Dec 5, 2013

PARA PESERTA PERSIDANGAN PENGARAH-PENGARAH TOURISM MALAYSIA RAPATKAN HUBUNGAN DENGAN MEDIA MELALUI LAWATAN SEHARI

PUTRAJAYA, 5 Disember 2013 – Para peserta Persidangan Pengarah-pengarah Tourism Malaysia telah merapatkan lagi hubungan dengan wakil-wakil media melalui lawatan suai kenal selama sehari pada hari ini. Lawatan tersebut telah dianjurkan oleh Tourism Malaysia bagi memberi peluang kepada para peserta menikmati sendiri produk-produk pelancongan terkini negara di samping mempromosikan gaya hidup yang sihat.

Para peserta persidangan yang terdiri daripada para pengarah luar negara, para pengarah negeri, para pegawai pemasaran dan agensi-agensi perhubungan awam telah memulakan lawatan bersama media dengan cara yang sihat iaitu dengan berbasikal dari Dataran Putra di Putrajaya hingga ke Wetland Upper Bisa untuk aktiviti memerhati burung.

Lebih daripada 50 spesies burung telah direkodkan di sekitar Wetland Upper Bisa dan tarikan utamanya ialah kehadiran burung air. Sekurang-kurangnya sebanyak 12 spesies burung air telah ditemui di sini dan beberapa ratus burung air boleh dilihat bersarang ketika musim pembiakan dari bulan Jun hingga Disember.

Para peserta kemudiannya dibawa ke Pullman Putrajaya Lakeside Hotel untuk menjalani pemeriksaan kesihatan asas yang merangkumi pemeriksaan aras gula dalam darah, kolestrol, tekanan darah dan pemeriksaan Indeks Massa Tubuh (BMI) yang dianjurkan oleh Institut Jantung Negara (IJN). Tujuan ia dilaksanakan adalah untuk memberi kesedaran dalam kalangan peserta mengenai risiko penyakit jantung. Selain pemeriksaan kesihatan asas, mereka turut menghadiri pembentangan oleh Majlis Pelancongan dan Kesihatan Malaysia (MHTC).

Selepas itu, para peserta telah dijamu makan tengah hari oleh Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) di Marina Putrajaya sambil mendengar pembentangan mengenai KLIA2 yang telah disampaikan oleh Pengurus Besar Kanan Operasi MAHB Dato’ Azmi Murad.

Para peserta meneruskan lawatan suai kenal mereka dengan mengunjungi Galeri Diraja Sultan  Abdul Aziz di Klang untuk mengenali dengan lebih dekat kekayaan sejarah dan warisan Kesultanan Selangor. Mereka kemudiannya makan malam di destinasi terakhir lawatan tersebut iaitu di taman tema I-City yang dihoskan oleh Pengurusnya, Monica Ong. Mereka turut berpeluang melawat pelbagai tarikan terkini yang terdapat di I-City seperti Snow Walk, Red Carpet Interactive Wax Museum, Trick Art Museum, Water World dan House of Horror.


Persidangan Pengarah-pengarah Tourism Malaysia 2013 yang bermula pada 1 Disember dan akan berakhir pada 6 Disember ini merupakan acara rundingan tahunan antara Menteri Pelancongan dan Kebudayaan dengan para pegawai kanan Tourism Malaysia. Antara objektif persidangan tersebut ialah untuk memberi taklimat kepada para peserta mengenai pelan promosi Tourism Malaysia serta untuk meningkatkan lagi usaha-usaha pemasaran dalam mempromosikan TMM 2014 yang akan berlangsung pada bulan depan.

Pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2014 yang gilang gemilang dijadualkan berlangsung pada 4 Januari 2014 di Dataran Merdeka. Selain itu, laman web rasmi TMM2014 iaitu www.vmy2014.com yang telah dibangunkan, mengandungi pelbagai maklumat terperinci mengenai acara yang ditunggu-tunggu ini.

TAMAT


Untuk mendapatkan siaran media, media info dan artikel berkaitan industri pelancongan di Malaysia, sila lawati Pusat Media di laman web Tourism Malaysia di http://www.tourismmalaysia.gov.my/.


LEMBAGA PENGGALAKAN PELANCONGAN MALAYSIA ATAU TOURISM MALAYSIA ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia. Tourism Malaysia bertanggungjawab untuk mempromosikan Malaysia di semua peringkat. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah membangun dengan pesatnya dan telah muncul sebagai pemain utama dalam dunia pelancongan antarabangsa. Pada 2012, Malaysia telah mencatatkan kedatangan seramai 25 juta orang pelancong asing dengan pendapatan pelancongan sebanyak RM60.6 bilion sekaligus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan ke-10 paling popular di dunia

Pada 2014, Malaysia akan menyambut Tahun Melawat Malaysia (TMM) buat kali keempat dengan tema “Celebrating 1Malaysia Truly Asia”. Kempen promosi TMM 2014 telahpun bermula pada tahun ini dan akan dipenuhi dengan pelbagai acara istimewa dan aktiviti-aktiviti menarik sepanjang tahun sehinggalah tibanya TMM 2014. Penganjuran kempen TMM 2014 dijangka akan dapat membantu kerajaan mencapai sasaran untuk menerima kedatangan pelancong seramai 36 juta orang dengan pendapatan sebanyak RM168 bilion menjelang 2020 seperti yang digariskan dalam Pelan Transformasi Pelancongan Malaysia 2020.            


Hubungi:
Unit Perhubungan Media:
Encik Razaidi Abd Rahim, Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Komunikasi dan Publisiti
Emel: razaidi@tourism.gov.my

Unit Editorial:
Puan Anis Rozalina Ramli, Senior Editor, Bahagian Komunikasi dan Publisiti
Emel: anisramli@tourism.gov.my

Copyright © 2025 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use