Nov 17, 2014

JUALAN AKHIR TAHUN 1MALAYSIA MEMBELI-BELAH, MENJAMU SELERA DAN BERSANTAI

KUALA LUMPUR, 15 Nov 2014 – Jualan terbesar dan terhebat di Malaysia kini kembali pada musim perayaan dan cuti panjang hujung tahun. Jualan Akhir Tahun 1Malaysia atau 1Malaysia Year-End Sale (1MYES) yang akan berlangsung dari 15 November 2014 hingga 4 Januari 2015 ini menawarkan pengalaman membeli-belah, menjamu selera dan bersantai  yang terbaik di seluruh negara. 

1MYES 2014 telah dilancarkan oleh Timbalan Pengerusi Tourism Malaysia, YB Dato’ Maznah Mazlan hari ini di Balai Seni Visual Negara, Kuala Lumpur.  Majlis ini dihadiri oleh para jemputan, termasuk para penggiat industri pelancongan, peruncit serta media tempatan.

Ia turut dihadiri oleh 277 peserta Program Suai Kenal (Mega FAM) Tourism Malaysia. Mereka terdiri daripada media antarabangsa dan ejen-ejen pelancongan dari 26 negara seperti Arab Saudi, Australia, Belanda, Brunei, Bulgaria, China, Emiriah Arab Bersatu, Filipina, India, Indonesia, Iran, Itali, Jepun, Jerman, Kazakhstan, Kemboja, Korea, Mesir, Myanmar, New Zealand, Republik Czech, Thailand, Turki, Uzbekistan, Vietnam, dan Yaman. Para peserta Mega Fam berpeluang untuk menyaksikan sendiri suasana membeli-belah yang meriah di Malaysia serta menikmati pelbagai tarikan pelancongan yang terdapat di negara ini. 

Sebelum majlis pelancaran tersebut berlangsung, para peserta Mega Fam telah menghadiri sebuah Seminar Destinasi di Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur untuk mendengar penerangan daripada wakil Tourism Malaysia, Themed Attractions and Resorts Malaysia, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Express Rail Link (ERL) mengenai perkembangan terkini industri pelancongan negara. Ia diikuti dengan majlis makan tengah hari bersama Timbalan Pengarah (Promosi) Tourism Malaysia Dato’ Haji Azizan Noordin. 

Pada 14 Nov, para peserta Mega Fam telah berpeluang menyusuri Laluan Beli-belah Kuala Lumpur-Bukit Bintang-KLCC (BBKLCC) serta menikmati persembahan teater Mud The Musical di Panggung Bandaraya dan konsert Licence to Thrill: A Bond Concert di Istana Budaya.

Pada majlis pelancaran 1MYES, terdapat Pameran Seni & Kraf anjuran Karyaneka yang melibatkan demonstrasi menenun songket, mencanting batik, seni membuat tekad, dan berinai serta lukisan karikatur Malaysia. Selain itu, terdapat juga persembahan oleh artis-artis tempatan dan pertunjukan oleh pereka-pereka fesyen sempena Fesyen Hujung Minggu Kuala Lumpur 2014.  
 
Acara Fesyen Hujung Minggu Kuala Lumpur 2014 sedang berlangsung di Balai Seni Visual Negara dari 12 hingga 16 November. Antara acara kemuncaknya ialah paparan batik canting Malaysia yang dicipta khusus oleh pereka fesyen terkenal Dame Zandra Rhodes. Ia adalah hasil usaha sama Karyaneka dengan pereka antarabangsa yang merupakan julung-julung kalinya diadakan. Karyaneka menyasarkan untuk memasarkan barangan Malaysia di persada antarabangsa dan pada masa yang sama menarik minat para pelawat luar untuk menyaksikan acara Fesyen Hujung Minggu Kuala Lumpur 2014 serta datang ke Malaysia pada musim jualan 1MYES. 

Antara acara hebat 1MYES 2014 termasuklah jualan seluruh negara yang akan menyaksikan pelbagai kejutan yang dibuat oleh pusat-pusat beli-belah, kempen tebusan dan hadiah, tawaran diskaun, dan aktiviti istimewa cuti sekolah akhir tahun untuk seisi keluarga serta jualan istimewa musim Krismas dan Tahun Baru. Ia juga masa yang terbaik untuk menikmati pelbagai sajian istimewa Malaysia – dari makanan penjaja tempatan hinggalah ke sajian yang melambangkan Malaysia Truly Asia serta pelbagai sajian timur dan barat yang menyelerakan.  

