Jun 29, 2015

KARNIVAL JUALAN PERTENGAHAN TAHUN KINI KEMBALI

PUTRAJAYA, 27 Jun 2015 – Jualan ekstravaganza sempena acara membeli-belah terbesar negara –– acara tahunan Karnival Jualan Mega 1Malaysia dan Jualan Bersepadu 1Malaysia –– kembali lagi dengan tawaran hebat, harga runtuh dan pelbagai aktiviti promosi menarik yang dianjurkan oleh pusat-pusat beli-belah, dan rangkaian kedai-kedai dan perdagangan yang mengambil bahagian di seluruh Malaysia.

Berlangsung selama lebih dua bulan dari hari ini hingga 31 Ogos, kedua-dua acara jualan kali ini digegarkan dengan kemeriahan penganjuran bazar Ramadan di seluruh negara yang menyemarakkan lagi suasana membeli-belah. Bazar-bazar terbuka dan pusat-pusat beli-belah turut menghangatkan lagi suasana dengan pelbagai tawaran untuk sambutan Hari Raya yang akan datang serta cuti umum Hari Merdeka.

Acara-acara jualan tersebut telah dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Tan Sri Dr. Ong Hong Peng di Hotel Marriot Putrajaya, di sini, hari ini.

Acara perasmian tersebut turut dihadiri oleh seramai 49 wartawan, krew televisyen dan ejen-ejen pelancongan antarabangsa dari 13 negara iaitu Bahrain, Bangladesh, China, Hong Kong, Hungary, India, Indonesia, Jepun, Laos, New Zealand, Thailand, Emiriah Arab Bersatu, dan Vietnam. Mereka dibawa khas oleh Tourism Malaysia di bawah program Suai Kenal Mega (Mega Fam) untuk membantu mempromosikan negara sebagai destinasi beli-belah utama dunia, dan destinasi pelancongan yang terunggul.

Sebelum menghadiri majlis perasmian, para peserta Mega Fam telah diberi penerangan oleh Ketua Pengarah Tourism Malaysia Dato’ Mirza Mohammad Taiyab mengenai perkembangan terkini industri pelancongan Malaysia di Seminar Destinasi yang diadakan di Marriot Putrajaya. Wakil daripada KL City Grand Prix dan Jump Street Asia turut hadir di seminar tersebut untuk berkongsi maklumat mengenai produk-produk mereka dengan para peserta.

Rangkaian kedai dan perdagangan di dalam negara telah menyediakan pilihan beraneka barangan dan pelbagai jenis tawaran sempena Jualan Bersepadu 1Malaysia 2015 yang bertujuan mewujudkan impak limpahan lebih tinggi dari perbelanjaan pengguna dan mempertingkatkan transaksi perdagangan dan perniagaan. Setakat 23 Jun 2015, seramai 1,267 peruncit telah direkodkan menyertai Karnival Jualan Mega 1Malaysia dan Jualan Bersepadu 1Malaysia.

Bagi menambahkan lagi kemeriahan kedua-dua jualan tersebut, Tourism Malaysia turut menganjurkan Peraduan Online #beautifulMalaysia yang menawarkan hadiah mingguan selama lebih 12 minggu dari 15 Jun hingga 20 September. Satu hadiah utama dan tiga hadiah saguhati boleh dimenangi setiap minggu. Hadiah-hadiah utama termasuk GoPro Hero 4, iPad Air 2, Canon EOS 100D dan OPPO Find 5.

Peraduan yang terbuka kepada peserta dari seluruh dunia ini memerlukan mereka untuk mengemukakan gambar yang memaparkan keindahan Malaysia dalam empat kategori, iaitu tempat-tempat menarik, sambutan perayaan, makanan dan membeli-belah. Gambar boleh dimuat naik ke Instagram menggunakan
hashtag #beautifulMalaysia atau terus ke laman web kempen peraduan (www.tourism.gov.my/beautifulMalaysia).

Gambar yang terpilih akan dipaparkan di poskad pada akhir kempen ini. Poskad tersebut beserta dengan lain-lain poskad yang direka khas bertemakan Beautiful Malaysia akan ditempatkan di lapangan-lapangan terbang terpilih di dalam negara. Poskad ini juga akan digunakan untuk mempromosi 2015 sebagai Tahun Festival Malaysia, atau ringkasnya, MyFest. Pelbagai festival dan acara di negara ini akan turut ditonjolkan pada poskad itu yang boleh didapati dengan mudah oleh para pelancong yang melawat negara ini.

