Nov 12, 2015

MASA MEMBELI-BELAH UNTUK SEMUA! JUALAN AKHIR TAHUN 1MALAYSIA 2015

GEORGE TOWN, PULAU PINANG, 12 NOVEMBER 2015 – Jualan hebat Akhir Tahun 1Malaysia (1MYES) mengakhiri tahun 2015 dengan bonanza menakjubkan untuk semua – harga runtuh, tawaran menarik, harga rendah bebas cukai di pintu masuk/keluar, dan acara-acara istimewa anjuran beratus-ratus pusat beli-belah di seluruh negara selama hampir dua bulan dari 14 November 2015 hingga 3 Januari 2016.

Suasana akhir tahun di pelbagai pusat beli-belah, dari gedung bergaya mewah dan berhawa dingin hingga ke pasar-pasar terbuka, bertukar menjadi lebih meriah dengan tawaran terhebat serta pilihan terbanyak untuk menarik orang ramai pergi membeli-belah, menjamu selera, berhibur dan beriadah. 1MYES meningkatkan lagi pesta perayaan dan percutian akhir tahun ketika tirai 2015 dilabuhkan untuk menyambut kedatangan Tahun Baru dengan penuh harapan.

Timbalan Ketua Pengarah (Strategik & Domestik) Tourism Malaysia YBrs. Puan Chong Yoke Har melancarkan 1MYES 2015 di G Hotel, George Town, Pulau Pinang hari ini. Antara yang hadir ialah wakil-wakil peniaga dan pusat-pusat beli-belah yang mengambil bahagian serta kira-kira 152 orang peserta Program Mega FAM Tourism Malaysia, termasuk ejen pelancongan dan anggota media asing yang dijemput khas untuk melihat dan mengalami persekitaran membeli-belah Malaysia yang rancak.

Puan Chong turut melancarkan Peta Shopping Malaysia yang baru dikeluarkan oleh Tourism Malaysia untuk membantu para pembeli mencari arah dan bergerak di dalam hab membeli-belah utama di negara ini. Empat peta berasingan yang meliputi kawasan membeli-belah di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya; Pulau Pinang; Johor & Melaka; dan Sabah & Sarawak, yang mempunyai potensi tinggi untuk menarik pembeli-pembeli asing dan tempatan, telah dihasilkan. Peta-peta ini juga mengenal pasti pelbagai tempat menarik untuk dilawati pelancong, dan turut memuatkan senarai pusat-pusat beli-belah di semua kawasan tersebut bagi memudahkan para pelancong mencari dan memilih tempat-tempat untuk membeli-belah.

Selain itu, peta-peta tersebut mengandungi maklumat yang berguna mengenai Skim Bayar Balik Pelancong di Malaysia. Panduan langkah demi langkah diberikan untuk membantu pelancong menuntut pembayaran balik GST sebanyak 6 peratus bagi pembelian sekurang-kurangnya RM300, termasuk GST dalam satu invois atau resit. Kaunter pengesahan bayaran balik terletak di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA 2 dan juga di lapangan terbang di Subang, Kuantan, Senai, Kuching dan Kota Kinabalu. Terdapat juga ejen bayaran balik yang bertauliah di lokasi-lokasi tersebut untuk membantu para pelancong membuat tuntutan bayaran balik GST mereka.

Dua acara sampingan turut diadakan serentak dengan 1MYES 2015. Acara pertama adalah Kuala Lumpur Fashion Weekend 2015 yang berlangsung dari 15-22 November 2015 di Kompleks Kraf dan KL PAC di Kuala Lumpur. Ekstravaganza fesyen terkemuka bandaraya ini akan menampilkan koleksi ready-to-wear hasil rekaan pereka terkenal seperti pereka British Zandra Rhodes, serta label terkemuka Malaysia, termasuk Amanda Brown Couture dan Euro Moda dan ciptaan unik Kraftangan Malaysia. Acara kedua ialah edisi ke-9 A Journey Through Time yang merupakan pameran berprestij jam dan barang kemas yang akan berlangsung di Starhill Gallery, Kuala Lumpur dari 20-27 November 2015.

