Aug 15, 2019

PRESTASI PELANCONGAN DOMESTIK 2018

JUMLAH PELANCONG MENINGKAT 10.9%

PERBELANJAAN PELANCONG MENINGKAT 11.7%

PUTRAJAYA, 15 OGOS 2019: Tourism Malaysia pada hari ini telah mengadakan satu sesi sidang media bersama Jabatan Perangkaan Malaysia bagi membentangkan prestasi pelancongan domestik bagi tahun 2018.

Bilangan pelancong domestik menunjukkan pertumbuhan positif dua digit sebanyak 10.9% pada tahun 2018 dengan merekodkan seramai 78.2 juta pelancong domestik berbanding dengan 70.5 juta pelancong domestik pada tahun 2017.

Jumlah perbelanjaan oleh pelancong domestik juga mencatatkan pertumbuhan dua digit iaitu sebanyak 11.7% dengan merekodkan sejumlah RM60.4 bilion berbanding RM54.1 bilion pada tahun 2017.

Purata perbelanjaan per kapita (average per capita expenditure) meningkat sebanyak 0.7% kepada RM772 berbanding RM767 pada tahun 2017.

Perbelanjaan bagi aktiviti membeli-belah mencatatkan peratus tertinggi daripada keseluruhan jumlah perbelanjaan iaitu sebanyak 26.8%. Ini diikuti oleh perbelanjaan

bahan api kenderaan (15.4%), makanan dan minuman (13.9%), perbelanjaan oleh isi rumah yang dilawati (13.7%), penginapan (13.0%), pengangkutan (8.4%), perbelanjaan aktiviti lain (4.9%), dan perbelanjaan sebelum perjalanan/pakej/bayaran masuk/tiket (3.9%).

Purata bilangan hari menginap (average length of stay) menunjukkan peningkatan sebanyak 3.8% iaitu 2.44 malam pada tahun 2018 berbanding 2.35 malam pada tahun 2017.

Negeri yang paling ramai dikunjungi oleh pelancong domestik adalah Pahang yang menerima seramai 9.2 juta pelancong. Ini diikuti oleh Johor (7.8 juta), Perak (7.6 juta), Selangor (6.8 juta) dan Negeri Sembilan (6.1 juta).

Pelancong domestik memilih penginapan tidak berbayar yang disediakan oleh saudaramara dan rakan sebagai pilihanan penginapan utama. Ia mencatatkan jumlah peratus tertinggi iaitu 68.2%, diikuti oleh hotel (20.4%), apartmen (4.4%), homestay atau rumah percutian (3.0%), chalet (2.3%) dan rumah rehat (1.7%).

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Datuk Mohamaddin bin Ketapi berkata, “Pelancongan domestik memainkan peranan penting dalam meningkatkan ekonomi negara dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya akan sentiasa bekerjasama dengan Tourism Malaysia untuk menyokong promosi pelancongan domestik.”

Beliau berkata, “Pertumbuhan pelancongan domestik 2018 yang memberangsangkan ini menyuntik semangat yang kuat untuk Kementerian merancakkan dan menjayakan kempen Visit Malaysia 2020. Ia merupakan suatu misi nasional dengan matlamat memastikan Malaysia kekal berdaya saing dalam industri pelancongan global.”

“Harapan kami adalah agar rakyat Malaysia bersama-sama mendokong misi nasional ini dan terus menyokong industri pelancongan di Malaysia,” tambah beliau.

Turut hadir pada majlis sidang media hari ini adalah YBhg. Dato' Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin, Ketua Perangkawan Malaysia, Jabatan Perangkaan Malaysia.

Statistik berkaitan pelancongan domestik Malaysia ini adalah hasil daripada Survei Pelancongan Domestik yang dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Perangkaan Malaysia.

TAMAT

Untuk mendapatkan siaran akhbar, media info dan artikel berkaitan industri pelancongan di Malaysia, sila lawati Pusat Media di laman web Tourism Malaysia di http://www.tourism.gov.my/

LEMBAGA PENGGALAKAN PELANCONGAN MALAYSIA ATAU TOURISM MALAYSIA ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia. Tourism Malaysia menumpukan kepada tugas khusus iaitu mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam dunia pelancongan antarabangsa. Pada 2018, Malaysia telah mencatatkan kedatangan seramai 25.8 juta orang pelancong asing dan pendapatan pelancong berjumlah sebanyak RM84.1 bilion sekali gus meletakkan negara ini dalam kalangan destinasi pelancongan utama dunia.

Hubungi:

Unit Media
Encik Muadz Samat,
Penolong Pengarah,
Bahagian Komunikasi Korporat
Tel: +603-8891 8755
Emel: muadz@tourism.gov.my

Rohaida Mohamad
Pegawai Perhubungan Awam,
Jabatan Perangkaan Malaysia
Tel: +603 8885 7942
Emel: rohaida.mohamad@dosm.gov.my

Related Photos

Copyright © 2024 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use