Mar 24, 2009

PELANCARAN KEMPEN PENGIKLANAN 'AMBIENCE' ZOOM! MALAYSIA DI KLIA

YB Dato’ Sri Azalina Dato’ Othman Said, Menteri Pelancongan Malaysia, telah merasmikan kempen pengiklanan ‘Ambience’ Zoom! Malaysia pada 23 March 2009 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pengiklanan ‘Ambience’ ini berbentuk tiga dimensi (3D) dan bertemakan pelancongan eko. Ia berlatarbelakangkan suasana hutan hujan tropika yang menjadi aset tarikan pelancongan semulajadi Malaysia. Kempen pengiklanan ini bertujuan untuk mendorong pelancong asing dan domestik supaya menerokai keindahan hutan tropika di negara ini yang kaya dengan flora dan fauna yang unik.

Terdapat lapan jenis visual flora dan fauna yang dipamerkan iaitu Borneo Red Flying Frog, Rhinoceros Hornbill, Silvered langur, Rafflesia, Seladang, pokok periuk kera, black-winged stilt dan pokok tualang.  Satu plak penerangan juga ditempatkan di kawasan tersebut bagi menerangkan keunikan serta habitat setiap jenis tumbuhan dan binatang yang dipamerkan.

Pengiklanan ‘Ambience’ ini juga dijalankan sepanjang tahun 2009 untuk meningkatkan publisiti kempen Zoom! Malaysia yang giat dipromosikan di seluruh negara.

LATAR BELAKANG KEMPEN ZOOM! MALAYSIA
Kempen ZOOM! Malaysia telah dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri pada 14 Mei 2008 untuk meningkatkan lagi pertumbuhan industri pelancongan domestik. Di samping menggalakkan integrasi nasional, kempen tersebut menggalakkan aktiviti percutian dalam negara sendiri secara terancang di kalangan rakyat Malaysia.

Kempen tersebut telah dilancarkan di pelbagai destinasi di seluruh negara seperti Desaru di Johor; Pusat Perlindungan Gajah Kuala Gandah dan Cameron Highlands di Pahang; Muzium Tentera Darat Negeri Sembilan; Tapak Warisan Dunia di Pulau Pinang; Rainforest Discovery Centre di Sandakan, Sabah; Zoo Negara; dan Taman Tamadun Islam di Kuala Terengganu, Terengganu.

Dikeluarkan oleh: Bahagian Komunikasi dan Publisiti, Tourism Malaysia
Tarikh: 23 March 2009
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Pn. Mazita Johari di talian 03-2615 8188
atau emel: mazita@tourism.gov.my
Laman Web: www.tourism.gov.my

Copyright © 2025 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use