Sep 11, 2019

MEDIA TEROKA PANTAI TIMUR SABAH BERSAMA TOURISM MALAYSIA SEMPENA PESTA MAKANAN DAN PERTANIAN SANDAKAN 2019


LAHAD DATU, 11 SEPTEMBER 2019 – Bersempena dengan Pesta Makanan & Pertanian Sandakan 2019, seramai 22 pengamal media cetak dan media dalam talian dari pelbagai agensi di Malaysia dan Singapura telah menyertai program lawatan media ke Tawau, Lahad Datu dan Sandakan anjuran Tourism Malaysia dari 11 hingga 15 September 2019. Program lawatan media ini diadakan bertujuan memperkenalkan produk-produk pelancongan yang terdapat di daerah Tawau,

Lahad Datu dan Sandakan kepada rakan media dengan lebih dekat lagi selain membantu mempromosikan destinasi pelancongan Sabah sempena kempen Melawat Malaysia 2020 (VM2020).

Program sebegini juga diharapkan akan dapat mengeratkan jalinan hubungan antara pihak media dengan sektor kerajaan dan swasta yang berkaitan dengan industri pelancongan.

Para peserta akan merasai sendiri pengalaman menyusuri Sungai Kinabatangan, berendam dalam lumpur gunung berapi Lipad, mengunjungi tempat bersejarah seperti Rumah Agnes Keith, Gereja St. Micheal, Tokong Buddha Puu Jih Shih, Taman Peringatan Sandakan, Muzium Warisan Sandakan, mengunjungi Perkampungan Air Sim Sim, selain melawat Pusat Pemuliharaan Orangutan Sepilok, Pusat Konservasi Beruang Matahari Borneo dan Pusat Penemuan Hutan Hujan. Terkenal sebagai syurga makanan laut, para peserta akan dapat menikmati sendiri kesegaran dan kelazatan makanan laut di pantai timur Sabah ini.

Mereka juga berpeluang untuk menyaksikan majlis pelancaran Pesta Makanan dan Pertanian Sandakan yang akan diadakan buat kali keduanya di Bandar Kim Fung, Sandakan pada 13 September. Pesta itu akan mempamerkan produk makanan dan pertanian Sandakan, serta menawarkan pelbagai aktiviti seperti pertandingan Food Discovery dan pengalaman menikmati juadah di bandar itu, bengkel tapai, gerai jualan, pertandingan makan, demonstrasi masakan juga pertandingan SDK Grand Chef.

Tourism Malaysia berharap agar para pengamal media yang terlibat akan berkongsi tentang pengalaman mereka semasa meneroka khazanah alam semula jadi di Sabah kepada para pembaca dan pengikut mereka, sekali gus membantu menimbulkan minat dalam kalangan mereka untuk melawat “Negeri Di Bawah Bayu’ ini.

Dijangkakan para peserta program akan menjana sebanyak 80 hingga 100 “cerita” mengenai Sabah dalam bentuk rencana yang diterbitkan serta kiriman di dalam Facebook, Instagram, YouTube, Twitter dan blog. Tourism Malaysia berharap agar posting ini akan dikongsikan bersama untuk mendapatkan antara 5 juta dan 6 juta jangkauan di laman-laman media sosial.

Bagi memanfaatkan kuasa media sosial, tanda pagar seperti #TourismMalaysia, #MalaysiaTrulyAsia, #CutiCutiMalaysia, #VM2020 #GoSabahExperienceMore #SabahOkBah #SyiokOSabah #MalaysianHospitality #MasWingsMates akan digunakan sepanjang program untuk meningkatkan publisiti.

Program lawatan media ini telah diadakan dengan kerjasama Malaysia Airlines, MASwings, Sabah Tourism Board, Sandakan Tourist Association, Myne Resort Kinabatangan dan Tabin Wildlife Resort.

Malaysia Airlines melakukan penerbangan ke Tawau sebanyak dua kali sehari setiap minggu dan Sandakan sekali setiap sehari, manakala MASWings pula melakukan penerbangan dari Lahad Datu ke Sandakan sebanyak dua kali sehari.

TAMAT

Untuk mendapatkan siaran akhbar, media info dan artikel berkaitan industri pelancongan di Malaysia, sila lawati Pusat Media di laman web Tourism Malaysia di http://www.tourism.gov.my/

LEMBAGA PENGGALAKAN PELANCONGAN MALAYSIA ATAU TOURISM MALAYSIA ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia. Tourism Malaysia menumpukan kepada tugas khusus iaitu mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam dunia pelancongan antarabangsa. Pada 2018, Malaysia telah mencatatkan kedatangan seramai 25.8 juta orang pelancong asing dan pendapatan pelancong berjumlah sebanyak RM84.1 bilion sekali gus meletakkan negara ini dalam kalangan destinasi pelancongan utama dunia.

Hubungi:

Unit Media

Encik Muadz Samat
Penolong Pengarah
Bahagian Komunikasi Korporat
Tel: +603-8891 8755
Emel: muadz@tourism.gov.my

Copyright © 2024 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use