Selain peraduan, dua acara sampingan turut diadakan serentak dengan Karnival Jualan Mega 1Malaysia 2015, iaitu Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW) 2015 dari 12 hingga 16 Ogos dan Pameran Jam Tangan Time Kulture dari 29 Julai hingga 9 Ogos. Kedua-dua acara ini akan diadakan di Pavilion Kuala Lumpur.

KLFW 2015 bertujuan mempromosikan pereka fesyen dan jenama tempatan, dan mencipta peluang untuk mendapatkan pengiktirafan antarabangsa serta membangunkan pasaran runcit Malaysia untuk pakaian berjenama.  Acara Time Kulture oleh Swiss Watch Gallery pula mempamerkan hasil buatan terbaik pereka Swiss Watch yang terkenal dengan jenama jam tangan terbaik, barang kemas dan aksesori mewah.

Bagi meningkatkan sektor pelancongan negara, Tourism Malaysia telah mempromosikan pakej-pakej Pengalaman Membeli-belah yang berunsurkan gaya hidup, merangkumi sajian menyelerakan, hiburan, rehat dan rekreasi untuk seisi keluarga. Di samping itu, pakej tersebut turut menguar-uarkan tempat-tempat menarik di sekitar pusat-pusat beli-belah.

Tourism Malaysia juga telah mengenal pasti kawasan-kawasan tertentu yang mempunyai ciri-ciri membeli-belah yang menarik dan mengkategorikannya sebagai Zon Beli-belah Tambahan. Ini termasuk Jalan Tuanku Abdul Rahman sebagai Zon Beli-belah Warisan serta Bandar Utama, Bandar Sunway dan Subang Jaya di Selangor, George Town di Pulau Pinang, Johor Bahru di Johor, Melaka, Sabah dan Sarawak.

Zon-zon tersebut telah diluluskan pada bulan Februari tahun ini semasa mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan Bidang Ekonomi Utama Negara untuk industri pelancongan. Zon Beli-belah Tambahan akan turut dipromosikan bersama-sama dengan kawasan beli-belah utama di Kuala Lumpur, seperti Bukit Bintang, KLCC dan Pasar Seni yang menawarkan antara pengalaman membeli-belah terbaik di ibu kota.

Tourism Malaysia juga akan mengeluarkan Shopping Malaysia Fun Maps yang memudahkan para pembeli untuk mencari pelbagai tarikan membeli-belah di lokasi yang berbeza dengan mudah. Peta-peta tersebut amat berguna untuk pelancong tempatan dan asing, dan membolehkan mereka menikmati pengalaman membeli-belah yang terbaik di Malaysia.

Karnival Jualan Mega 1Malaysia merupakan salah satu daripada tiga kempen membeli-belah di seluruh negara. Dua kempen yang lain adalah Jualan 1Malaysia Grand  Prix  pada bulan Mac dan Jualan Akhir Tahun 1Malaysia dari 14 November hingga 3 Januari tahun hadapan. Ketiga-tiga jualan tersebut dianjurkan setiap tahun oleh Sekretariat Shopping Malaysia, cabang promosi jualan Tourism Malaysia, dan telah memberi banyak faedah kepada sektor runcit tempatan dan membantu mempertingkatkan perbelanjaan pelancong di dalam negara kita.

Sektor beli-belah Malaysia merupakan penyumbang utama kepada pendapatan pelancongan negara dengan sumbangan sebanyak RM21.6 bilion atau 30% daripada jumlah pendapatan keseluruhan sebanyak RM72 bilion pada 2014. Aktiviti membeli-belah juga terus kekal sebagai penyumbang kedua tertinggi dalam perbelanjaan pelancong selepas sektor penginapan yang hanya dibezakan dengan 0.3% peratus.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:-
Puan Salinda Sany,
Penolong Pengarah Kanan, Sekretariat Shopping Malaysia
Tel: + 603-8891 8531
Emel: salinda@tourism.gov.my 

SEPINTAS LALU:

