Mar 24, 2013

MENTERI PELANCONGAN LANCAR PAKEJ BERBASIKAL ISTIMEWA DI ACARA KAYUHAN SIHAT CUTI-CUTI 1MALAYSIA @ TERSANG

RAUB, 24 MAC 2013: Sebagai pembuka tirai 2013,Tourism Malaysia telah memperkenalkan Pakej Cuti-Cuti 1Malaysia Bike Ride – “Raub Special Cycling Packages@ Tersang”, Lembah Klau & Krau” sempena penganjuran acara Kayuhan Sihat Cuti-Cuti 1Malaysia (CC1M) @Tersang yang diadakan di Felda Tersang  di sini, hari ini.

Produk pelancongan berbasikal terbaru itu telah dilancarkan oleh Menteri Pelancongan Malaysia, YB Dato’ Sri Dr. Ng Yen Yen sebaik selesai acara Kayuhan Sihat CC1M @Tersang sejauh 9 kilometer yang turut disertai oleh beliau bersama lebih kurang 500 orang para peserta lain.

Dato’ Sri Dr. Ng Yen Yen dalam ucapannya berkata bahawa program CC1M Sunday Bike Ride @Raub yang dianjurkan sepanjang tahun lalu telah berjaya meningkatkan aktiviti pelancongan di Raub dan kawasan sekitarnya.

“Semakin ramai rakyat Malaysia terutamanya para peminat sukan berbasikal telah menyedari kewujudan tempat-tempat menarik yang terdapat di Raub ini melalui aktiviti berbasikal tersebut sekaligus meningkatkan profil pelancongan negeri Pahang serta pertumbuhan pelancongan domestik di negeri ini.

“Saya berpendapat bahawa sudah sampai masanya untuk program berbasikal ini diperluaskan di kawasan-kawasan lain di daerah Raub seperti ke kawasan-kawasan Felda seperti Felda Tersang, Lembah Klau dan Felda Krau yang mempunyai pelbagai tarikan pelancongan berkonsepkan eko,” sambung beliau lagi.

Menteri Pelancongan berharap agar program ini akan dapat membantu menjana pendapatan para penduduk di sekitar kawasan tersebut termasuk perkampungan orang asli yang berdekatan.

PAKEJ BERBASIKAL ISTIMEWA @TERSANG, LEMBAH KLAU & KRAU

Pakej istimewa ke kawasan-kawasan Felda tersebut dibangunkan oleh agensi pelancongan NKS Hotel & Travel Sdn. Bhd. yang berpangkalan di Jerantut, Pahang yang menawarkan sebanyak tiga pakej percutian berbasikal khusus di Felda Tersang 1, 2 dan 3 , Felda Lembah Klau dan Felda Krau.   

Pakej-pakej pelancongan berbasikal yang terdapat dalam brosur Pakej Berbasikal Istimewa @Tersang, Lembah Klau & Krau tersebut adalah seperti berikut:-

Day Trip Cycling Tour - Lembah Klau/Sungai Ruan (Blue Route) - Pakej sehari berharga RM200.00 seorang (minimum 30 orang) termasuk makan tengah hari yang menawarkan aktiviti berbasikal ke Felda Lembah Klau sejauh 28km (sehala) dari bandar Raub dan aktiviti kembara 4WD ke Air Terjun Berembun.
 
Day Trip Cycling Tour - Krau (Blue Route) - Pakej sehari berharga RM150.00 seorang (minimum 30 orang) yang menawarkan aktiviti berbasikal sambil "Jalan-Jalan Cari Makan" di kilang tauhu, kilang kacang tanah dan restoran kari kepala ikan di sekitar bandar Raub sebelum menuju ke Felda Krau melalui Kampung Melayu Sempalit dengan merentasi ladang kelapa sawit, ladang getah dan dusun buah-buahan.
 
2D1N Cycling Tour - Raub/Tersang (Blue Route) - Pakej 2 hari 1 malam  berharga RM350.00 seorang  (minimum 30 orang) termasuk penginapan di Homestay Sungai Pasu, sarapan pagi/makan tengah hari dan makan malam serta aktiviti berbasikal sambil "Jalan-Jalan Cari Makan" di kilang tauhu, kilang kacang tanah dan restoran kari kepala ikan di sekitar bandar Raub pada hari pertama. Aktiviti berbasikal di hari kedua mengelilingi Felda Tersang 1, 2, & 3 merentasi laluan perkampungan, lawatan ke kilang kelapa sawit, melihat pembuatan dodol, kerepek dan produk IKS yang lain.

Tawaran untuk Pakej Berbasikal Istimewa @Tersang, Lembah Klau & Krau ini akan berakhir pada 31 Disember 2014. 

