Jun 24, 2022

KEMPEN PELAN PEMULIHAN PELANCONGAN 2022 KEMBALI DENGAN PAKEJ DAN BAUCAR MENARIK

SHAH ALAM, 24 JUN 2022 – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui agensinya, Tourism Malaysia telah melancarkan Pelan Pemulihan Pelancongan 2022 bagi Kluster Pelancongan Minat Khas merangkumi segmen taman tema, selam skuba dan inap desa.

Penganjuran kali ini adalah melibatkan kerjasama Persatuan Taman Tema dan Pusat Hiburan Keluarga Malaysia (MATFA), Persatuan Penyelam Skuba Malaysia (MSDA) dan Persatuan Kampungstay & Homestay Malaysia (MKHA) telah dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri.

Pelan Pemulihan Pelancongan 2022 yang merupakan kesinambungan daripada Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE 1.0), adalah salah satu inisiatif di bawah Pelan Pemulihan Industri Pelancongan melibatkan penyaluran insentif kepada rakyat Malaysia dalam bentuk diskaun, baucar dan rebat.

YB Dato’ Sri Hajah Nancy berkata, ketiga-tiga inisiatif ini bakal memberi manfaat kepada kira-kira 54,000 pengguna melibatkan penawaran pakej pelancongan dan baucar menarik dengan sasaran jualan keseluruhan bernilai RM6,753,420.

“Pada masa yang sama, pelan pemulihan ini juga diharapkan dapat membantu para penggiat industri untuk terus berdaya saing dalam menyemarakkan kembali industri pelancongan domestik,” katanya.

Keluarga Malaysia boleh mendapatkan diskaun sehingga 40% dan e-baucar bernilai RM10 bagi setiap pembelian tiket masuk ke taman tema dan pusat hiburan keluarga yang terlibat bermula 24 Jun sehingga 2 Oktober 2022. Setiap pengguna layak melakukan penebusan maksimum tiga (3) kali di tiga taman tema atau di pusat hiburan keluarga berlainan dan pembelian perlu dibuat melalui laman web tickets.matfa.org.my.

Kempen “Jom Dive 2.0” pula menawarkan diskaun sebanyak RM400 bagi setiap pembelian pakej selam skuba berharga RM1,000 dan ke atas dalam satu transaksi melalui laman web package.xtvt.com.my. Tawaran ini terhad kepada 1,994 pembeli pertama berdasarkan terma dan syarat ‘siapa cepat, dia dapat’.

Sementara itu, di bawah kempen “Jom Cuti di Homestay”, pengguna layak menikmati rebat sebanyak RM50 hingga RM300 bagi setiap pembelian pakej berharga RM100 dan ke atas dengan penebusan maksimum sehingga tiga (3) kali. Sebanyak 150 pakej ditawarkan di portal jomhomestay.my dengan penglibatan 67 kluster pengusaha inap desa dari seluruh Malaysia dan tempoh sah laku adalah sehingga 31 Disember 2022.

Maklumat lanjut berkenaan pakej-pakej yang ditawarkan boleh diperoleh dengan melayari laman web Tourism Malaysia di www.malaysia.travel.

TAMAT

Tourism Malaysia

Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia atau Tourism Malaysia ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Malaysia. Tourism Malaysia giat memfokuskan kepada tugas khusus untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam industri pelancongan antarabangsa. Untuk maklumat lanjut, layari akaun media sosial Tourism Malaysia di Facebook, Instagram, Twitter, YouTube, and TikTok.


Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi:

Rubiah Tul’Adwiyah Hj. Md. Yusof
Timbalan Pengarah
Bahagian Pembangunan Pakej
intanrubi@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8537

Muadz Samat
Penolong Pengarah
Bahagian Komunikasi Korporat
muadz@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8755

Related Photos

Copyright © 2024 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use