Dec 11, 2023

LAWATAN MEDIA INFLUENCER CUTI-CUTI MALAYSIA 2023 TEROKA PRODUK PELANCONGAN MENARIK DI PERLIS

KANGAR, 11 Disember 2023 - Seramai 10 pengamal media terdiri daripada wakil media elektronik, penghasil kandungan serta pempengaruh media sosial dibawa menyertai Program Lawatan Media Influencer Cuti-Cuti Malaysia Perlis 2023 anjuran Tourism Malaysia selama tiga hari dua malam untuk meneroka produk-produk ekopelancongan, pelancongan minat khas dan gastronomi di sekitar Arau, Padang Besar dan Kangar.

Berlangsung dari 6-8 Disember 2023, program lawatan suai kenal tersebut bertujuan meningkatkan penglibatan media bagi membantu mempromosikan produk-produk pelancongan domestik yang dilawati secara dalam talian, khususnya di media sosial.

Antara lokasi yang diketengahkan dalam lawatan kali ini ialah pengalaman meneroka Gua Wang Burma di Padang Besar yang terletak dalam jajaran Perlis Geopark. Produk pelancongan tersebut merupakan antara salah satu destinasi yang ditawarkan dalam 41 Pakej Ekopelancongan Negeri Perlis oleh lapan pengusaha pelancongan di bawah kelolaan Tourism Malaysia.

Para peserta memulakan eksplorasi dengan cabaran aktiviti yang menguji adrenalin di ATV Bintong selain meneroka keunikan Kangar Street Art dan menyertai program Sembang Santai Media bersama penggiat industri pelancongan Negeri Perlis di Kafe Fairy Le Phenomenal.

Keesokan harinya, para peserta mengunjungi Galeri Diraja Arau bagi melihat pameran koleksi diraja Perlis serta bertolak ke Gua Kelam untuk majlis pelancaran Pakej Ekopelancongan Negeri Perlis yang dirasmikan oleh Encik Mohamed Amin Yahya, Pengarah Kanan Bahagian Domestik & Acara Tourism Malaysia. Pakej tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif untuk mempromosikan negeri Perlis sempena Tahun Melawat Perlis 2024-2025.

Produk pelancongan lain yang turut dilawati ialah Taman Rimba Herba Perlis dan Arked Niaga Padang Besar selain menikmati pemandangan indah matahari terbit di Wang Kelian Viewpoint.

Dato’ Dr. Ammar Abd. Ghapar, Ketua Pengarah Tourism Malaysia berkata, program ini diharap dapat memberikan pendedahan tentang produk-produk pelancongan yang dilawati selain mengeratkan jalinan kerjasama dengan pihak media serta penggiat industri pelancongan tempatan.

“Menerusi publisiti yang diraih melalui penganjuran program ini, kita harap usaha ini dapat meningkatkan lagi permintaan orang ramai untuk melancong serta menjana ekonomi masyarakat setempat sekali gus menyokong perencanaan Tahun Melawat Perlis 2024-2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.

TAMAT


Tourism Malaysia

Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia atau Tourism Malaysia ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Malaysia. Tourism Malaysia giat memfokuskan kepada tugas khusus untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam industri pelancongan antarabangsa. Penganjuran Tahun Melawat Malaysia 2026 bakal meraikan kelestarian industri pelancongan negara seiring dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG). Selain itu, Tourism Malaysia turut menyokong Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) ke arah merealisasikan Tahun Melawat IMT-GT 2023-2025 bagi mempromosikan wilayah serantau sebagai destinasi pelancongan tunggal.Untuk maklumat lanjut, layari akaun media sosial Tourism Malaysia di Facebook, Instagram, Twitter, YouTube, dan TikTok.

Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi:

Muadz Samat
Penolong Pengarah
Bahagian Komunikasi Korporat
muadz@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8755

Fazly Mohamad
Pegawai Pelancongan Kanan
Bahagian Komunikasi Korporat
fazly@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8778


Related Photos

Copyright © 2025 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use