Aug 19, 2022

KEMPEN ‘SHOP & BE REWARDED 2.0’ KEMBALI DENGAN PENEBUSAN E-BAUCAR DAN TAWARAN PAKEJ MINAT KHAS DI PAMERAN MISS SHOPHIA GO TRAVEL 2022

PETALING JAYA, 19 OGOS 2022 – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui agensinya, Tourism Malaysia hari ini melancarkan Kempen ‘Shop & Be Rewarded 2.0’ serta Pameran Miss SHOPhia Go Travel 2022 dalam usaha menyemarakkan pelancongan domestik.

Kempen ‘Shop & Be Rewarded 2.0’ adalah sebahagian daripada Pelan Pemulihan Pelancongan 2022 (PRE 2.0) yang menawarkan penebusan e-baucar untuk rakyat Malaysia di bawah Kluster Pelancongan Minat Khas menerusi segmen beli-belah dengan kerjasama Persatuan Pengurusan Kompleks (PPK) Malaysia. Penerusan penyaluran insentif kepada Keluarga Malaysia dalam bentuk diskaun, baucar dan rebat, merupakan kesinambungan daripada Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE 1.0).

Di bawah kempen ini, pengguna berpeluang menebus e-baucar bernilai RM30 bagi pembelian minimum RM100 di 35 pusat beli-belah yang mengambil bahagian. Pengguna hanya perlu mengimbas kod QR di kedai-kedai dalam pusat beli-belah berkenaan bagi tujuan pendaftaran dan penebusan e-baucar.

Kempen ‘Shop & Be Rewarded 2.0’ akan dilaksanakan dalam dua siri. Siri pertama kempen bermula 20 Ogos hingga 4 September 2022 manakala siri kedua dijadualkan berlangsung mulai 22 Oktober sehingga 6 November 2022.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri berkata, sejumlah 66,666 e-baucar bernilai hampir RM2 juta ditawarkan untuk penebusan terawal sepanjang tempoh kempen.

“Menariknya pada kali ini, pengguna boleh membuat penebusan e-baucar sehingga dua kali iaitu sekali penebusan bagi setiap siri kempen,” katanya.

Sementara itu, penganjuran julung-julung kali Pameran Miss SHOPhia Go Travel 2022 dengan kerjasama 1-Utama Shopping Centre, Paradigm Mall Johor Bahru dan Visa Malaysia pula menyaksikan pengunjung berpeluang mendapatkan pelbagai tawaran pakej pelancongan minat khas daripada 16 pempamer selain pengisian demonstrasi kraftangan dan masakan, persembahan kebudayaan serta cabutan bertuah.

Pameran berlangsung selama tiga hari bermula hari ini dan siri kedua akan diadakan di Paradigm Mall Johor Bahru pada 21-23 Oktober 2022. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman sesawang Tourism Malaysia di www.malaysia.travel .

TAMAT

Tourism Malaysia

Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia atau Tourism Malaysia ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Malaysia. Tourism Malaysia giat memfokuskan kepada tugas khusus untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam industri pelancongan antarabangsa. Untuk maklumat lanjut, layari akaun media sosial Tourism Malaysia di Facebook, Instagram, Twitter, YouTube, and TikTok.

Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi:

Norliza Md. Zain
Timbalan Pengarah
Bahagian Pembangunan Pakej
norliza@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8519

Muadz Samat
Penolong Pengarah
Bahagian Komunikasi Korporat
muadz@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8755


Related Photos

Copyright © 2025 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use