.B. Sadatal, Penolong Pengarah, Bahagian Komunikasi Korporat
Tel: +603-8891 8776
Emel: chresentia@tourism.gov.my

Unit Editorial:

Puan Anis Rozalina Ramli, Senior Editor, Bahagian Komunikasi Korporat
Tel: +603-8891 8759
Emel: anisramli@tourism.gov.my

Copyright © 2024 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use