KEMENTERIAN PELANCONGAN DAN KEBUDAYAAN MALAYSIA MERIAHKAN KARNIVAL PELANCONGAN BELIA 2013
PUTRAJAYA, 25 MEI 2013: Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia telah menyertai Karnival Pelancongan Belia 2013 anjuran Persatuan Asrama Belia Malaysia yang berlangsung dari 23 hingga 26 Mei di Presint 2 Putrajaya (berhadapan Kementerian Kewangan) bagi mempromosikan pelancongan domestik dan memupuk budaya melancong dalam negeri dalam kalangan para belia tempatan.
Karnival Pelancongan Belia ini diadakan sempena Festival Belia Putrajaya 2013 anjuran Kementerian Belia dan Sukan dan merupakan sambutan perayaan kepada Hari Belia Negara.
Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, YB Dato' Seri Mohamed Nazri Tan Sri Abdul Aziz telah merasmikan Karnival Pelancongan Belia 2013 di sini, hari ini.
Seramai 52 peserta di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia dan Tourism Malaysia yang terdiri daripada para pengusaha agensi pelancongan, para pengusaha produk pelancongan dan pelbagai hotel dan resort telah menyertai karnival selama empat hari tersebut.
Antara agensi-agensi pelancongan yang terlibat termasuklah Inter-Orient Travel & Tours Sdn. Bhd. yang menawarkan kepada para pengunjung pakej-pakej pelancongan seperti:-
• "2D1N Tawau Seafood Tour" - Pakej 2 hari 1 malam dari RM247.00 (minimum 10 orang) hingga RM497.00 (minimum 2 orang) termasuk pengangkutan, penginapan, sarapan pagi/makan tengahari/makan malam dan lawatan ke Pantai Tinagat, Kolam Air Panas Tawau, Bandar Tawau dan Pasar Tanjung Tawau.
• "3D2N Semporna / Mabul Island Trip - Pakej 3 hari 2 malam dari RM506.00 (minimum 10 orang) hingga RM622.00 (minimum 4 orang) termasuk pengangkutan, penginapan hotel, sarapan pagi/makan tengahari/makan malam dan menaiki Semporna Proboscis River Cruise serta aktiviti rekreasi laut di Pulau Mabul.
• "Garden Ride Putrajaya" - Pakej setengah hari berharga RM150.00 seorang untuk dewasa (minumum 4 orang) dan RM100 seorang untuk kanak-kanak termasuk makan tengahari dan aktiviti berbasikal di sekitar Taman Botani Putrajaya dan menaiki cruise mengelilingi Tasik Putrajaya.
Taman Tema & Resort Melaka Wonderland pula menawarkan pakej Hari Keluarga dan Pakej Korporat untuk Taman Air dan Taman Dinosaur di taman tema tersebut.
Para pengunjung ke karnival ini juga berpeluang untuk melawat pelbagai gerai pameran yang memaparkan produk, program dan kempen berkaitan pelancongan seperti program pelancongan sukarelawan (voluntourism), program Spa, kempen 1Malaysia Bersih dan Indah, pameran lukisan Pelancongan Seni Kontemporari 1Malaysia dan pameran produk pelancongan inap desa.
Terdapat juga pertandingan mewarna kanak-kanak, kuiz pelancongan dan pencarian harta karun Cuti-Cuti 1Malaysia di samping persembahan Cak Lempong, persembahan kumpulan Percusi Getra dan persembahan kumpulan kesenian Balle Balle.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Encik Muhammad Aliff Asyraff, Penolong Pengarah Bahagian Pemasaran Domestik di talian 03-8891 8405 atau emel muhammadaliff@tourism.gov.my.
Untuk mendapatkan siaran media, media info dan artikel berkaitan industri pelancongan di Malaysia, sila lawati Pusat Media di laman web Tourism Malaysia di http://www.tourismmalaysia.gov.my/.
LEMBAGA PENGGALAKAN PELANCONGAN MALAYSIA ATAU TOURISM MALAYSIA ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongandan Kebudayaan Malaysia. Peranan Kementerian Pelancongandan Kebudayaan ialah melaksanakan dasar-dasar berkaitan pelancongan, menjalankan penyelidikan serta menawarkan insentif kepada para penggiat industri pelancongan manakala Tourism Malaysia pula bertanggungjawab untuk mempromosikan Malaysia di peringkat domestik dan antarabangsa. Didorong oleh aspirasi untuk mempromosikan Malaysia sebagai sebuah destinasi pelancongan yang unggul di rantau ini, Tourism Malaysia telah membangun dengan pesatnya sejak penubuhannya dan telah muncul sebagai pemain utama dalam landskap sosioekonomi negara. Pada 2012, Malaysia telah mencatatkan kedatangan seramai 25 juta orang pelancong asing dengan pendapatan pelancongan sebanyak RM60.6 bilion.
Pada 2014, Malaysia akan menyambut Tahun Melawat Malaysia (TMM) buat kali keempat dengan tema "Celebrating 1Malaysia Truly Asia". Kempen promosi TMM 2014 telahpun bermula pada tahun ini dan akan dipenuhi dengan pelbagai acara istimewa dan aktiviti-aktiviti menarik sepanjang tahun sehinggalah tibanya TMM 2014. Penganjuran kempen TMM 2014 dijangka akan dapat membantu kerajaan mencapai sasaran untuk menerima kedatangan pelancong seramai 36 juta orang dengan pendapatan sebanyak RM168 bilion menjelang 2020 seperti yang digariskan dalam Pelan Transformasi Pelancongan Malaysia 2020.
Hubungi:
Unit Perhubungan Media:
Encik Razaidi Abd Rahim, Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Komunikasi dan Publisiti
Emel: razaidi@tourism.gov.my
Unit Editorial:
Puan Anis Rozalina Ramli, Editor, Bahagian Komunikasi dan Publisiti
Emel: anisramli@tourism.gov.my