Mar 17, 2014

JUALAN GRAND PRIX 1MALAYSIA 2014 DIHANGATKAN DENGAN AKTIVITI DAN TAWARAN HEBAT!

KUALA LUMPUR, 15 MAC 2014 – Musim membeli-belah tahun ini dimulakan dengan “deruman hebat” melalui pelancaran Jualan Grand Prix 1Malaysia 2014 pada hari ini, lebih awal daripada perlumbaan penuh aksi Formula 1 Grand Prix Malaysia Petronas yang akan berlangsung dari 28 hingga 30 Mac.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Dato’ Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz telah melancarkan
Jualan Grand Prix 1Malaysia 2014 dengan gegaran bunyi enjin Lotus Supercar yang dibawa khas ke tempat pelancaran, di Sunway Pyramid, Bandar Sunway, Selangor.

Majlis pelancaran tersebut turut disaksikan oleh 21 agen pelancongan dan media antarabangsa dari Hong Kong, Filipina, Korea Selatan dan Thailand yang dibawa khas oleh Tourism Malaysia di bawah program Program Lawatan Suai Kenal MEGA Malaysia (Mega Fam).

Dianjurkan oleh Tourism Malaysia melalui Sekretariat Membeli-belah Malaysia yang merupakan cabang promosi membeli-belah, acara Jualan Grand Prix 1Malaysia 2014 bermula dari hari ini hingga 6 April 2014.

“Program pada hari ini adalah sebagai gambaran kepada aksi hebat pelumba kereta antarabangsa yang bakal menanti penonton di Litar Sepang dalam edisi ke-16 Formula 1 Grand Prix Malaysia Petronas,” kata Dato’ Seri Mohamed Nazri.

“Acara F1 pada tahun lepas telah menarik seramai kira-kira 123,400 penonton ke Litar Sepang sepanjang tiga hari ia berlangsung. Lebih tiga puluh peratus daripada mereka ialah pelancong asing yang datang dari seluruh dunia. Tahun ini, kami menjangkakan lebih daripada 125,000 orang, termasuk sejumlah besar pelancong yang akan datang ke negara ini untuk menonton perlumbaan di Sepang sambil menikmati percutian di Malaysia sempena Tahun Melawat Malaysia 2014,” sambung beliau.

Pelbagai acara turut diadakan di tapak pelancaran bagi menambahkan lagi kemeriahan majlis pelancaran seperti Pameran Lotus Supercars, Salebration Explorace anjuran Pusat Beli-Belah Sunway, Pertunjukan Fesyen oleh Pink Jambu yang terkenal dengan rekaan batik kontemporari, Pertunjukan Fesyen PUMA (pakaian sukan) dan persembahan oleh ASWARA serta artis tempatan.

Para pengunjung ke karnival ini juga berpeluang untuk melawat pelbagai gerai pameran yang memaparkan produk dan program berkaitan pelancongan seperti Persatuan Homestay Selangor (Pameran Inap desa di Selangor); Tourism Malaysia Selangor dan Tourism Malaysia Kuala

Lumpur (Program Shopping Hunt); Beaubelle Academy (Perkhidmatan dan Latihan Spa); Mr Pie Man (hidangan pai rendang yang unik); Acara Berbasikal CC1M (basikal disediakan oleh Sen Aik Trading Sdn Bhd); dan MasterCard Worldwide. MasterCard ialah kad rasmi Jualan Grand Prix 1Malaysia sejak 14 tahun berturut-turut. Pada tahun ini, MasterCard akan terus menawarkan promosi hebat kepada semua pemegang kadnya sepanjang acara jualan berlangsung.

”Kami berbangga dengan penglibatan kami dalam acara Jualan Grand Prix 1Malaysia yang hebat ini. Acara ini diatur untuk memikat penduduk tempatan serta pelancong yang mahukan pengalaman membeli-belah yang pelbagai di samping menikmati aksi sukan Formula 1,” kata Ketua Negara MasterCard Malaysia dan Brunei Safdar Khan.

“Sebagai kad rasmi Jualan Grand Prix 1Malaysia selama 14 tahun berturut-turut, kami dengan sukacitanya memberi tawaran eksklusif sekali lagi kepada semua pemegang kad kami agar mereka dapat menikmati pelbagai pemberian dan hadiah yang menarik sepanjang musim Grand Prix. Dengan kerjasama Tourism Malaysia dan Sekretariat Membeli-belah Malaysia, kami yakin bahawa acara jualan ini bertepatan dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2014 untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan serba lengkap,” sambung beliau.

Jualan Grand Prix 1Malaysia 2014 ialah salah satu daripada tiga acara jualan utama negara. Dua acara jualan yang lain ialah Karnival Jualan Mega 1Malaysia dari Jun hingga September dan Jualan Akhir Tahun 1Malaysia dari November hingga Disember yang akan menutupi musim jualan tahunan dengan hebatnya.

