Sep 3, 2020

PELANCARAN PAKEJ ISTIMEWA PENJAWAT AWAM ANJURAN KESATUAN PEKERJA-PEKERJA LPPM DAN CUEPACS

KUALA LUMPUR, 3 SEPTEMBER 2020 – Tourism Malaysia dengan kerjasama Kesatuan Pekerja-Pekerja Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Kesatuan Pekerja-Pekerja LPPM) dan kolaborasi bersama Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) telah melancarkan pakej istimewa sempena kempen Cuti-Cuti Malaysia khas untuk penjawat awam.

Pelancaran pakej ini merupakan inisiatif jangka masa pendek untuk meningkatkan usaha promosi pelancongan domestik di dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan telah dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri.

“Kempen ini juga berperanan sebagai salah satu ‘teaser’ yang diusahakan oleh MOTAC melalui Tourism Malaysia dalam usaha mempergiatkan lagi promosi yang dijalankan untuk menarik seberapa ramai penjawat awam melancong dalam negara. Adalah diharapkan agar ahli-ahli CUEPACS menjadi duta kecil pelancongan yang berperanan untuk menyakinkan rakyat bahawa Malaysia adalah destinasi selamat untuk dilawati dengan mengamalkan norma baharu seperti yang di tetapkan oleh kerajaan,” kata beliau ketika berucap pada majlis pelancaran yang berlangsung di Malaysia Tourism Centre (MaTiC) hari ini.

Pakej yang dibangunkan oleh Tourism Malaysia dan menyasarkan penjawat awam ini dilancarkan bagi menghargai usaha dan perkhidmatan penjawat awam di seluruh Malaysia dengan memberikan tawaran istimewa dan diskaun terbaik eksklusif buat penjawat awam dan keluarga. Selain itu, penjawat awam juga adalah golongan yang paling kurang terkesan dari pelaksanaan PKP dan mempunyai pendapatan boleh belanja (disposable income) yang lebih tinggi berbanding golongan lain. Kempen ini mampu menggalakkan penjawat awam melancong dalam negara serta mendukung hasrat kerajaan untuk melonjakkan semula ekonomi negara.

Kerjasama dengan CUEPACS ini dilihat sebagai platform yang terbaik untuk mendekati kumpulan sasaran memandangkan kongres ini merupakan gabungan kesatuan yang mewakili penjawat awam di Malaysia dengan keahlian seramai 1.2 juta penjawat awam daripada keseluruhan 1.6 juta penjawat awam yang merangkumi pelbagai agensi dan sektor kerajaan.

#PakejCutiPenjawatAwam ini dibangunkan bersama agensi pelancongan, hotel serta operator pelancongan yang memberi tumpuan kepada produk-produk pelancongan sekitar ibu kota. Sebanyak 11 agensi pelancongan yang mengambil bahagian mempromosikan pakej percutian 2 hari 1 malam dan 3 hari 2 malam yang melibatkan hotel bertaraf 5 dan 4 bintang di sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Genting Hinglands dengan menawarkan harga pakej serendah RM120 seorang.

Di samping tawaran penginapan, penjawat awam dapat menikmati pakej yang menampilkan produk-produk pelancongan yang menarik untukpengunjung harian (walk in tourist) dengan tawaran diskaun harga tiket sehingga 30 peratus. Antara produk pelancongan yang tersenarai ialah; Putrajaya tour, Bangi Wonderland, I-City Shah Alam, Farm In The City, Genting Highland, Sky Bridge KLCC, Sky Mirror Kuala Selangor, Farm Tour UPM Serdang, Sunway Lagoon, Wet World Shah Alam, Aquaria KLCC, Muzium Kesenian Islam, MAEPS dan banyak lagi.

Pembeli turut ditawarkan nilai tambahan termasuk 5,000 tiket lawatan bandaraya KL dengan menaiki bas Hop On Hop Off secara percuma, penginapan di hotel serta bayaran masuk produk pelancongan yang ditawarkan pada harga diskaun antara 20 sehingga 60 peratus. Tempoh tempahan pakej ialah sehingga 30 September 2020 manakala tempoh sah lawatan ialah sehingga 31 Disember 2020.

Pakej permulaan yang ditawarkan merangkumi produk-produk pelancongan di sekitar Lembah Klang dan ianya akan diperluaskan ke negeri-negeri lain untuk fasa yang akan datang.

Penjawat awam digalakkan untuk mengambil peluang ini untuk memanfaatkan pakej-pakej yang ditawarkan kerana terdapat pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM1,000 untuk perbelanjaan pelancongan domestik sehingga 31 Disember 2021 susulan pengumuman pakej rangsangan PENJANA.

Penjawat awam boleh mendapatkan pakej-pakej ini dengan hanya menggunakan pas pekerja penjawat awam di agensi-agensi pelancongan yang terpilih. Pakej istimewa ini boleh dilayari di laman sesawang Tourism Malaysia www.malaysia.travel.

TAMAT

Untuk mendapatkan siaran akhbar, media info dan artikel berkaitan industri pelancongan di Malaysia, sila lawati Pusat Media di laman web Tourism Malaysia di http://www.tourism.gov.my/

LEMBAGA PENGGALAKAN PELANCONGAN MALAYSIA ATAU TOURISM MALAYSIA ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia. Tourism Malaysia menumpukan kepada tugas khusus iaitu mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam dunia pelancongan antarabangsa. Pada tahun 2019, Malaysia menerima 26.1 juta pelancong antarabangsa dan mencatatkan RM86.14 bilion perbelanjaan pelancong, sekaligus meletakkan Malaysia sebagai salah satu destinasi pelancongan terunggul di dunia.

Bagi sebarang pertanyaan, sila hubungi:

Unit Media
Muadz Samat
Penolong Pengarah, Bahagian Komunikasi Korporat
Emel : muadz@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8755

Bahagian Domestik & Acara
Mohd Roslan Abdul Rahim
Emel: mohdroslan@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8405

Tourism Malaysia Wilayah Tengah
Mohd Izal bin Mahd Nor
Pengarah, Tourism Malaysia Wilayah Tengah
Emel: mohdizal@tourism.gov.my
Tel: +603 2161 0166

Related Photos

Copyright © 2024 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use