Apr 6, 2016

JUALAN PAKEJ PELANCONGAN DOMESTIK MENINGKAT DI MATTA FAIR 2016

Beribu-ribu pengunjung mengerumuni Pavilion Tourism Malaysia untuk mendapatkan pakej
pelancongan domestik

PUTRAJAYA, 6 April 2016 – Sebanyak 23,973 buah pakej pelancongan domestik bernilai RM6,560,795.60 telah terjual di Pameran Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) yang telah berlangsung dari 11 hingga 13 Mac 2016.

Jumlah keseluruhan nilai jualan ini telah menunjukkan peningkatan sebanyak 48.02% berbandingRM4,432,084.49 di MATTA Fair yang dianjurkan pada bulan Mac 2015. Ia merupakan satu rekod baru buat Tourism Malaysia kerana penjualan pakej pelancongan domestik ini telah melebihi sasaran yang telah ditetapkan iaitu sebanyak 17,896 pakej dengan jumlah nilai jualan sebanyak RM4.65 juta.

Penjualan pakej pelancongan domestik bagi MATTA Fair edisi Mac pada tahun ini juga telah menunjukkan peningkatan sebanyak 10% atau 23,973 pakej berbanding dengan MATTA Fair edisi September pada tahun lalu. Jumlah keseluruhan nilai jualannya juga telah menunjukkan peningkatan yang ketara iaitu sebanyak 18.96% berbanding RM5,515,089.84 pada September lalu.

Para peserta dari Kedah telah mencatatkan jualan tertinggi iaitu sebanyak RM1.7 juta, diikuti Terengganu (RM1.05 juta), Pahang (RM1.01 juta), Johor (RM855,524), dan Selangor (RM495,747).

Destinasi-destinasi pulau seperti Langkawi, Perhentian, Redang dan Pemanggil, serta Taman Negara Pahang, dan Desaru Fruits Farm mendapat sambutan yang menggalakkan pada pameran MATTA ini.

Kejayaan besar ini merupakan bukti keberkesanan kempen pelancongan domestik Tourism Malaysia yang terkini iaitu Cuti-Cuti 1Malaysia Dekat Je yang telah dilancarkan pada 17 Jun tahun lalu.

Sebanyak 110 organisasi telah menyertai MATTA Fair 2016 di bawah payung Tourism Malaysia. Organisasi-organisasi tersebut adalah terdiri daripada 55 pengusaha pelancongan, 33 pengusaha hotel/resort, dan 20 pengusaha produk pelancongan.

Pelancongan domestik telah menunjukkan pertumbuhan dua digit daripada segi kedatangan dan perbelanjaan pelancong bagi 2014. Jumlah pelancong domestik telah meningkat sebanyak 11.6%

kepada 60.7 juta orang berbanding 54.4 juta orangpada 2013, manakala perbelanjaan pelancong domestik pula meningkat sebanyak 16.3% kepada RM41.1 bilion berbanding RM35.6 bilion pada 2013.

-TAMAT-

Untuk mendapatkan siaran media, media info dan artikel berkaitan industri pelancongan di Malaysia, sila lawati Pusat Media di laman web Tourism Malaysia di http://www.tourismmalaysia.gov.my/.

LEMBAGA PENGGALAKAN PELANCONGAN MALAYSIA ATAU TOURISM MALAYSIA ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia. Tourism Malaysia bertanggungjawab untuk mempromosikan Malaysia di semua peringkat. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah membangun dengan pesatnya dan telah muncul sebagai pemain utama dalam dunia pelancongan antarabangsa. Pada 2014, Malaysia telah mencatatkan kedatangan seramai 27.4 juta orang pelancong asing dengan pendapatan pelancong sebanyak RM72 bilion sekaligus menjadikan pelancongan sebagi penyumbang kedua terbesar negara menerusi tukaran mata wang asing.

Melalui NKEA, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan telah mempertingkatkan kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan dan sektor swasta untuk memantapkan kedudukan negara sebagai destinasi pelancong antarabangsa yang terkemuka dan seterusnya menjadi pemacu ke arah mencapai sasaran ketibaan seramai 36 juta pelancong dengan pendapatan pelancongan sebanyak RM168 bilion pada 2020.

Sasaran yang telah ditetapkan di bawah NKEA Pelancongan akan tercapai melalui pelaksanaan 12 Projek Permulaan (EPPs) yang merangkumi lima tema: Kembara Mewah Mampu Milik; Kembara Alam Semula Jadi; Keseronokan Seisi Keluarga; Acara, Hiburan, Spa dan Sukan; dan Pelancongan Perniagaan.

Hubungi

Unit Media dan Publisiti
Shukri Hanafiah, Timbalan Pengarah Kanan, Bahagian Komunikasi Korporat

Tel: +603-8891 8767

Emel: shukrihanafiah@tourism.gov.my

Unit Editorial:
Puan Anis Rozalina Ramli, Senior Editor, Bahagian Komunikasi Korporat

Tel: +603-8891 8759

Emel:
anisramli@tourism.gov.my

Copyright © 2024 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use