• Jumlah ketibaan pelancong ke Malaysia pada 2014 mencecah 27.4 juta, meningkat sebanyak 6.7% berbanding 25.7 juta pada 2013.
• Pendapatan pelancongan pada tahun 2014 adalah sebanyak RM72 bilion, meningkat 10% berbanding RM65.4 bilion yang diperolehi pada 2013.
• Pelancong ke Malaysia telah membelanjakan sebanyak RM21.6 bilion untuk membeli-belah pada 2014, meningkat 9.3% berbanding RM19.8 bilion yang dibelanjakan pada 2013.
• Sektor peruncitan menyumbang 30% daripada jumlah keseluruhan pendapatan pelancongan pada 2014 berbanding 30.2 peratus pada 2013.
• Aktiviti membeli-belah menjadi penyumbang kedua tertinggi dalam jumlah keseluruhan perbelanjaan pelancong selepas sektor penginapan.
• MyFest 2015 dijangka akan membantu Malaysia mencapai sasaran ketibaan pelancong seramai 29.4 juta orang dengan pendapatan pelancongan sebanyak RM89 bilion pada 2015, sekali gus membantu untuk mencapai sasaran yang telah ditetapkan di bawah Pelan Transformasi Pelancongan Malaysia iaitu ketibaan pelancong seramai 36 juta orang dengan pendapatan pelancongan sebanyak RM168 bilion menjelang 2020.
  

Photo: 

(Dari Kini ke Kanan): Ketua Pengarah Tourism Malaysia YBhg. Dato’ Mirza Mohammad Taiyab; Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan YBhg. Tan Sri Dr. Ong Hong Peng; Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan), Menteri Pelancongan dan Kebudayaan YBhg. Datuk Rashidi bin Hasbullah, melancarkan Karnival Jualan Mega 1Malaysia pada 27 Jun 2015. 

-TAMAT-
 

Untuk mendapatkan siaran media, media info dan artikel berkaitan industri pelancongan di Malaysia, sila lawati Pusat Media di laman web Tourism Malaysia di http://www.tourismmalaysia.gov.my/.

LEMBAGA PENGGALAKAN PELANCONGAN MALAYSIA ATAU TOURISM MALAYSIA ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia. Tourism Malaysia bertanggungjawab untuk mempromosikan Malaysia di semua peringkat. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah membangun dengan pesatnya dan telah muncul sebagai pemain utama dalam dunia pelancongan antarabangsa. Pada 2014, Malaysia telah mencatatkan kedatangan seramai 27.4 juta orang pelancong asing dengan pendapatan pelancong sebanyak RM72 bilion sekaligus menjadikan pelancongan sebagi penyumbang kedua terbesar negara menerusi tukaran mata wang asing.

Malaysia telah menyambut Tahun Melawat Malaysia (TMM) buat kali keempat pada 2014 dengan tema Celebrating 1Malaysia Truly Asia”. Promosi negara diteruskan dengan penganjuran Tahun Festival Malaysia (MyFest) pada 2015 dengan tema “Endless Celebrations” yang menekankan kepada pelbagai festival yang disambut oleh masyarakat yang

berbilang bangsa. Kedua-dua kempen ini menjadi pemacu ke arah mencapai sasaran ketibaan seramai 36 juta pelancong dengan pendapatan pelancongan sebanyak RM168 bilion pada 2020, berdasarkan Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA).

Melalui NKEA, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan telah mempertingkatkan kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan dan sektor swasta untuk memantapkan kedudukan negara sebagai destinasi pelancong antarabangsa yang terkemuka. Sasaran yang telah ditetapkan di bawah NKEA Pelancongan akan tercapai melalui pelaksanaan 12 Projek Permulaan (EPPs) yang merangkumi lima tema: Kembara Mewah Mampu Milik; Kembara Alam Semula Jadi; Keseronokan Seisi Keluarga; Acara, Hiburan, Spa dan Sukan; dan Pelancongan Perniagaan.

Hubungi:
Unit Komunikasi Korporat & Perhubungan Media:

Cik Azizah Aziz, Timbalan Pengarah Kanan, Bahagian Komunikasi dan Publisiti
Tel: +603-8891 8752
Emel:
azizahaziz@tourism.gov.my

Unit Editorial:
Puan Anis Rozalina Ramli, Senior Editor, Bahagian Komunikasi dan Publisiti
Tel: +603-8891 8759
Emel:
anisramli@tourism.gov.my

Copyright © 2024 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use