Feb 27, 2019

PELANCONGAN SUMBANG RM84.1 BILION KEPADA EKONOMI MALAYSIA DENGAN KETIBAAN PELANCONG ANTARABANGSA SERAMAI 25.8 JUTA PADA 2018


PUTRAJAYA, 27 FEB 2019: Pendapatan pelancong berjumlah sebanyak RM84.1 bilion yang diperolehi daripada perbelanjaan oleh seramai 25,832,354 pelancong antarabangsa yang melawat Malaysia sepanjang tahun 2018 telah merangsang pertumbuhan ekonomi negara.

Walaupun terdapat sedikit penurunan dalam ketibaan pelancong antarabangsa iaitu sebanyak -0.4% berbanding pada tahun 2017, sumbangan daripada pendapatan pelancong didapati meningkat sebanyak +2.4%. Prestasi pelancongan juga telah mencatatkan pertumbuhan yang memberangsangkan dari segi perbelanjaan per kapita iaitu peningkatan sebanyak +2.9% kepada RM3,257, manakala Purata Tempoh Tinggal (ALOS) pula telah meningkat sebanyak +0.8 malam kepada 6.5 malam.

Tahun

2017

2018

Pertumbuhan

Ketibaan Pelancong

25,948,459

25, 832,354

-0.4%

Pendapatan Pelancong

RM82.2 bilion

RM84.1 bilion

+2.4%

Perbelanjaan per kapita

RM3,166

RM3,257

+2.9%

ALOS

5.7 malam

6.5 malam

+0.8 malam

Sepuluh pasaran tertinggi yang menjana pelancong ke Malaysia pada tahun 2018 ialah Singapura (10,615,986), Indonesia (3,277,689), China (2,944,133), Thailand (1,914,692), Brunei (1,382,031), Korea Selatan (616,783), India (600,311), Filipina (396,062), Jepun (394,540) dan Taiwan (383,922).

Pasaran ASEAN terus mendominasi ketibaan pelancong ke Malaysia dengan syer sebanyak 70.1%, diikuti dengan pasaran jarak sederhana sebanyak 20.3% jumlah syer dan pasaran jarak jauh sebanyak 13.3% jumlah syer.

Pertumbuhan dari segi ketibaan pelancong boleh dilihat pada pasaran-pasaran seperti Asia Tengah (+81.9%), Afrika (+49.1%), Americas (+26.3%), Asia Barat (+25.3%), Asia Timur (+24.3%), Asia Selatan (+13.4%) dan Eropah (+7.8%), manakala pasaran yang telah mencatatkan penurunan pula ialah Oceania (-0.8%) dan ASEAN (-7.0%).

Secara keseluruhannya, prestasi pasaran jarak sederhana dan pasaran jarak jauh telah menunjukkan pemulihan yang sihat dengan pertumbuhan sebanyak +19.3% berbanding pada tahun 2017. Oleh yang demikian, ia telah memberi impak positif kepada purata tempoh tinggal dan perbelanjaan pelancong.

Dari segi jumlah keseluruhan perbelanjaan pelancong pula, rantau ASEAN kekal sebagai penyumbang terbesar dengan menyumbang sebanyak RM48.5 bilion. Sementara itu, pelancong Asia Barat telah mencatatkan perbelanjaan per kapita tertinggi iaitu sebanyak RM9,947, menyaksikan peningkatan sebanyak +6.1% berbanding RM9,378.50 pada tahun 2017.

Tiga komponen tertinggi yang telah menyumbang kepada perbelanjaan pelancong ialah membeli-belah (33.4%), penginapan (25.7%) dan makanan dan minuman (13.4%). Sekali lagi, perbelanjaan membeli-belah telah mengatasi perbelanjaan penginapan, dengan mencatatkan peningkatan dari 32.7% jumlah syer pada tahun 2017 kepada 33.4% jumlah syer pada tahun 2018.

Pasaran-pasaran yang telah menunjukkan peningkatan dalam purata tempoh tinggal termasuklah Asia Barat (9.7 malam), Eropah (8.6 malam), Asia Selatan (6.2 malam) dan Asia Timur Asia (6.1 malam).

TAMAT

Untuk mendapatkan siaran media, media info dan artikel berkaitan industri pelancongan di Malaysia, sila lawati Pusat Media di laman web Tourism Malaysia di http://www.tourism.gov.my

LEMBAGA PENGGALAKAN PELANCONGAN MALAYSIA ATAU TOURISM MALAYSIA ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia. Tourism Malaysia menumpukan kepada tugas khusus iaitu mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam dunia pelancongan antarabangsa. Pada 2018, Malaysia telah mencatatkan kedatangan seramai 25.8 juta orang pelancong asing dan pendapatan pelancong berjumlah sebanyak RM84.1 bilion sekali gus meletakkan negara ini dalam kalangan destinasi pelancongan utama dunia.

Maklumat statistik, hubungi:

Mohammad Nor Ismail
Timbalan Pengarah, Bahagian Perancangan Strategik
[email protected]
Tel: +603 8891 8166

Nuwal Fadhilah Ku Azmi
Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Perancangan Strategik
[email protected]
Tel: +603 8891 8159

Maklumat media, hubungi:

Muadz Bin Samat
Penolong Pengarah, Bahagian Komunikasi Korporat
[email protected]
Tel: +603-8891 8755

Related Photos

© 2025 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All rights reserved.
Privacy Policy | Sitemap | Last updated: 11 August 2025