Jun 7, 2024

PAMERAN CUTI-CUTI MALAYSIA MADANI PENJAWAT AWAM 2024 TAWAR JUALAN PAKEJ PELANCONGAN ISTIMEWA


PUTRAJAYA, 7 Jun 2024 – Bermula daripada 7 hingga 9 Jun 2024, Tourism Malaysia hari ini menganjurkan Pameran Cuti-Cuti Malaysia MADANI Penjawat Awam 2024 yang menawarkan jualan pakej pelancongan domestik serta tiket masuk ke taman tema secara terus kepada para pengunjung bertempat di Alamanda Shopping Centre selama tiga hari.

Antara pakej-pakej yang ditawarkan kepada pengunjung ialah Pakej Duo KTMB, pakej percutian di pulau-pulau seperti Redang, Kapas, Perhentian, Lang Tengah, Tioman dan Mabul. Turut ditawarkan, pakej glamping, homestay dan penginapan di hotel serta resort bertaraf sehingga lima bintang.

Encik Manoharan Periasamy, Ketua Pengarah Tourism Malaysia berkata, penganjuran program ini adalah menyasarkan penjawat awam untuk menggalakkan mereka bercuti serta berbelanja di dalam negara sekali gus merancakkan pelancongan domestik serta perkembangan ekonomi setempat.

“Pameran ini merupakan salah satu program yang dirancang dalam pelan promosi dan pemasaran Tourism Malaysia untuk merancakkan lagi aktiviti pelancongan bagi mencapai sasaran 220 juta pelawat domestik pada tahun 2024.

“Walaupun pameran ini menyasarkan kepada penjawat awam, namun ia juga terbuka kepada orang awam untuk mendapatkan tawaran jualan pakej pelancongan dan tiket masuk pada harga diskaun sehingga 30 peratus,” katanya.

Sebanyak 25 pemain industri terlibat dalam pameran kali ini merangkumi agensi pelancongan, hotel, operator produk pelancongan, taman tema, syarikat penerbangan, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) serta syarikat promosi dan pemasaran kraftangan, Karyaneka Sdn. Bhd.

Sepanjang program berlangsung, pengunjung juga akan berpeluang untuk menyertai kuiz pelancongan dan beramah mesra dengan pempengaruh media sosial dan menyaksikan persembahan kebudayaan, demonstrasi kraftangan serta meneroka destinasi – destinasi pelancongan menarik di negara ini secara realiti maya.

TAMAT

Tourism Malaysia

Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia atau Tourism Malaysia ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Malaysia. Tourism Malaysia giat memfokuskan kepada tugas khusus untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam industri pelancongan antarabangsa. Penganjuran Tahun Melawat Malaysia 2026 bakal meraikan kelestarian industri pelancongan negara seiring dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG). Selain itu, Tourism Malaysia turut menyokong Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) ke arah merealisasikan Tahun Melawat IMT-GT 2023-2025 bagi mempromosikan wilayah serantau sebagai destinasi pelancongan tunggal. Untuk maklumat lanjut, layari akaun media sosial Tourism Malaysia di Facebook, Instagram, Twitter, YouTube, dan TikTok.

Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi:

Noor Azman Samsudin
Timbalan Pengarah
Bahagian Domestik & Acara
noorazman@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8468

Marhafizman Mohamad Daud
Pegawai Pelancongan Kanan
Bahagian Komunikasi Korporat
marhafizman@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8785



Related Photos

Copyright © 2025 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use