Jan 31, 2020

PENUBUHAN JAWATANKUASA TINDAKAN PELANCONG BAGI MENANGANI KESAN NOVEL CORONAVIRUS

Dalam usaha menangani persepsi negatif masyarakat terhadap penyebaran kluster Novel Coronavirus yang disebarkan oleh pelancong China khususnya dari Bandar Wuhan dan Wilayah Hubei, kerajaan melalui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) telah mengambil langkah positif dengan menubuhkan Tourism Recovery Committee bagi memantau perkembangan semasa isu ini.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya berkata, “Jawatankuasa ini berperanan untuk memberikan khidmat nasihat dan penjelasan kepada semua pelancong dan langkah-langkah yang perlu diambil termasuklah menjaga kesihatan diri seperti yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia bagi mengelak mereka dijangkiti virus sepanjang berada di negara ini”.

Jawatankuasa ini juga berperanan menjaga keselamatan pelancong dan memastikan semua pengunjung berada dalam keadaan selesa dan yakin berdasarkan langkah-langkah kawalan yang dilaksanakan oleh kerajaan dalam menangani isu ini. Ianya termasuklah menyokong usaha Kementerian Kesihatan Malaysia mengadakan saringan kesihatan ke atas semua pelancong yang menggunakan laluan udara, laut dan darat di semua pintu masuk ke negara ini.

Disamping itu, badan ini juga memainkan peranan untuk merancang dan merangka tindakan-tindakan positif bagi mencari pasaran baru untuk menggantikan sektor pelancongan khususnya dari negara China yang terjejas akibat serangan virus ini.

Datuk Mohamaddin bin Ketapi berkata, pihak MOTAC akan sentiasa mengadakan kerjasama rapat dengan pemain industri bagi memastikan sektor pelancongan tidak terjejas dan beroperasi seperti biasa walaupun wujud kekangan akibat penularan virus ini di Malaysia. Ini termasuklah bersetuju membenarkan pihak syarikat penerbangan membuat pemeriksaan terhadap semua penumpang yang menaiki pesawat mereka.


Beliau menegaskan bahawa kerajaan Malaysia mengalu-alukan pendekatan yang dilaksanakan oleh kerajaan China yang menghalang penduduk Bandar Wuhan, Wilayah Hubei dan kawasan sekitar melawat ke luar negara termasuk Malaysia dan juga membuat lawatan domestik bagi mengelak penularan wabak ini.

Beliau bersetuju dengan keputusan YAB Perdana Menteri untuk menggantung sementara semua kemudahan imegresen iaitu eNTRY (kemudahan tanpa visa), Visa Semasa Ketibaan (Visa on Arrival), e-visa dan visa manual untuk pelancong China dari Bandar Wuhan dan Wilayah Hubei.

Katanya, “Malaysia mempunyai pengalaman berhadapan dengan serangan wabak sebelum ini dan yakin akan berjaya menangani isu ini berdasarkan langkah-langkah drastik yang diambil dan memastikan setiap pelancong yang datang ke negara ini adalah dalam keadaan sihat dan bebas daripada sebarang penyakit berjangkit”.

MOTAC akan mengekalkan sasaran menarik 30 juta pelancong pada tahun ini walaupun berhadapan dengan serangan virus ini dan tidak bercadang untuk mengkaji semula, walaupun serangan virus ini sedikit sebanyak akan memberikan kesan negatif terhadap kehadiran pelancong.

TAMAT

Dikeluarkan oleh:
Pejabat Menteri
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MoTAC)



Copyright © 2024 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use