Demam perlumbaan Formula 1 akan turut disebarkan oleh Tourism Malaysia ke pelbagai lokasi beli-belah utama di seluruh negara. Pusat beli-belah yang mengambil bahagian akan menawarkan diskaun sehingga 70 peratus dan pelbagai tawaran promosi menarik, selain menganjurkan pelbagai acara dan aktiviti untuk mempertingkatkan kehebatan musim jualan Grand Prix. Para pembeli dan pelancong akan dapat menikmati pelbagai tawaran, pilihan barangan dan pengalaman membeli-belah yang terbaik, apatah lagi Kuala Lumpur telah disenaraikan sebagai Bandar Ke-4 Terbaik untuk membeli-belah di dunia oleh CNN sekaligus menjadikan ibu negara kita sebagai destinasi beli-belah terbaik di Asia Tenggara dan antara yang terunggul di Asia.

Tourism Malaysia juga telah mengedarkan risalah Jualan Grand Prix 1Malaysia 2014 bertajuk “Ready, Steady, Shop” yang mengandungi butiran mengenai acara dan aktiviti membeli-belah sepanjang musim jualan Grand Prix di lokasi beli-belah utama di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Johor, Sarawak dan Sabah. Turut ditonjolkan ialah acara-acara yang berlangsung berhampiran Menara Berkembar Petronas dan KLCC. Risalah percuma ini boleh didapati di semua pejabat Tourism Malaysia dan Pusat Maklumat Pelancongan.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:-
Ms Salinda Sany, Penolong Pengarah Kanan, Sekretariat Membeli-belah Malaysia
Tel: + 603-8891 8531
Emel: salinda@tourism.gov.my


SEPINTAS LALU:
•    Jumlah kemasukan pelancong ke Malaysia pada 2013 mencecah 25.7 juta orang, meningkat sebanyak 2.7% berbanding 25 juta orang pada 2012.
•    Tahun 2013 mencatatkan keseluruhan pendapatan pelancongan sebanyak RM65.44 bilion, meningkat sebanyak 8.1% berbanding RM60.6 bilion yang diperolehi pada 2012.
•    Tahun lepas, pelancong ke Malaysia telah membelanjakan sebanyak RM19.76 billion untuk membeli-belah, meningkat 6.3% berbanding RM18.59 bilion yang dibelanjakan pada 2012.
•    Sektor membeli-belah menyumbang 30.2% daripada jumlah keseluruhan pendapatan pelancongan pada 2013 berbanding 30.7% dari RM60.6 bilion yang diperolehi pada 2012.
•    Aktiviti membeli-belah memberi sumbangan kedua tertinggi dalam hasil pelancongan selepas sektor penginapan.
•    Malaysia telah mensasarkan kedatangan pelancong seramai 36 juta orang dengan pendapatan sebanyak RM168 bilion pada 2020.

MAKLUMAT MASTERCARD: MasterCard (NYSE: MA), www.mastercard.com adalah sebuah syarikat teknologi dalam industri pembayaran global. Syarikat ini mengendalikan jaringan memproses pembayaran terpantas di dunia, menghubungi para pengguna, institusi kewangan, peruncit, serta sektor kerajaan dan perniagaan di dalam lebih daripada 210 negara dan daerah. Produk dan kaedah penyelesaian MasterCard memudahkan aktiviti perdagangan seperti membeli-belah, melancong, menjalankan perniagaan dan menguruskan hal-hal kewangan yang semuanya juga menjadi lebih selamat dan cekap untuk semua. Ikuti MasterCard di Twitter @MasterCardNews, sertai perbincangan di Blog Cashless Conversations dan melanggan untuk mendapatkan berita terkini.

TAMAT

Untuk mendapatkan siaran media, media info dan artikel berkaitan industri pelancongan di Malaysia, sila lawati Pusat Media di laman web Tourism Malaysia di http://www.tourismmalaysia.gov.my/

LEMBAGA PENGGALAKAN PELANCONGAN MALAYSIA ATAU TOURISM MALAYSIA
ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia. Tourism Malaysia bertanggungjawab untuk mempromosikan Malaysia di semua peringkat. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah membangun dengan pesatnya dan telah muncul sebagai pemain utama dalam dunia pelancongan antarabangsa. Pada 2013, Malaysia telah mencatatkan kedatangan seramai 25.7 juta orang pelancong asing dengan pendapatan pelancongan sebanyak RM65.4 bilion sekaligus menjadikan pelancongan sebagi penyumbang kedua terbesar negara menerusi tukaran mata wang asing dan penyumbang keenam terbesar kepada Pendapatan Negara Kasar (PNK).

Tahun ini, Malaysia menyambut Tahun Melawat Malaysia (TMM) buat kali keempat dengan tema “Celebrating 1Malaysia Truly Asia”. Kempen promosi TMM 2014 dipenuhi dengan pelbagai acara istimewa dan aktiviti-aktiviti menarik sepanjang tahun. Penganjuran kempen TMM 2014 dijangka akan dapat membantu kerajaan mencapai sasaran untuk menerima kedatangan pelancong seramai 36 juta orang dengan pendapatan sebanyak RM168 bilion menjelang 2020 seperti yang digariskan dalam Pelan Transformasi Pelancongan Malaysia 2020.

Hubungi:
Unit Perhubungan Media:

Encik Razaidi Abd Rahim, Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Komunikasi dan Publisiti
Emel: razaidi@tourism.gov.my

Unit Editorial:
Puan Anis Rozalina Ramli, Senior Editor, Bahagian Komunikasi dan Publisiti
Emel: anisramli@tourism.gov.my


Copyright © 2024 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use