Jul 9, 2019

PRESTASI KETIBAAN PELANCONG MENINGKAT SEBANYAK +4.8% BAGI TEMPOH JANUARI-MEI 2019


KUALA LUMPUR, 9 JULAI 2019 – Sektor pelancongan negara telah mencatatkan perkembangan positif dari segi ketibaan pelancong antarabangsa ke Malaysia dengan ketibaan seramai 10,954,014 pelancong bagi tempoh Januari hingga Mei 2019 berbanding 10,454,447 pelancong bagi tempoh yang sama pada tahun 2018, menyaksikan peningkatan sebanyak +4.8%.

Pasaran jarak dekat iaitu ASEAN masih mengekalkan kedudukan sebagai penyumbang terbesar ketibaan pelancong asing ke Malaysia dengan syer sebanyak 69.2% iaitu peningkatan sebanyak +4.7% dengan jumlah ketibaan seramai 7,584,128 pelancong berbanding 7,245,570 pelancong pada tempoh yang sama tahun lepas. Peningkatan ini disebabkan terdapatnya pertumbuhan positif dari segi ketibaan dari pasaran-pasaran seperti Indonesia, Singapura dan Thailand.

Jumlah syer bagi pasaran jarak sederhana pula ialah sebanyak 21.4% dengan peningkatan sebanyak +7.6% bagi jumlah ketibaan pelancong seramai 2,347,789 orang. Ia didorong terutamanya oleh pertumbuhan pasaran Asia Timur seperti Cina, Korea Selatan dan Jepun dan pasaran Asia Selatan seperti India dan Pakistan yang masing-masing menunjukkan peningkatan sebanyak +6.7% dan +11.0% berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Syer pasaran jarak jauh pula adalah sebanyak 9.4% yang menyaksikan penurunan sebanyak -0.2% dengan ketibaan seramai 1,021,228 pelancong. Penurunan ini disebabkan oleh kejatuhan dari segi jumlah ketibaan pelancong dari pasaran Asia Barat dan Afrika serta beberapa negara Eropah seperti Perancis, Belanda, Sepanyol dan Sweden yang dipengaruhi oleh kekurangan penerbangan terus dari pasaran ini ke Malaysia.

Jumlah ketibaan pelancong asing ke Malaysia untuk 45 pasaran utama bagi tempoh Januari-Mei 2019 adalah seperti di lampiran. Untuk memuat turun data, sila layari: http://mytourismdata.tourism.gov.my/

TAMAT

Untuk mendapatkan siaran akhbar, media info dan artikel berkaitan industri pelancongan di Malaysia, sila lawati Pusat Media di laman web Tourism Malaysia di http://www.tourism.gov.my/

LEMBAGA PENGGALAKAN PELANCONGAN MALAYSIA ATAU TOURISM MALAYSIA ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia. Tourism Malaysia menumpukan kepada tugas khusus iaitu mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam dunia pelancongan antarabangsa. Pada 2018, Malaysia telah mencatatkan kedatangan seramai 25.8 juta orang pelancong asing dan pendapatan pelancong berjumlah sebanyak RM84.1 bilion sekali gus meletakkan negara ini dalam kalangan destinasi pelancongan utama dunia.

Hubungi:

Unit Media
Encik Muadz Samat, Penolong Pengarah, Bahagian Komunikasi Korporat
Tel: +603-8891 8755
Emel: muadz@tourism.gov.my

Copyright © 2024 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use