Jul 10, 2020

MALAYSIA SAMBUT 4.23 JUTA PELANCONG ANTARABANGSA BAGI SUKU PERTAMA TAHUN 2020, TURUN 36.8% BERBANDING 2019

PUTRAJAYA, 10 JULAI 2020: Malaysia telah mencatatkan ketibaan seramai 4,233,425 pelancong antarabangsa bagi suku pertama tahun 2020. Ini menunjukkan penurunan sebanyak 36.8% berbanding tempoh yang sama pada tahun 2019.

Perbelanjaan pelancong bagi suku pertama merekodkan RM12.5 billion iaitu penurunan sebanyak 41.5% berbanding RM21.4 bilion bagi tempoh yang sama pada tahun 2019. Perbelanjaan per kapita bagi suku pertama 2020 turut mencatat penurunan sebanyak 7.4% dari RM3,201.8 pada tahun 2019 ke RM2,964.5 pada tahun 2020. Sementara itu, purata tempoh tinggal atau Average Length of Stay (ALOS) pada tahun 2020 juga melihat penurunan sebanyak 1.9 malam iaitu daripada 6.0 malam kepada 4.1 malam.

Dari bulan Januari sehingga Mac 2020, Malaysia telah menyaksikan penurunan jumlah ketibaan pelancong setiap bulan berbanding dengan bulan yang sama pada tahun sebelumnya. Sektor pelancongan negara telah merekodkan perkembangan negatif bagi setiap pasaran mengikut rantau iaitu pasaran jarak dekat atau ASEAN (-37.3%), pasaran jarak sederhana (-41.4%) dan pasaran jarak jauh (-22.5%).

Sepuluh pasaran utama ke Malaysia adalah Singapura (1,541,591), Indonesia (701,142), China (401,067), Thailand (331,417), India (153,727), Brunei (135,412), Korea Selatan (118,571), Jepun (73,154), Australia (72,047) dan Filipina (64,257).

Negara-negara ASEAN kekal sebagai penyumbang terbesar pelancong antarabangsa ke Malaysia dengan syer sebanyak 67.8% bersamaan dengan 2,868,359 pelancong. Namun begitu, jumlah ini menunjukkan perbezaan yang ketara sekiranya dibandingkan dengan statistik tahun lepas di mana Malaysia telah menyambut sejumlah 4,576,636 pelancong dari ASEAN, iaitu penurunan sebanyak 37.3% dari rantau ini.

Pasaran jarak sederhana Malaysia meliputi pasaran Asia Timur (China, Korea Selatan dan Jepun) dan pasaran Asia Selatan (India dan Pakistan) yang telah menyumbang syer sebanyak 20.3% bersamaan dengan jumlah 859,273 pelancong. Pada tahun lepas, Malaysia telah menerima seramai 1,466,993 pelancong dari pasaran ini bagi tempoh yang sama.

Seramai 505,307 pelancong dari pasaran jarak jauh telah melawat Malaysia dari Januari sehingga Mac tahun ini. Jumlah ini merangkumi baki 11.9% syer ketibaan pelancong asing di Malaysia sepanjang suku pertama 2020. Sebagai perbandingan, jumlah pelancong dari segmen ini yang telah melawat Malaysia pada tahun lepas bagi tempoh yang sama adalah 652,032, yakni penurunan sebanyak 22.5%. Pasaran jarak jauh ini merupakan pelancong dari Asia Barat, Asia Tengah, Amerika, Oceania, Eropah dan Afrika.

Manakala ketibaan pelawat harian (excursionists) di Malaysia pula mencatatkan sejumlah 1,688,452 pelancong dari bulan Januari hingga Mac 2020, penurunan sebanyak 27.1% berbanding jumlah 2,315,440 yang telah melawat Malaysia bagi tempoh yang sama pada tahun lepas.

Pertumbuhan negatif bagi jumlah ketibaan pelancong ini bukan sahaja dicatatkan oleh Malaysia. Menurut sumber dari Pacific Asia Travel Association (PATA), negara-negara ASEAN lain juga merekodkan penurunan mendadak dari segi pencapaian pelancongan di mana jumlah pelancong antarabangsa ke negara masing-masing berkurangan bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini berbanding dengan tahun sebelumnya termasuk Thailand, Singapura, Vietnam dan Indonesia.

Penurunan mendadak ini dikaitkan dengan faktor penutupan pintu-pintu masuk antarabangsa berikutan penularan pandemik Covid-19 sejak awal tahun ini.

Sila layari Statistik Tourism Malaysia untuk mendapatkan info lanjut berkenaan statistik pelancongan negara.

TAMAT

Untuk maklumat lanjut mengenai siaran media mahupun maklumat mengenai industri pelancongan Malaysia, boleh melayari laman sesawang Pusat Media Tourism Malaysia di http://www.tourism.gov.my/

LEMBAGA PENGGALAKAN PELANCONGAN MALAYSIA atau TOURISM MALAYSIA ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Malaysia. Tourism Malaysia memfokuskan kepada tugas khusus untuk mempromosi Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam dunia pelancongan antarabangsa. Pada tahun 2019, Malaysia menerima 26.1 juta pelancong dan mencatatkan RM86.14 bilion perbelanjaan pelancong, sekaligus meletakkan Malaysia sebagai salah satu destinasi pelancongan terunggul di dunia.

Untuk pertanyaan, sila hubungi:

Unit Media
Muadz Samat
Penolong Pengarah, Bahagian Komunikasi Korporat
muadz@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8755

Kajian Utama & Statistik
Mohammad Nor bin Ismail
Timbalan Pengarah, Bahagian Perancangan Strategik
mohdnor@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8166

Copyright © 2024 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use