Dec 4, 2013

PARA PENGARAH TOURISM MALAYSIA HADIRI MESYUARAT TAHUNAN UNTUK PERSEDIAAN MENYAMBUT TAHUN MELAWAT MALAYSIA (TMM) 2014

PUTRAJAYA, 1 Disember 2013 – Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Dato’ Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan para pegawai tertinggi Tourism Malaysia akan bertemu di Persidangan Pengarah-Pengarah Tourism Malaysia 2013 untuk acara rundingan tahunan organisasi tersebut. Acara yang akan berlangsung selama enam hari tersebut telah bermula hari ini di Putrajaya Lakeside Hotel dan melibatkan seramai 67 orang para pengarah luar negara, para pengarah negeri dan para pegawai pemasaran Tourism Malaysia, serta agensi-agensi perhubungan awamnya.

Bertemakan “VMY 2014 – Sharing With The World”, tujuan utama persidangan ini adalah untuk meningkatkan lagi usaha-usaha pemasaran dalam mempromosikan TMM 2014 yang akan berlangsung pada bulan depan di samping memastikan bahawa sasaran seramai 28 juta pelancongan dengan pendapatan sebanyak RM76 bilion (USD24 bilion) akan dapat dicapai.

Agenda-agenda utama yang lain termasuklah untuk membincangkan pelbagai perincian terakhir berkaitan majlis pelancaran TMM 2014 serta melancarkan Program Rangkaian Pemasaran Digital Tourism Malaysia, yang dihasilkan sebagai sokongan kepada usaha promosi VMY 2014.

Majlis pelancaran TMM 2014 dijadualkan berlangsung pada 4 Januari 2014 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Sekretariat TMM 2014 juga telah membangunkan sebuah laman web rasmi iaitu www.vmy2014.com yang mengandungi pelbagai maklumat terperinci mengenai acara yang ditunggu-tunggu ini.

Selain itu, antara program-program dalam persidangan tersebut termasuklah sesi-sesi khas dan mesyuarat-mesyuarat yang proaktif bersama Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, dan para pengurusan tertinggi Tourism Malaysia yang melibatkan Pengerusi, Ketua Pengarah, Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan), Timbalan Ketua Pengarah (Promosi), serta pelbagai Pengarah Bahagian dan juga Pengurus Besar Sekretariat TMM 2014.

Mereka juga akan turut membincangkan tentang Pelan Promosi Tourism Malaysia bagi tahun 2014/2015, perkembangan terkini mengenai pembangunan pelancongan di Malaysia, produk-produk pelancongan, pencapaian terkini, usaha-usaha promosi yang sedang dilaksanakan, strategi-strategi pemasaran dan aktiviti-aktiviti yang akan dilaksanakan pada skala global.


Bagi menyampaikan perkembangan terkini mengenai trend pemasaran kepada para pengarah luar negara dan para pegawai pemasaran, Tourism Malaysia telah menjemput pelbagai organisasi untuk membuat pembentangan semasa persidangan tersebut. Antaranya ialah Pullman Hotel, Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (PEMANDU), Iskandar Malaysia, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Touch ‘n Go, Genting Malaysia Berhad, EMKAY Group, i-City, dan Datuk Bandar Kuala Lumpur. 

Buat pertama kalinya, satu Bengkel Immersion akan diadakan sebagai platform bagi menggalakkan kesemua pengarah dan pegawai pemasaran untuk bekerjasama rapat dengan para penggiat industri pelancongan serta bertukar-tukar idea baru dan maklumat berhubung dengan pembangunan industri pelancongan negara.

Terdapat juga sesi bersama agensi-agensi pengiklanan yang dilantik oleh Tourism Malaysia seperti 
Naga DDB, Sen Media, SMASCOM, M&C Saatchi, dan Impact Creations. Selain itu, Mesyuarat Pengarah-Pengarah Negeri akan turut diadakan bagi membincangkan tentang perkembangn industri pelancongan domestik. 

Tourism Malaysia akan mengadakan lawatan kemas kini semasa persidangan tersebut bagi mendedahkan para pengarah luar negara, para pengarah negeri dan para pegawai pemasaran kepada beberapa produk pelancongan terkini yang terdapat di negara ini. Antara aktiviti lawatan kemas kini tersebut termasuklah menunggang basikal dan melihat burung di Putrajaya serta lawatan ke Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz di Klang dan I-City di Shah Alam. 

Pada 6 Dis, agensi-agensi PR antarabangsa akan menuju ke Melaka untuk menyertai sesi khas bersama Pengarah Bahagian Komunikasi dan Publisiti Tourism Malaysia dan mereka akan turut dibawa melawat bandar Melaka. 


TAMAT


Untuk mendapatkan siaran media, media info dan artikel berkaitan industri pelancongan di Malaysia, sila lawati Pusat Media di laman web Tourism Malaysia di http://www.tourismmalaysia.gov.my/.


LEMBAGA PENGGALAKAN PELANCONGAN MALAYSIA ATAU TOURISM MALAYSIA ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia. Tourism Malaysia bertanggungjawab untuk mempromosikan Malaysia di semua peringkat. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah membangun dengan pesatnya dan telah muncul sebagai pemain utama dalam dunia pelancongan antarabangsa. Pada 2012, Malaysia telah mencatatkan kedatangan seramai 25 juta orang pelancong asing dengan pendapatan pelancongan sebanyak RM60.6 bilion sekaligus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan ke-10 paling popular di dunia




Pada 2014, Malaysia akan menyambut Tahun Melawat Malaysia (TMM) buat kali keempat dengan tema “Celebrating 1Malaysia Truly Asia”. Kempen promosi TMM 2014 telahpun bermula pada tahun ini dan akan dipenuhi dengan pelbagai acara istimewa dan aktiviti-aktiviti menarik sepanjang tahun sehinggalah tibanya TMM 2014. Penganjuran kempen TMM 2014 dijangka akan dapat membantu kerajaan mencapai sasaran untuk menerima kedatangan pelancong seramai 36 juta orang dengan pendapatan sebanyak RM168 bilion menjelang 2020 seperti yang digariskan dalam Pelan Transformasi Pelancongan Malaysia 2020.            


Hubungi:
Unit Perhubungan Media:
Encik Razaidi Abd Rahim, Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Komunikasi dan Publisiti
Emel: razaidi@tourism.gov.my

Unit Editorial:
Puan Anis Rozalina Ramli, Senior Editor, Bahagian Komunikasi dan Publisiti
Emel: anisramli@tourism.gov.my

Copyright © 2025 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use