Oct 17, 2013

KUMPULAN 'SWEET 17' MUNCUL JUARA MALAYSIA TOURISM HUNT 2013

PUTRAJAYA, 17 OKT 2013: Program Malaysia Tourism Hunt 2013 anjuran Tourism Malaysia yang berakhir pada 27 September lalu telah berjaya memperkenalkan pelbagai destinasi dan produk pelancongan menarik yang terdapat di negeri-negeri di selatan tanah air kepada para pesertanya melalui konsep “Fly & Drive”.

Program tersebut yang bermula pada 22 September di Putrajaya dan berakhir pada 27 September di Johor Bharu telah disertai oleh 78 orang peserta yang terdiri daripada 51 wakil media tempatan, 18 wakil media asing dari negara-negara ASEAN, enam wakil agensi pelancongan tempatan dan tiga wakil penaja.
 
Pengembaraan pandu sendiri selama enam hari dan lima malam ini telah memberi peluang kepada para peserta melakukan pelbagai aktiviti mencabar seperti memandu uji di Litar Antarabangsa) Sepang, berbasikal mengelilingi Putrajaya, eksplorasi  menjejak sejarah dan aktiviti mencari harta karun di sekitar bandaraya Melaka serta melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan menanam pokok dan banyak lagi.


Cabaran dan rintangan  seperti photo hunt, walk hunt, dan scavenger hunt yang terpaksa dihadapi oleh para peserta secara berkumpulan itu telah merapatkan lagi jalinan kerjasama antara  wakil-wakil media tempatan  dan media ASEAN dengan  para penggiat industri pelancongan tempatan.

Pada program Malaysia Tourism Hunt 2013 ini, Kumpulan 'Sweet 17' yang menaiki kereta bernombor 17 dan dianggotai oleh Cik Juliana Jamaluddin, Encik Ahmad Salman Fua'ad, Encik Salehuddin Yusof  dan  Encik Koong Wei Lien  telah berjaya menjadi juara  dengan jumlah kutipan markah sebanyak 461. Setiap peserta kumpulan ini telah memenangi pakej percutian Star Cruises  untuk 3 hari 2 malam, hadiah wang tunai sebanyak RM4,000 berserta satu hamper Tesco  bernilai RM100.00.

Naib juara pula merupakan kumpulan 'Sarip Dol' yang berkereta nombor 15 dan terdiri daripada Encik Khairul Affendi, Encik Mohd Khairul Nizam Arifin dan Encik Muhd Syaiful Ezzwan Mohd Yusoff dengan 410  markah manakala tempat ketiga jatuh kepada kumpulan 'Fantastic Four', yang berkereta nombor 19 dengan markah terkumpul sebanyak 406. Kumpulan ini diketuai oleh Encik  Yap Edgar Alan Zeta (Filipina), Annahita Bakavoli Mehdi Bakavoli (Malaysia), Hisyamudin Fadzil (Malaysia) dan Encik Akhmad Junaedi Siregar (Indonesia).

Para peserta telah berjaya menempuh perjalanan sejauh lebih kurang 900 km melalui lebuh raya, kawasan tanah tinggi dan jalan pesisir pantai bagi menikmati keindahan alam semulajadi, mengenali sejarah, budaya, dan penduduk setempat di destinasi-destinasi yang dilawati.

Program unik ini telah dibangunkan oleh Tourism Malaysia sebagai usaha untuk menggalakkan percutian secara pandu sendiri ke pelbagai destinasi menarik di seluruh Malaysia. Ia juga merupakan pendekatan terbaik untuk memberi pendedahan kepada media tempatan dan asing mengenai keistimewaan dan keunikan yang terdapat di negara yang berbilang bangsa dan budaya ini.

Selain itu, program Malaysia Tourism Hunt 2013 ini dilihat mampu mendorong para pengusaha produk pelancongan tempatan untuk membangun dan memasarkan pakej-pakej pelancongan pandu sendiri atau ‘Fly & Drive’ di negara ini.

Program ini telah mendapat sokongan dan jalinan kerjasama dari akhbar Harian Metro selaku media rasmi (berita), majalah Gaya Travel selaku majalah pelancongan rasmi dan Gua.com sebagai portal rasmi.  Selain itu, Tourism Malaysia juga telah menjalinkan perkongsian pintar dengan syarikat-syarikat swasta dan agensi kerajaan yang lain.

Untuk sebarang maklumat lanjut, sila hubungi Encik Muhammad Aliff Asyraff, Penolong Pengarah, Bahagian Pemasaran Domestik, Tourism Malaysia di talian 03-8891 8421 atau emel muhammadaliff@tourism.gov.my


TAMAT

Untuk mendapatkan siaran media, media info dan artikel berkaitan industri pelancongan di Malaysia, sila lawati Pusat Media di laman web Tourism Malaysia di http://www.tourismmalaysia.gov.my/.

LEMBAGA PENGGALAKAN PELANCONGAN MALAYSIA ATAU TOURISM MALAYSIA ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia. Tourism Malaysia bertanggungjawab untuk mempromosikan Malaysia di semua peringkat. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah membangun dengan pesatnya dan telah muncul sebagai pemain utama dalam dunia pelancongan antarabangsa. Pada 2012, Malaysia telah mencatatkan kedatangan seramai 25 juta orang pelancong asing dengan pendapatan pelancongan sebanyak RM60.6 bilion sekaligus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan ke-10 paling popular di dunia


Pada 2014, Malaysia akan menyambut Tahun Melawat Malaysia (TMM) buat kali keempat dengan tema “Celebrating 1Malaysia Truly Asia”. Kempen promosi TMM 2014 telahpun bermula pada tahun ini dan akan dipenuhi dengan pelbagai acara istimewa dan aktiviti-aktiviti menarik sepanjang tahun sehinggalah tibanya TMM 2014. Penganjuran kempen TMM 2014 dijangka akan dapat membantu kerajaan mencapai sasaran untuk menerima kedatangan pelancong seramai 36 juta orang dengan pendapatan sebanyak RM168 bilion menjelang 2020 seperti yang digariskan dalam Pelan Transformasi Pelancongan Malaysia 2020.            

Hubungi:
Unit Perhubungan Media:

Encik Razaidi Abd Rahim, Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Komunikasi dan Publisiti
Emel: razaidi@tourism.gov.my

Unit Editorial:
Puan Anis Rozalina Ramli, Senior Editor, Bahagian Komunikasi dan Publisiti
Emel: anisramli@tourism.gov.my

Copyright © 2025 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use