Oct 15, 2012

MISI PENGEMBARAAN MALAYSIA TOURISM HUNT 2012 BERAKHIR DENGAN JAYANYA

PUTRAJAYA, 15 OKT 2012: Matlamat Tourism Malaysia untuk mempromosikan pakej "Fly & Drive" secara meluas berjaya dicapai setelah berakhirnya program Malaysia Tourism Hunt 2012 di Pulau Redang, Terengganu pada 26 September yang lalu.

Program yang berlangsung pada 20 hingga 25 September itu telah mendapat liputan meluas pelbagai media cetak dan eletronik serta media sosial tempatan dan antarabangsa.

Selain itu, program Malaysia Tourism Hunt 2012 juga telah mendorong para pengusaha produk pelancongan tempatan dan antarabangsa untuk membangun dan memasarkan pakej-pakej pelancongan pandu sendiri atau ‘Fly & Drive’ di negara ini.

Pengembaraan pandu sendiri selama enam hari dan lima malam yang melibatkan seramai 94 orang peserta yang terdiri daripada 35 wakil media tempatan, 36 wakil media asing dari negara ASEAN dan pasaran antarabangsa terpilih serta 23 wakil agensi pelancongan ini telah berjaya membuka mata dan minda para peserta.

Rata-rata para peserta yang terbahagi kepada 25 kumpulan itu amat berpuas hati dengan program yang telah disediakan oleh pihak penganjur serta amat teruja kerana dapat menimba pelbagai pengalaman baru semasa menempuh perjalanan sejauh lebih kurang 900 km melalui lebuh raya, kawasan tanah tinggi dan jalan pesisir pantai.

Sepanjang program tersebut berlangsung, para peserta berpeluang melakukan pelbagai aktiviti yang mencabar dan menyeronokkan seperti memandu uji di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), berbasikal mengelilingi Putrajaya, menjejaki laluan sejarah di sekitar Kuala Kubu Baru, meneroka hutan hujan di Bukit Fraser, mencari harta karun di Pasar Payang dan Pantai Kemasik, menikmati keindahan hidupan laut di Taman Laut Redang, menjalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan melepaskan kira-kira 200 anak penyu di Pulau Redang dan pelbagai aktiviti lain.

Cabaran dan rintangan yang ditempuh oleh para peserta adalah berkonsepkan photo hunt, scavenger hunt, amazing race dan fear factor. Aktiviti-aktiviti yang memerlukan kerjasama dan sokongan ahli-ahli kumpulan itu telah dapat merapatkan lagi hubungan antara media tempatan dan antarabangsa dengan para penggiat industri pelancongan tempatan.

Juara bagi program Malaysia Tourism Hunt 2012 yang julung kali diadakan ini ialah kumpulan 'Rudrasola' yang memandu kereta bernombor 16. Ahli-ahlinya yang terdiri daripada Encik Abdul Malik bin Morshidi (Malaysia), Encik Nikhil Paramanjit Sharma (India), Cik Emily Lowe (Malaysia) dan Tengku Nur Raihan Tengku Ngah (Malaysia) telah berjaya mengutip sebanyak 665 markah. Setiap ahli telah memenangi pakej bermalam untuk 2 orang di Hotel Ri-yaz Heritage Marina Resort & SPA, tiket penerbangan pergi/balik ke Terengganu, hadiah wang tunai sebanyak RM500  dan bingkai Gambar 2D 1Malaysia daripada Arch Heritage Gifts & Collectibles dengan jumlah keseluruhan bernilai RM14,360.00

Naib juara pula ialah kumpulan 'Captain Hook & His Pirates' yang memandu kereta bernombor 3. Kumpulan yang dianggotai oleh Encik Muhd Syahir Muhiddin (Malaysia), Puteri Elysya Hamzah (Malaysia), Encik Julius Vicente (Filipina) dan Cik Zhao Xin (China) ini telah mengumpul sebanyak 657 markah. Hadiah yang telah mereka menangi pula  merupakan pakej bermalam untuk  2 orang di Hotel Istana, tajaan kereta sewa selama 2 hari oleh Hertz (Sime Darby Rent A Car Sdn. Bhd),  hadiah wang tunai sebanyak RM400 dan bingkai Gambar 2D 1Malaysia daripada Arch Heritage Gifts & Collectibles dengan jumlah keseluruhan bernilai RM10,280.00

Tempat ketiga dimenangi oleh kumpulan "Lucky 7" yang menaiki kereta bernombor 7 dengan jumlah markah sebanyak 635. Kumpulan ini terdiri daripada Encik Hiroaki Yamada dari Jepun, Cik Elfida (Indonesia), Cik Esther Choi Lay Kuen (Malaysia) dan Encik Zaide Zainal Abdidin (Malaysia). Hadiah yang telah mereka menangi pula  merupakan pakej bermalam untuk  2 orang di Hotel Philea Resort & SPA, tajaan kereta sewa selama 2 hari oleh Hertz (Sime Darby Rent A Car Sdn. Bhd),  hadiah wang tunai sebanyak RM300 dan bingkai Gambar 2D 1Malaysia daripada Arch Heritage Gifts & Collectibles dengan jumlah keseluruhan bernilai RM9,480.00.

Program unik ini telah diperkenalkan kepada pada peserta untuk menggalakkan percutian pandu sendiri ke pelbagai destinasi menarik di seluruh Malaysia. Ia juga merupakan pendekatan terbaik untuk memberi pendedahan kepada rakan media tempatan dan asing mengenai keistimewaan dan keunikan yang terdapat di negara yang berbilang bangsa dan budaya ini.

Program ini telah mendapat sokongan dan kerjasama akhbar Harian Metro selaku media rasmi (berita) dan majalah Gaya Travel sebagai majalah pelancongan rasmi. Selain itu, Tourism Malaysia juga telah menjalinkan perkongsian pintar dengan syarikat-syarikat swasta dan agensi kerajaan yang lain.

Untuk sebarang maklumat lanjut, sila hubungi Encik Abdul Mutalib Awang, Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pemasaran Domestik, Tourism Malaysia di talian 03-8891 8421 atau emel abdulmutalib@tourism.gov.my.

Disediakan oleh: Bahagian Komunikasi dan Publisiti, Tourism Malaysia
Tel: 03-8891 8000 Faks: 03-8891 8788
E-mel: sitirahmah@tourism.gov.my Laman web: www.tourismmalaysia.gov.my
Facebook: http://www.facebook.com/friendofmalaysia
Twitter: http://twitter.com/tourismmalaysia Blog: http://blog.tourism.gov.my

 

Copyright © 2024 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use