Jul 22, 2019

PERDANA MENTERI MALAYSIA LANCAR LOGO KEMPEN MELAWAT MALAYSIA 2020

SEPANG, 22 JULAI 2019: Perdana Menteri Malaysia, Y.A.B. Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini menyempurnakan pelancaran logo kempen Melawat Malaysia 2020 di Lapangan Terbang Antarabangsa Sepang, di sini, sekali gus menyeru semua rakyat Malaysia supaya merangkul kempen ini sebagai satu misi nasional bagi memastikan kejayaannya.

Logo kempen Melawat Malaysia 2020 yang merupakan sebahagian daripada usaha pemasaran dan promosi kempen tersebut, menampilkan pelbagai ikon Malaysia yang cukup dikenali seperti burung kenyalang, bunga raya, paku pakis liar dan warna-warna bendera Malaysia. Secara keseluruhannya, ia menggambarkan kepelbagaian yang terdapat dalam budaya, warisan, flora dan fauna serta pengalaman yang ditawarkan oleh Malaysia sebagai sebuah destinasi percutian.

Logo ciptaan Alfred Phua Hong Fook, seorang pereka grafik, telah berjaya mengetepikan beratusratus rekaan logo yang diterima dari seluruh Malaysia sepanjang tempoh pertandingan tersebut berlangsung pada awal tahun ini.

Y.A.B. Tun Dr. Mahathir turut menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman Mengenai Promosi Bersama antara Tourism Malaysia dengan pelbagai pihak yang terdiri daripada Malaysia Airlines, AirAsia, Firefly, Malindo Air, Malaysia Airports Holdings Berhad dan Sharp (M) Electronics Sdn. Bhd. Beliau kemudiannya melancarkan “livery” khas pesawat yang tertera logo “Visit Malaysia 2020” di badan pesawat keempat-empat syarikat penerbangan tersebut.

Tahun 2020 telah ditetapkan sebagai tahun untuk kempen Melawat Malaysia 2020 dengan sasaran untuk mencapai ketibaan pelancong antarabangsa seramai 30 juta dengan pendapatan pelancongan sebanyak RM100 bilion. Kempen ini memfokuskan kepada kelestarian pelancongan, seni dan kebudayaan.

Bagi memastikan kejayaan kempen ini, Tourism Malaysia telah bekerjasama dengan sektor-sektor swasta seperti Sharp (M) Electronics Sdn. Bhd., Malaysia Airlines, AirAsia, Firefly, Malindo Air dan Malaysia Airports Holdings Berhad bagi melaksanakan aktiviti-aktiviti pemasaran dan promosi dengan menggunakan platform media tempatan dan antarabangsa mereka.

Selain itu, dana khas berjumlah RM5 juta yang dikenali sebagai GAMELAN Malaysia telah disediakan oleh kerajaan sebagai sokongan kewangan kepada para penggiat industri pelancongan yang melaksanakan aktiviti-aktiviti pemasaran dan promosi dalam usaha untuk mempromosi Malaysia sebagai sebuah destinasi pelancongan perniagaan dan percutian santai.

Bagi meningkatkan kesalinghubungan udara dan membawa lebih ramai penumpang ke Malaysia, Tourism Malaysia dan Malaysia Airports Holding Berhad telah bekerjasama dengan pelbagai syarikat penerbangan antarabangsa seperti Condor Air, Air Arabia dan Busan Air bagi melancarkan laluan-laluan baharu ke Malaysia dari destinasi-destinasi antarabangsa yang utama.

Di samping itu, kemudahan Visa Sebaik Tiba (VOA) telah diperluaskan kepada 13 pintu masuk di Malaysia bagi memastikan kemasukan yang mudah bagi pelancong dari China dan India yang merupakan dua pasaran pelancong “outbound” yang telah berkembang dengan pesatnya.

Pada tahun 2018, Malaysia telah menerima sejumlah 25.8 juta pelancong antarabangsa, manakala bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini, ketibaan pelancong antarabangsa mencecah seramai 10,954,014 orang, menyaksikan pertumbuhan sebanyak +4.8% berbanding tempoh yang sama pada tahun lepas.

TAMAT

Untuk mendapatkan siaran akhbar, media info dan artikel berkaitan industri pelancongan di Malaysia, sila lawati Pusat Media di laman web Tourism Malaysia di http://www.tourism.gov.my/

LEMBAGA PENGGALAKAN PELANCONGAN MALAYSIA ATAU TOURISM MALAYSIA ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia. Tourism Malaysia menumpukan kepada tugas khusus iaitu mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam dunia pelancongan antarabangsa. Pada 2018, Malaysia telah mencatatkan kedatangan seramai 25.8 juta orang pelancong asing dan pendapatan pelancong berjumlah sebanyak RM84.1 bilion sekali gus meletakkan negara ini dalam kalangan destinasi pelancongan utama dunia.

Hubungi:

Unit Media
Encik Muadz Samat, Penolong Pengarah, Bahagian Komunikasi Korporat
Tel: +603-8891 8755
Emel: muadz@tourism.gov.my

Related Photos

Copyright © 2024 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use