Jun 17, 2015

PERCUTIAN SETERUSNYA 'DEKAT JE'

KUALA LUMPUR, 17 Jun 2015 – Tourism Malaysia telah melancarkan kempen pelancongan domestik terbaru yang dikenali sebagai ‘Cuti-Cuti 1Malaysia Dekat Je’, bagi menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia melancong ke tempat-tempat menarik yang berdekatan untuk rancangan percutian hujung minggu mereka.

Penggunaan bahasa percakapan rakyat Malaysia ‘dekat je’, diharapkan akan dapat mengingatkan mereka bahawa tidak perlu pergi jauh untuk menikmati percutian yang hebat, dan melancong juga membantu merapatkan hubungan antara ahli keluarga dan sesama rakan.

Percutian domestik menawarkan pelbagai pilihan mengikut kesesuaian bajet, sama ada mahu menginap lama di bandar raya besar atau percutian singkat di bandar-bandar berdekatan, pengembaraan gastronomi merentasi beberapa buah negeri, mahupun percutian di resort mewah yang dikelilingi hutan hujan yang menghijau.

Kempen ini telah dilancarkan oleh Pengerusi Tourism Malaysia yang baru dilantik, Encik Wee Choo Keong di Hotel Seri Pacific, di sini, hari ini, dan turut disaksikan oleh Ketua Pengarah Tourism Malaysia Dato’ Mirza Mohammad Taiyab.

“Bila memikirkan tentang percutian, ia biasanya melibatkan perjalanan balik ke kampung semasa musim perayaan mahupun cuti sekolah. Kempen ini bertujuan untuk mengingatkan rakyat Malaysia bahawa ada banyak tempat yang boleh dilawati pada hujung minggu, tanpa perlu mengambil cuti rehat,” kata Wee.

“Melancong dalam negara menggunakan kereta, kapal terbang, atau kereta api sama ada untuk meluangkan masa bersama keluarga di air terjun di Negeri Sembilan, atau berbulan madu di pusat peranginan tanah tinggi di Pahang, atau mengembara bersama rakan-rakan ke kawasan pinggir negeri Selangor adalah menjimatkan masa dan kos,” sambung Pengerusi Tourism Malaysia itu lagi.

Semasa majlis pelancaran, Encik Wee telah ‘merentasi Malaysia’ dari KLCC ke Langkawi, melintasi pelbagai tarikan pelancong yang ikonik di Melaka dan Pulau Pinang, yang melambangkan betapa dekat dan mudahnya untuk seseorang itu menikmati pemandangan yang indah, seni bina yang hebat, dan melihat flora dan fauna yang menakjubkan kerana semuanya seperti hanya di belakang rumah.

Artis hip hop terkenal Malaysia, Altimet bersama dengan pakar-pakar genderang dari kumpulan Diplomats of Drum turut hadir pada acara ini bagi membuat persembahan.

“Evolusi gaya hidup dan kesibukan kerja menjadikan masa itu amat berharga, Oleh itu, adalah amat penting untuk kita meluangkan masa bersama keluarga. Lakukanlah perjalanan yang menarik pada setiap hujung minggu, serta gunakanlah waktu itu dengan sebaik-baiknya dan berseronoklah kerana ada banyak tempat yang cantik dan pelbagai makanan lazat yang ‘dekat je’. Malaysia dianugerahkan dengan khazanah alam semula jadi yang indah, tarikan pelancongan untuk seisi keluarga yang canggih dan pelbagai jenis makanan lazat masyarakat kita yang berbilang budaya,” tambah Wee.

Oleh kerana media sosial memainkan peranan yang penting dalam masyarakat hari ini, aksi ‘wefie’ yang popular menjadi sebahagian daripada kempen pelancongan domestik ini. Kempen ini menggalakkan  para pelancong untuk mengambil ‘wefie’ dan memuat naik gambar tersebut ke platform-platform media sosial dengan meletakkan ‘hashtag’ lokasi tersebut untuk mempromosikan percutian mereka, sama ada berlatar belakangkan pemandangan yang cantik, atau monumen yang ikonik, atau ketika menikmati hidangan tempatan yang lazat.

Bagi percutian atau jejak makanan seterusnya yang ‘dekat je’, pelbagai gambar dan ‘wefie’ dijangka akan memenuhi ruang maya, sekali gus membantu mempromosi dan meningkatkan pelancongan domestik, selain mencipta percutian yang tidak akan dapat dilupakan.

-TAMAT-
 

Untuk mendapatkan siaran media, media info dan artikel berkaitan industri pelancongan di Malaysia, sila lawati Pusat Media di laman web Tourism Malaysia di http://www.tourismmalaysia.gov.my/.

LEMBAGA PENGGALAKAN PELANCONGAN MALAYSIA ATAU TOURISM MALAYSIA ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia. Tourism Malaysia bertanggungjawab untuk mempromosikan Malaysia di semua peringkat. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah membangun dengan pesatnya dan telah muncul sebagai pemain utama dalam dunia pelancongan antarabangsa. Pada 2014, Malaysia telah mencatatkan kedatangan seramai 27.4 juta orang pelancong asing dengan pendapatan pelancong sebanyak RM72 bilion sekaligus menjadikan pelancongan sebagi penyumbang kedua terbesar negara menerusi tukaran mata wang asing.

Malaysia telah menyambut Tahun Melawat Malaysia (TMM) buat kali keempat pada 2014 dengan tema Celebrating 1Malaysia Truly Asia”. Promosi negara diteruskan dengan penganjuran Tahun Festival Malaysia (MyFest) pada 2015 dengan tema “Endless Celebrations” yang menekankan kepada pelbagai festival yang disambut oleh masyarakat yang berbilang bangsa. Kedua-dua kempen ini menjadi pemacu ke arah mencapai sasaran ketibaan seramai 36 juta pelancong dengan pendapatan pelancongan sebanyak RM168 bilion pada 2020, berdasarkan Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA).

Melalui NKEA, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan telah mempertingkatkan kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan dan sektor swasta untuk memantapkan kedudukan negara sebagai destinasi pelancong antarabangsa yang terkemuka. Sasaran yang telah ditetapkan di bawah NKEA Pelancongan akan tercapai melalui pelaksanaan 12 Projek Permulaan (EPPs) yang merangkumi lima tema: Kembara Mewah Mampu Milik; Kembara Alam Semula Jadi; Keseronokan Seisi Keluarga; Acara, Hiburan, Spa dan Sukan; dan Pelancongan Perniagaan.

Hubungi:
Unit Komunikasi Korporat & Perhubungan Media:

Cik Azizah Aziz, Timbalan Pengarah Kanan, Bahagian Komunikasi dan Publisiti
Tel: +603-8891 8752
Emel:
azizahaziz@tourism.gov.my


Unit Editorial:
Puan Anis Rozalina Ramli, Senior Editor, Bahagian Komunikasi dan Publisiti
Tel: +603-8891 8759
Emel:
anisramli@tourism.gov.my

Copyright © 2025 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use