Pameran tahunan ini telah menjadi salah satu acara utama di Asia yang mampu menarik ramai peminat jam tangan dan barang kemas ke ibu negara Malaysia untuk melihat koleksi persendirian yang jarang didapati, edisi pertama dalam pasaran dan ciptaan halus yang indah oleh pereka beberapa jenama jam dan barang kemas terkemuka di dunia.

Acara-acara tersebut turut menyumbang ke arah usaha menjadikan Kuala Lumpur sebagai destinasi beli-belah yang sangat menarik di Asia. Kuala Lumpur telah pun merangkul beberapa anugerah beli-belah peringkat antarabangsa, termasuk mencapai kedudukan kedua dalam Muslim Travel Shopping Index untuk kategori Destinasi Beli-belah Terbaik 2015 bagi umat Islam di Destinasi OIC. Indeks baru ini dikeluarkan oleh CrescentRating dan MasterCard. CrescentRating telah mencipta nama dalam penggalakan pelancongan Islam dari aspek pengkajian trend tingkah laku dan perbelanjaan para pembeli Islam. Dubai menduduki tangga teratas dalam Indeks ini, manakala Kuala Lumpur mendahului Istanbul dan Antalya di Turki dan Manama di Bahrain lantas menjadikan Kuala Lumpur di tangga lima teratas dalam Indeks antarabangsa tersebut. Pulau Pinang juga berjaya memasuki senarai 10 tertinggi dalam Indeks ini, dengan mendapatkan kedudukan ke-9 dan mengalahkan Sharjah, Emiriah Arab Bersatu.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Kuala Lumpur telah memenangi dua anugerah destinasi beli-belah antarabangsa yang lain. Media antarabangsa CNN telah memilih Kuala Lumpur sebagai salah satu destinasi beli-belah terbaik dunia. Kuala Lumpur menduduki tangga keempat dalam senarai Bandaraya Beli-belah Terbaik Dunia CNN untuk dua tahun berturut-turut (2012 dan 2013). Malaysia mengalahkan bandaraya beli-belah ternama dunia iaitu New York, Tokyo dan London.

Kuala Lumpur juga merangkul gelaran Destinasi Beli-belah Ke-2 Terbaik 2012 di Asia Pasifik, seperti yang disenaraikan oleh Globe Shopper Index yang berpusat di Geneva. Kedua-dua penyenaraian tersebut menjadikan Kuala Lumpur sebagi destinasi beli-belah terbak di Asia Tenggara dan antara yang terunggul di Asia.

Jualan Akhir Tahun 1Malaysia merupakan salah satu daripada tiga kempen membeli-belah di seluruh negara. Dua kempen yang lain adalah Jualan 1Malaysia Grand Prix pada bulan Mac dan Karnival Jualan Mega 1Malaysia dari Jun hingga September. Ketiga-tiga jualan tersebut dianjurkan setiap tahun oleh Sekretariat Shopping Malaysia, cabang promosi jualan Tourism Malaysia, dan telah memberi banyak faedah kepada sektor runcit tempatan dan membantu mempertingkatkan perbelanjaan pelancong di dalam negara kita.

Pada tahun 2014, Malaysia mencapai kedudukan ke-12 dalam senarai negara yang paling banyak dilawati di dunia. Pencapaian ini berdasarkan kepada barometer Pertubuhan Pelancongan Dunia Bangsa-Bangsa Bersatu. Jumlah ketibaan pelancong ke Malaysia pada 2014 mencecah 27.4 juta, meningkat sebanyak 6.7% berbanding 25.7 juta pada 2013. Sektor beli-belah Malaysia merupakan penyumbang utama kepada pendapatan pelancongan negara dengan sumbangan sebanyak RM21.6 bilion atau 30% daripada jumlah pendapatan keseluruhan sebanyak RM72 bilion pada 2014. Aktiviti membeli-belah juga terus kekal sebagai penyumbang kedua tertinggi dalam perbelanjaan pelancong selepas sektor penginapan.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:-
Norlizah Jahaya
Penolong Pengarah Kanan, Secretariat Shopping Malaysia
Tel: + 603-8891 8470
Email: norlizah@tourism.gov.my


SEPINTAS LALU:

• Jumlah ketibaan pelancong ke Malaysia pada 2014 mencecah 27.4 juta, meningkat sebanyak 6.7% berbanding 25.7 juta pada 2013.

