Aug 25, 2022

KERJASAMA TOURISM MALAYSIA - TELEKOM MALAYSIA TINGKATKAN STRATEGI PENGIKLANAN DIGITAL

KUALA LUMPUR, 25 OGOS 2022 – Tourism Malaysia hari ini memeterai memorandum kerjasama (MOC) dengan Telekom Malaysia Berhad (TM) untuk mempromosikan kempen Cuti-Cuti Malaysia menerusi platform pengiklanan digital bagi menggalakkan pelancongan domestik.

Kedua-dua pihak akan bekerjasama mempromosikan pelbagai kempen termasuk pakej pelancongan domestik yang dirangka oleh Tourism Malaysia bagi memastikan capaian meluas kepada pengguna di seluruh negara melalui strategi pemasaran dan penyelesaian digital yang dibekalkan oleh TM di bawah anak syarikat dan cabang perniagaannya iaitu TM Info-Media Sdn. Bhd. dan Credence, bermula 1 Julai 2022 sehingga 31 Januari 2023.

Credence ialah syarikat baharu yang menawarkan perkhidmatan digital dan servis awan (cloud services) dengan memfokuskan kepada peningkatan keupayaan perusahaan dan sektor awam ke arah merealisasi transformasi digital.

Menerusi kerjasama ini, Credence akan menyediakan analisis media sosial melibatkan penggunaan data raya (big data analytics) untuk dinilai serta diguna pakai oleh Tourism Malaysia bagi merancang strategi promosi dan pemasaran yang berkesan.

Sementara itu, fokus utama kolaborasi bersama TM Info-Media adalah melibatkan pengiklanan digital menerusi paparan skrin di kesemua 32 pusat TM Point di seluruh negara termasuk di platform Unifi Wi-Fi Ads, Yellow Pages Banner dan Unifi TV selain Google Keywords Ads.

“Memorandum kerjasama itu ditandatangani oleh Dato’ Haji Zainuddin Abdul Wahab, Ketua Pengarah Tourism Malaysia dan Encik Sean Koh Chin Soon, Ketua Pegawai Eksekutif TM Info-Media merangkap Ketua Jualan Penyelesaian Digital unifi Business mewakili TM. Majlis menandatangani memorandum tersebut turut disaksikan oleh YBhg. Tan Sri Dr Ong Hong Peng, Pengerusi Tourism Malaysia dan Puan Shazurawati Abd Karim, Naib Presiden Eksekutif TM One.

Tan Sri Dr Ong berkata, kerjasama strategik antara Tourism Malaysia dan TM membuka ruang penambahbaikan kepada kedua-dua pihak untuk meneroka pasaran baharu sekali gus memperkukuh pembinaan jenama melalui ekosistem digital.

“Langkah ini dilihat bertepatan dengan Dasar Pelancongan Negara (DPN) 2020-2030 dan Pelan Strategik dan Pemasaran Tourism Malaysia 2022-2026 yang antara lain menekankan aspek digitalisasi pelancongan selain meningkatkan pelancongan domestik.”

Sementara itu, Shazurawati berkata, kerjasama strategik ini memanifestasikan komitmen TM untuk turut sama membantu kerajaan bagi meningkatkan ekonomi negara khususnya dalam industri pelancongan yang menjadi penyumbang ketiga terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

“TM merasa teruja untuk bersama-sama menggiatkan semula industri pelancongan negara melalui program kolaborasi yang akan memfokuskan kepada pelaksanaan promosi kempen dan pakej pelancongan domestik yang telah dirangka oleh Tourism Malaysia menerusi pelbagai penyelesaian pemasaran digital.”

TAMAT

Tourism Malaysia

Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia atau Tourism Malaysia ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Malaysia. Tourism Malaysia giat memfokuskan kepada tugas khusus untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam industri pelancongan antarabangsa. Untuk maklumat lanjut, layari akaun media sosial Tourism Malaysia di Facebook, Instagram, Twitter, YouTube, and TikTok.

Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi:

Baizuri Baharum
Timbalan Pengarah Kanan
Bahagian Pengiklanan & Digital
baizuri@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8704

Muadz Samat
Penolong Pengarah
Bahagian Komunikasi Korporat
muadz@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8755


Related Photos

Copyright © 2024 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use