ACARA KAYUHAN SIHAT CUTI-CUTI 1MALAYSIA @TERSANG


Program Kayuhan Sihat CC1M @Tersang ini merupakan kesinambungan daripada program CC1M “Sunday Bike Ride @Raub” yang telah dilancarkan oleh Menteri Pelancongan di Taman Tasik Raub, Pahang pada tahun lalu.

Kepopularan aktiviti berbasikal semakin meningkat di kalangan rakyat Malaysia kerana ia bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat tetapi juga merapatkan hubungan silaturrahim sesama keluarga dan rakan-rakan.

Ini dapat dilihat melalui jumlah penyertaan yang amat menggalakkan daripada masyarakat setempat bagi program sulung Kayuhan Sihat CC1M @Tersang ini yang terdiri daripada para pelajar, belia Felda dan peminat sukan berbasikal dari seluruh daerah Raub dan Felda di daerah lain yang berhampiran seperti Sungai Koyan. 

Para peserta program ini telah berbasikal secara konvoi melalui kawasan-kawasan yang telah dibangunkan sebagai laluan basikal di samping melawat beberapa tapak industri kecil dan sederhana yang diusahakan oleh para penduduk di situ seperti perusahaan membuat dodol, kerepek, menganyam bakul, membuat parang dan sarung parang.

Bagi memeriahkan lagi suasana, pelbagai aktiviti telah dijalankan bertempat di Felda Tersang 1 seperti, acara sukaneka, persembahan kebudayaan, tarian CC1M/1M4U serta cabutan bertuah. Pelbagai agensi kerajaan turut menyediakan perkhidmatan kepada para penduduk melalui pameran mini yang melibatkan pemeriksaan kesihatan, kaunter Pusat Pungutan Zakat, kaunter Tabung Haji, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK)  dan sebagainya. 

LAWATAN KEMAS KINI PRODUK PELANCONGAN RAUB

Bersempena dengan program Kayuhan Sihat CC1M @Tersang, Tourism Malaysia turut membawa pelbagai wakil media untuk satu lawatan ke kawasan tarikan pelancong di Hutan Lipur Lata Lembik yang terletak kira-kira 32 kilometer dari Felda Tersang 2.

Para wakil media telah berpeluang melakukan pelbagai aktiviti lasak seperti flying fox, abseiling, tree climbing, water rafting, sky walk dan archery selain merasai pengalaman bermalam di chalet-chalet yang terdapat di Lata Lembik. 

Untuk maklumat lanjut mengenai program Kayuhan Sihat CC1M @Tersang, sila hubungi Puan Nor Aida Ismail, Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pemasaran Domestik, Tourism Malaysia di 03-8891 8459 atau emel noraida@tourism.gov.my.              

Untuk mendapatkan siaran media, media info dan artikel berkaitan industri pelancongan di Malaysia, sila lawati Pusat Media di laman web Tourism Malaysia di http://www.tourismmalaysia.gov.my/.

LEMBAGA PENGGALAKAN PELANCONGAN MALAYSIA ATAU TOURISM MALAYSIA ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan Malaysia. Peranan Kementerian Pelancongan ialah melaksanakan dasar-dasar berkaitan pelancongan, menjalankan penyelidikan serta menawarkan insentif kepada para penggiat industri pelancongan manakala Tourism Malaysia pula bertanggungjawab untuk mempromosikan Malaysia di peringkat domestik dan antarabangsa. Didorong oleh aspirasi untuk mempromosikan Malaysia sebagai sebuah destinasi pelancongan yang unggul di rantau ini, Tourism Malaysia telah membangun dengan pesatnya sejak penubuhannya dan telah muncul sebagai pemain utama dalam landskap sosioekonomi negara. Pada 2012, Malaysia telah mencatatkan kedatangan seramai 25 juta orang pelancong asing dengan pendapatan pelancongan sebanyak RM60.6 bilion.

Pada 2014, Malaysia akan menyambut Tahun Melawat Malaysia (TMM) buat kali keempat dengan tema “Celebrating 1Malaysia Truly Asia”. Kempen promosi TMM 2014 telahpun bermula pada tahun ini dan akan dipenuhi dengan pelbagai acara istimewa dan aktiviti-aktiviti menarik sepanjang tahun sehinggalah tibanya TMM 2014. Penganjuran kempen TMM 2014 dijangka akan dapat membantu kerajaan mencapai sasaran untuk menerima kedatangan pelancong seramai 36 juta orang dengan pendapatan sebanyak RM168 bilion menjelang 2020 seperti yang digariskan dalam Pelan Transformasi Pelancongan Malaysia 2020.            

 Hubungi:

Unit Perhubungan Media:

Encik Razaidi Abd Rahim, Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Komunikasi dan Publisiti

Emel: razaidi@tourism.gov.my

 

Unit Editorial:

Puan Anis Rozalina Ramli, Editor, Bahagian Komunikasi dan Publisiti

Emel: anisramli@tourism.gov.my

Copyright © 2024 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use