May 29, 2019

PENDAPATAN PELANCONGAN MENINGKAT SEBANYAK +16.9% KEPADA RM21.4 BILION PADA SUKU PERTAMA 2019


PUTRAJAYA, 29 MEI 2019 – Sektor pelancongan negara mencatatkan perkembangan positif pada suku pertama 2019 dengan peningkatan sebanyak +16.9% dalam perbelanjaan pelancong keseluruhan iaitu sebanyak RM21.4 bilion berbanding dengan RM18.3 bilion pada tahun 2018.

Perbelanjaan per kapita keseluruhan juga telah meningkat sebanyak +13.8% iaitu dari RM2,813.1 pada tahun 2018 kepada RM3,201.8 pada tahun 2019.

Ketibaan pelancong asing ke Malaysia turut mencatatkan peningkatan sebanyak +2.7% pada suku pertama 2019, iaitu seramai 6,696,230 pelancong berbanding dengan 6,520,218 pelancong pada suku pertama tahun 2018.

Berdasarkan ketibaan bulanan, Malaysia telah menerima sejumlah 2,195,684 pelancong pada bulan Januari, diikuti dengan 2,165,933 pelancong pada bulan Februari dan seramai 2,334,613 pelancong pada bulan Mac.

Pasaran jarak dekat iaitu ASEAN masih mengekalkan kedudukan sebagai penyumbang terbesar ketibaan pelancong asing ke Malaysia dengan syer sebanyak 68.3% dengan peningkatan sebanyak +1.9% bagi jumlah ketibaan iaitu seramai 4,576,636 pelancong bagi suku pertama 2019. Peningkatan ini disebabkan terdapatnya pertumbuhan positif dari segi ketibaan dari pasaran-pasaran seperti Indonesia, Thailand dan Vietnam.

Jumlah syer bagi pasaran jarak sederhana untuk suku pertama 2019 ialah sebanyak 21.9% dengan peningkatan sebanyak +8.6% bagi jumlah ketibaan pelancong seramai 1,466,993 orang. Ia didorong terutamanya oleh pertumbuhan China, Korea, Jepun, India dan Pakistan.

Syer pasaran jarak jauh pula adalah sebanyak 9.7% yang menyaksikan penurunan sebanyak -3.6% dengan ketibaan seramai 652,032 pelancong bagi suku pertama 2019.

Sementara itu, purata tempoh tinggal pelancong asing atau Average Length of Stay (ALOS) di Malaysia bagi suku pertama 2019 menunjukkan peningkatan sebanyak 1.8 malam dari 4.2 malam pada tahun 2018 kepada 6.0 malam pada tahun 2019.

Jumlah ketibaan pelancong asing ke Malaysia untuk 45 pasaran utama bagi suku pertama 2019 adalah seperti di lampiran. Untuk memuat turun data, sila layari: http://mytourismdata.tourism.gov.my/

TAMAT

Untuk mendapatkan siaran akhbar, media info dan artikel berkaitan industri pelancongan di Malaysia, sila lawati Pusat Media di laman web Tourism Malaysia di http://www.tourism.gov.my/

LEMBAGA PENGGALAKAN PELANCONGAN MALAYSIA ATAU TOURISM MALAYSIA ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia. Tourism Malaysia menumpukan kepada tugas khusus iaitu mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam dunia pelancongan antarabangsa. Pada 2018, Malaysia telah mencatatkan kedatangan seramai 25.8 juta orang pelancong asing dan pendapatan pelancong berjumlah sebanyak RM84.1 bilion sekali gus meletakkan negara ini dalam kalangan destinasi pelancongan utama dunia.

Hubungi:

Unit Media
Encik Muadz Samat, Penolong Pengarah, Bahagian Komunikasi Korporat
Tel: +603-8891 8755
Emel: muadz@tourism.gov.my

Copyright © 2024 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use