May 16, 2020

PENGANJURAN KURSUS ONLINE DIGITAL MARKETING FOR TOURISM INDUSTRY OLEH TOURISM MALAYSIA

PUTRAJAYA, 16 MEI 2020:

Sebagai sebahagian daripada langkah pemulihan pasca COVID-19, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia melalui Tourism Malaysia telah menganjurkan buat julung-julung kalinya kursus Online Digital Marketing for Tourism Industry secara dalam talian yang menyasarkan penyertaan dalam kalangan penggiat industri pelancongan untuk meningkatkan kemahiran menggunakan teknologi digital bagi tujuan pemasaran produk dan perkhidmatan.

Seramai 50 peserta dari pelbagai latar belakang dalam industri pelancongan seperti pemandu pelancong, pengusaha produk, operator pelancongan dan pengusaha premis penginapan pelancongan telah menyertai kursus peringkat asas selama satu hari ini di mana para peserta telah didedahkan tentang penggunaan media sosial seperti Facebook dan Instagram sebagai medium pemasaran dan publisiti untuk berinteraksi secara langsung dengan pelanggan. Selain itu, para peserta diajar menggunakan aplikasi percuma untuk mereka bentuk risalah, brosur dan iklan serta cara-cara mewujudkan Kod QR bagi membolehkan para pelanggan mereka mengimbas maklumat atau bahan-bahan publisiti terus ke dalam peranti digital.

Para peserta kursus telah memberi maklum balas positif terhadap kursus ini dan mereka berasa amat bertuah kerana berpeluang menimba kemahiran baharu pemasaran digital yang membolehkan mereka menjangkau pelanggan berpotensi tanpa had sempadan terutamanya dengan norma baharu COVID-19 yang memerlukan penggiat industri pelancongan tempatan untuk bersaing secara aktif di atas talian.

Perkembangan revolusi industri 4.0 memperlihatkan capaian kepada peranti digital dan perkhidmatan internet oleh para pelancong amat meluas dan mereka menggunakannya bagi tujuan merancang percutian, membuat perbandingan pakej dan harga, dan seterusnya membuat tempahan perjalanan.

Berdasarkan maklum balas dan sambutan hangat yang diberikan oleh para peserta, Tourism Malaysia telah merancang untuk melanjutkan penganjuran kursus untuk siri selanjutnya dalam masa yang terdekat.

TAMAT

Untuk maklumat lanjut mengenai siaran media mahupun maklumat mengenai industri pelancongan Malaysia, boleh melayari laman sesawang Pusat Media Tourism Malaysia di http://www.tourism.gov.my/

LEMBAGA PENGGALAKAN PELANCONGAN MALAYSIA atau TOURISM MALAYSIA ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Malaysia. Tourism Malaysia memfokuskan kepada tugas khusus untuk mempromosi Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam dunia pelancongan antarabangsa. Pada tahun 2019, Malaysia menerima 26.1 juta pelancong dan mencatatkan RM86.14 bilion perbelanjaan pelancong, sekaligus meletakkan Malaysia sebagai salah satu destinasi pelancongan terunggul di dunia.

Untuk pertanyaan, sila hubungi:

Unit Media
Muadz Samat
Penolong Pengarah, Bahagian Komunikasi Korporat
Emel: muadz@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8755

Unit Pembangunan Sumber Manusia
Mohd Faizal Sharip
Emel: faizalsharip@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8948

Related Photos

Copyright © 2024 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use