• Pendapatan pelancongan pada tahun 2014 adalah sebanyak RM72 bilion, meningkat 10% berbanding RM65.4 bilion yang diperolehi pada 2013.

• Pelancong ke Malaysia telah membelanjakan sebanyak RM21.6 bilion untuk membeli-belah pada 2014, meningkat 9.3% berbanding RM19.8 bilion yang dibelanjakan pada 2013.

• Aktiviti membeli-belah menjadi penyumbang kedua tertinggi dalam jumlah keseluruhan perbelanjaan pelancong selepas sektor penginapan.

• MyFest 2015 dijangka akan membantu Malaysia mencapai sasaran ketibaan pelancong seramai 29.4 juta orang dengan pendapatan pelancongan sebanyak RM89 bilion pada 2015, sekali gus membantu untuk mencapai sasaran yang telah ditetapkan di bawah Pelan Transformasi Pelancongan Malaysia iaitu ketibaan pelancong seramai 36 juta orang dengan pendapatan pelancongan sebanyak RM168 bilion menjelang 2020.

-TAMAT-

Untuk mendapatkan siaran media, media info dan artikel berkaitan industri pelancongan di Malaysia, sila lawati Pusat Media di laman web Tourism Malaysia di www.tourismmalaysia.gov.my

LEMBAGA PENGGALAKAN PELANCONGAN MALAYSIA ATAU TOURISM MALAYSIA ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia. Tourism Malaysia bertanggungjawab untuk mempromosikan Malaysia di semua peringkat. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah membangun dengan pesatnya dan telah muncul sebagai pemain utama dalam dunia pelancongan antarabangsa. Pada 2014, Malaysia telah mencatatkan kedatangan seramai 27.4 juta orang pelancong asing dengan pendapatan pelancongan sebanyak RM72 bilion sekaligus menjadikan pelancongan sebagi penyumbang kedua terbesar negara menerusi tukaran mata wang asing dan penyumbang keenam terbesar kepada Pendapatan Negara Kasar (PNK).

Malaysia telah menyambut Tahun Melawat Malaysia (TMM) buat kali keempat pada 2014 dengan tema Celebrating 1Malaysia Truly Asia”. Promosi negara diteruskan dengan penganjuran Tahun Festival Malaysia (MyFest) pada 2015 dengan tema “Endless Celebrations” yang menekankan kepada pelbagai festival yang disambut oleh masyarakat yang berbilang bangsa. Kedua-dua kempen ini menjadi pemacu ke arah mencapai sasaran ketibaan seramai 36 juta pelancong dengan pendapatan pelancongan sebanyak RM168 bilion pada 2020, berdasarkan Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA).

Melalui NKEA, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan telah mempertingkatkan kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan dan sektor swasta untuk memantapkan kedudukan negara sebagai destinasi pelancong antarabangsa yang terkemuka. Sasaran yang telah ditetapkan di bawah NKEA Pelancongan akan tercapai melalui pelaksanaan 12 Projek Permulaan (EPPs) yang merangkumi lima tema: Kembara Mewah Mampu Milik; Kembara Alam Semula Jadi; Keseronokan Seisi Keluarga; Acara, Hiburan, Spa dan Sukan; dan Pelancongan Perniagaan.

Hubungi:

Unit Perhubungan Media: Cik Chresentia F.B. Sadatal, Penolong Pengarah, Bahagian Komunikasi Korporat
Tel: +603-8891 8776 Emel: chresentia@tourism.gov.my

Unit Editorial: Puan Anis Rozalina Ramli, Senior Editor, Bahagian Komunikasi Korporat
Tel: +603-8891 8759 Emel: anisramli@tourism.gov.my

Copyright © 2024 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use