MENTERI PELANCONGAN LANCAR KEMPEN PENGIKLANAN TEKSI CUTI-CUTI 1MALAYSIA
Menteri Pelancongan Malaysia, Dato' Sri Dr. Ng Yen Yen telah melancarkan Kempen Pengiklanan Teksi Cuti-Cuti 1Malaysia di Perhentian Teksi Raub, Pahang pada 9 Januari 2012.
Sebanyak 41 buah teksi telah dilekatkan dengan pelekat kenderaan yang mempromosikan Cuti-Cuti 1Malaysia melalui teknik pengiklanan body wrapping.
Dato' Sri Dr. Ng Yen Yen dalam ucapannya berkata bahawa pengangkutan awam seperti teksi adalah antara pilihan terbaik untuk memberikan pendedahan luas kepada orang ramai mengenai produk dan destinasi pelancongan yang terdapat di Malaysia.
"Daerah Raub ini misalnya, sangat kaya dengan sumber khazanah alam semula jadi yang menarik terutamanya di destinasi seperti Hutan Lipur Lata Jarum dan Bukit Fraser malah program inap desanya juga benar-benar menyerlahkan keindahan kehidupan di desa," kata beliau lagi.
Dato' Sri Dr. Ng Yen Yen juga menyatakan bahawa beliau amat gembira dengan semangat yang ditunjukkan oleh 41 orang pemandu teksi daripada Persatuan Kebajikan Pemandu-pemandu Teksi/Kereta Sewa Daerah Raub untuk menyertai kempen mempromosikan Cuti-Cuti 1Malaysia.
"Kementerian saya memang mengalu-alukan penyertaan pihak swasta untuk sama-sama berusaha meningkatkan industri pelancongan di Malaysia ini dan haruslah diingat bahawa para pemandu teksi tidak ubah seperti duta kecil industri pelancongan negara," sambungnya lagi.
Kesemua 41 orang pemandu teksi tersebut telah pun mengikuti Kursus Mesra Malaysia anjuran Kementerian Pelancongan dan Pejabat Kementerian Pelancongan Malaysia Negeri Pahang pada awal tahun 2011 di Homestay Mempaga 1 di Bentong, Pahang.
Pada acara pelancaran tersebut, Dato' Sri Dr. Ng Yen Yen turut menyampaikan sijil duta pelancongan kepada para pemandu teksi sebelum melawat sekitar bandar Raub menggunakan teksi.