Feb 28, 2024

MANOHARAN PERIASAMY DILANTIK KETUA PENGARAH TOURISM MALAYSIA


PUTRAJAYA, 28 Februari 2024 – YB Dato' Sri Tiong King Sing, Menteri Pelancongan Seni dan Budaya melalui kuasa yang diberikan di bawah Seksyen 10 Akta Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia 1992 (Akta 481), telah bersetuju melantik YBrs. Encik Manoharan Periasamy sebagai Ketua Pengarah Tourism Malaysia berkuat kuasa 26 Februari 2024.

Manoharan yang sebelum ini merupakan Pengarah Bahagian Promosi Antarabangsa (Asia & Afrika) (Menanggung Tugas Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan)), dilantik ke jawatan tersebut bagi menggantikan Dato' Dr. Ammar Abd. Ghapar.

Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial dengan Kepujian (Sains Politik) daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), anak jati Melaka ini berpengalaman luas selama 33 tahun dalam pelbagai aktiviti pemasaran dan promosi pelancongan di samping menjalin hubungan kukuh dengan penggiat industri di dalam dan luar negara.

Sepanjang perkhidmatannya di Tourism Malaysia, Manoharan pernah menjawat jawatan sebagai Pengarah Kanan Bahagian Pengiklanan & Digital, Pengarah Bahagian Pembangunan Pakej dan Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat.

Selain itu, beliau juga merupakan individu penting yang diberikan kepercayaan untuk menerajui aktiviti promosi pelancongan negara di Asia Selatan apabila dilantik sebagai Pengarah Tourism Malaysia Mumbai dan Pengarah Tourism Malaysia New Delhi di India dari tahun 2000 sehingga awal 2016.

Dalam tempoh tersebut, Malaysia telah menerima beberapa pengiktirafan di peringkat antarabangsa menerusi penerimaan anugerah seperti Lonely Planet India Travel Award (Best Destination for Family), Lonely Planet India Travel Award (Best Destination for Food & Drink), Travel + Leisure Award (Best Green Destination (World)) dan Conde Nast Traveller Award (Favourite Emerging Oversea Destination).

TAMAT

Tourism Malaysia

Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia atau Tourism Malaysia ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Malaysia. Tourism Malaysia giat memfokuskan kepada tugas khusus untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam industri pelancongan antarabangsa. Penganjuran Tahun Melawat Malaysia 2026 bakal meraikan kelestarian industri pelancongan negara seiring dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG). Selain itu, Tourism Malaysia turut menyokong Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) ke arah merealisasikan Tahun Melawat IMT-GT 2023-2025 bagi mempromosikan wilayah serantau sebagai destinasi pelancongan tunggal. Untuk maklumat lanjut, layari akaun media sosial Tourism Malaysia di Facebook, Instagram, Twitter, YouTube, dan TikTok.

Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi:

Muadz Samat
Penolong Pengarah
Bahagian Komunikasi Korporat
muadz@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8755

Khairul Abidin Nuar
Penolong Pengarah

Bahagian Komunikasi Korporat
khairul@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8760

Copyright © 2025 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use