KARNIVAL PELANCONGAN BELIA 2015 PROMOSIKAN PELANCONGAN DOMESTIK
PUTRAJAYA, 23 Mei 2015 – Tourism Malaysia telah bekerjasama dengan Persatuan Asrama Belia Malaysia atau MYHA (Malaysian Youth Hostels Association) sekali lagi untuk menganjurkan Karnival Pelancongan Belia 2015 buat kali kelima dari 22-24 Mei sempena Festival Belia Putrajaya 2015 bagi memupuk budaya melancong di dalam negara secara terancang dalam kalangan belia.
Karnival ini telah disempurnakan perasmiannya oleh Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Dato’ Mirza Mohammad Taiyab di Presint 4, di sini, hari ini. Turut hadir ialah Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan YBrs Pn. Hajah Hatipah Ibrahim, Presiden MYHA Khairul Annuar Mansor, Presiden Majlis Belia Malaysia En Mua’amar Ghadafi Jamal dan Pengarah Bahagian Pemasaran Domestik Tourism Malaysia YBhg. Datuk Musa Hj. Yusof.
Dato’ Mirza dalam ucapannya berkata bahawa program-program seperti ini wajar dianjurkan bagi memberikan pendedahan kepada golongan belia mengenai pelbagai destinasi dan produk pelancongan terkini di seluruh negara.
Beliau berkata, “Kami juga berharap agar penganjuran karnival ini akan dapat membantu menerapkan nilai “think tourism” dalam minda para belia agar mereka mempunyai tahap pemahaman yang mendalam mengenai kepentingan pelancongan terhadap ekonomi negara.”
“Penganjuran karnival ini merupakan pendekatan terbaik untuk mendekati golongan belia secara terus melalui pameran dan penjualan pakej-pakej pelancongan terkini yang kreatif, menarik dan mengikut cita rasa golongan tersebut,” sambung beliau lagi.
Menurut Dato’ Mirza, jumlah nilai jualan pakej sempena Karnival Pelancongan Belia 2014 telah meningkat 48% iaitu sebanyak RM241,094 berbanding RM162,399 pada 2013, manakala jumlah pakej yang terjual meningkat 18% iaitu sebanyak 960 pakej pada tahun 2014 berbanding 811 pakej pada 2013.
Sempena Tahun Festival Malaysia (MyFest) 2015, Karnival Pelancongan Belia ini turut disertai oleh lapan agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia iaitu Istana Budaya, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Jabatan Warisan Negara, Arkib Negara, Balai Seni Visual, Perpustakaan Negara Malaysia, Aswara dan Kraftangan Malaysia.
Selain penjualan pakej pelancongan dan pameran oleh agensi-agensi terlibat, sesi bersama Angkasawan Negara, kuiz pelancongan dan pelbagai pertunjukan pentas seperti persembahan tarian, muzik jalanan turut diadakan.
Sementara itu, Presiden MYHA Khairul Annuar berkata bahawa remaja hari ini lebih berfikiran terbuka dan minat untuk melakukan sesuatu perkara berfaedah secara berkumpulan seperti menyertai sukarelawan belia yang digerakkan untuk usaha-usaha pembangunan bangsa, negara dan masyarakat bandar serta luar bandar.
“Dari belia untuk belia” sekali lagi menjadi slogan yang dibawa dalam Festival Belia Putrajaya pada tahun ini. Program tiga hari ini adalah anjuran Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS) dan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia Yang Amat Berhormat Tan Sri Haji Muhyiddin Yassin.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai Karnival Pelancongan Belia 2015, sila hubungi:-
Tourism Malaysia
Encik Mohd Badrul Amin Mohd Bisharuddin
Penolong Pengarah, Bahagian Pemasaran Domestik
Emel: mohdbadrulamin@tourism.gov.my
Persatuan Asrama Belia Malaysia:
Encik Mohd Faiz Bin Mohd Zin
Persatuan Asrama Belia Malaysia
Emel: faizholiday@gmail.com
-TAMAT-
Untuk mendapatkan siaran media, media info dan artikel berkaitan industri pelancongan di Malaysia, sila lawati Pusat Media di laman web Tourism Malaysia di http://www.tourismmalaysia.gov.my/.
LEMBAGA PENGGALAKAN PELANCONGAN MALAYSIA ATAU TOURISM MALAYSIA ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia. Tourism Malaysia bertanggungjawab untuk mempromosikan Malaysia di semua peringkat. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah membangun dengan pesatnya dan telah muncul sebagai pemain utama dalam dunia pelancongan antarabangsa. Pada 2014, Malaysia telah mencatatkan kedatangan seramai 27.4 juta orang pelancong asing dengan pendapatan pelancong sebanyak RM72 bilion sekaligus menjadikan pelancongan sebagi penyumbang kedua terbesar negara menerusi tukaran mata wang asing.
Malaysia telah menyambut Tahun Melawat Malaysia (TMM) buat kali keempat pada 2014 dengan tema Celebrating 1Malaysia Truly Asia”. Promosi negara diteruskan dengan penganjuran Tahun Festival Malaysia (MyFest) pada 2015 dengan tema “Endless Celebrations” yang menekankan kepada pelbagai festival yang disambut oleh masyarakat yang berbilang bangsa. Kedua-dua kempen ini menjadi pemacu ke arah mencapai sasaran ketibaan seramai 36 juta pelancong dengan pendapatan pelancongan sebanyak RM168 bilion pada 2020, berdasarkan Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA).
Melalui NKEA, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan telah mempertingkatkan kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan dan sektor swasta untuk memantapkan kedudukan negara sebagai destinasi pelancong antarabangsa yang terkemuka. Sasaran yang telah ditetapkan di bawah NKEA Pelancongan akan tercapai melalui pelaksanaan 12 Projek Permulaan (EPPs) yang merangkumi lima tema: Kembara Mewah Mampu Milik; Kembara Alam Semula Jadi; Keseronokan Seisi Keluarga; Acara, Hiburan, Spa dan Sukan; dan Pelancongan Perniagaan.
Hubungi:
Unit Komunikasi Korporat & Perhubungan Media:
Cik Azizah Aziz, Timbalan Pengarah Kanan, Bahagian Komunikasi dan Publisiti
Tel: +603-8891 8752
Emel: azizahaziz@tourism.gov.my
Unit Editorial:
Puan Anis Rozalina Ramli, Senior Editor, Bahagian Komunikasi dan Publisiti
Tel: +603-8891 8759
Emel: anisramli@tourism.gov.my