Oct 31, 2021

NIKMATI E-BAUCAR TUNAI KEMPEN ‘REDISCOVER FUN-A THEME PARK FAMILY AFFAIR’

PUTRAJAYA, 31 Oktober 2021 – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Tourism Malaysia telah memperuntukkan sebanyak RM400,000 e-baucar tunai untuk ditebus oleh rakyat Malaysia dalam kempen ‘Rediscover Fun A-Theme Park Family Affair’ yang akan berlangsung bermula 30 Oktober sehingga 10 Disember 2021.

Dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Taman Tema dan Pusat Hiburan Keluarga Malaysia (MATFA), pengunjung juga boleh menikmati diskaun tiket masuk sehingga 50 peratus di lebih 25 buah taman tema dan pusat hiburan keluarga.

Untuk mendapatkan penebusan e-baucar tunai tersebut yang bernilai RM10, orang ramai perlu melayari laman sesawang MATFA di matfa.org.my bermula 30 Oktober 2021 berdasarkan terma dan syarat ‘siapa cepat dia dapat’.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri berkata, program kerjasama ini adalah selari dengan Pelan Pemulihan Pelancongan bertujuan menyemarakkan kembali industri pelancongan domestik yang terkesan dengan pandemik COVID-19.

“Dianggarkan sekurang-kurangnya 40,000 rakyat Malaysia bakal menerima manfaat daripada pelaksanaan kempen ini. Pada masa sama, MATFA turut optimistik untuk meraih 50 peratus peningkatan kunjungan orang ramai ke taman tema sepanjang kempen berlangsung,” katanya.

Semua operator taman tema terlibat dijamin mematuhi standard operator prosedur (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan. Untuk maklumat lanjut berkenaan senarai taman tema yang mengambil bahagian serta terma dan syarat kempen, sila layari laman sesawang matfa.org.my atau www.malaysia.travel

TAMAT

Tourism Malaysia

Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia atau Tourism Malaysia ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Malaysia. Tourism Malaysia giat memfokuskan kepada tugas khusus untuk mempromosi Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam industri pelancongan antarabangsa. Pada tahun 2019, Malaysia mencatatkan ketibaan seramai 26.1 juta pelancong asing yang menyumbang kepada pendapatan pelancongan sebanyak RM86.14 bilion sekali gus meletakkan negara ini dalam kalangan destinasi pelancongan utama dunia.

MATFA

Ditubuhkan pada tahun 2001, Persatuan Pengurusan Taman Tema Dan Pusat Hiburan Keluarga (MATFA) mewakili kepentingan ahli dalam semua perkara yang berkaitan dengan operasi pusat hiburan keluarga ketika berurusan dengan pihak berkuasa tempatan dan agensi kerajaan. Tujuan penubuhan MATFA kini telah berkembang dalam menyatukan semua pemain industri serta menyemarakkan industri pelancongan terutamanya taman tema dan pusat hiburan keluarga sebagai pusat pelancongan keluarga selamat serta mematuhi piawaian dan undang-undang yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

Untuk pertanyaan, sila hubungi:

Muadz Samat
Penolong Pengarah
Bahagian Komunikasi Korporat
muadz@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8776

Jackie Thian
Setiausaha Eksekutif
MATFA
adm.maatfa@gmail.com
Tel: +6012-2940880

Copyright © 2024 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use