1MYES adalah satu daripada tiga musim membeli-belah utama negara selain daripada Jualan 1Malaysia Grand Prix 2014 pada bulan Mac dan Karnival Jualan Mega 1Malaysia dari Jun ke September. Kempen-kempen ini telah membantu dalam usaha mempertingkatkan perbelanjaan pelancong di dalam negara dan membawa manfaat besar kepada sektor peruncitan tempatan. 

Fiesta membeli-belah hujung tahun ini menjadi pendahulu kepada acara Tahun Festival Malaysia 2015 (MyFest 2015). Apabila tirai Tahun Melawat Malaysia 2014 berlabuh, negara telah bersedia pula untuk menyambut 2015 dengan kempen kebangsaan yang baru bertemakan “Endless Celebrations”. 

MyFest 2015 dijangka akan dapat membantu Malaysia mencapai sasaran ketibaan pelancong seramai 29.4 juta orang dengan pendapatan pelancongan sebanyak RM89 bilion pada 2015. Seiring dengan Tahun Melawat Malaysia 2014, kedua-dua kempen ini menjadi pemacu ke arah mencapai sasaran ketibaan seramai 36 juta pelancong dengan pendapatan pelancongan sebanyak RM168 bilion pada 2020, berdasarkan Pelan Transformasi Pelancongan Malaysia. 

FAKTA SEPINTAS LALU:

-  Jumlah ketibaan pelancong ke Malaysia pada 2013 mencecah 25.7 juta, meningkat sebanyak 2.7% berbanding 25.0 juta pada 2012.
- Pendapatan pelancongan pada tahun 2013 adalah sebanyak RM65.4 bilion, meningkat 8.1% peratus berbanding RM60.6 bilion yang diperolehi pada 2012.
- Pelancong ke Malaysia telah membelanjakan sebanyak RM19.8 bilion untuk membeli-belah, pada 2013, meningkat 6.3% berbanding RM18.6 bilion yang dibelanjakan pada 2012.
-  Sektor peruncitan menyumbang 30.2 peratus daripada jumlah keseluruhan pendapatan pelancongan pada 2013 berbanding 30.7 peratus pada 2012.  
-  Aktiviti membeli-belah memberi sumbangan kedua tertinggi dalam jumlah keseluruhan perbelanjaan pelancong selepas sektor penginapan. 
-  Kuala Lumpur disenaraikan sebagai Destinasi Beli-belah ke-2 Terbaik di Asia Pasifik oleh Global Shoppers Index dan Bandar raya Beli-belah ke-4 Terbaik dunia (selepas New York, Tokyo dan London) untuk dua tahun berturut-turut (2012-2013) oleh rangkaian berita global CNN. 

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:-
Ms Salinda Sany,  Penolong Pengarah Kanan, Sekretariat Shopping Malaysia
Tel: + 603-8891 8531
Email: salinda@tourism.gov.my      

-TAMAT-   

Untuk mendapatkan siaran media, media info dan artikel berkaitan industri pelancongan di Malaysia, sila lawati Pusat Media di laman web Tourism Malaysia di http://www.tourismmalaysia.gov.my/.

LEMBAGA PENGGALAKAN PELANCONGAN MALAYSIA ATAU TOURISM MALAYSIA ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia. Tourism Malaysia bertanggungjawab untuk mempromosikan Malaysia di semua peringkat. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah membangun dengan pesatnya dan telah muncul sebagai pemain utama dalam dunia pelancongan antarabangsa. Pada 2013, Malaysia telah mencatatkan kedatangan seramai 25.7 juta orang pelancong asing dengan pendapatan pelancongan sebanyak RM65.4 bilion sekaligus menjadikan pelancongan sebagi penyumbang kedua terbesar negara menerusi tukaran mata wang asing dan penyumbang keenam terbesar kepada Pendapatan Negara Kasar (PNK).

Malaysia sedang menyambut Tahun Melawat Malaysia (TMM) buat kali keempat pada 2014 dengan tema Celebrating 1Malaysia Truly Asia”. Promosi negara diteruskan dengan penganjuran Tahun Festival Malaysia (MyFest) pada 2015 dengan tema “Endless Celebrations” yang menekankan kepada pelbagai festival yang disambut oleh masyarakat yang berbilang bangsa. Kedua-dua kempen ini menjadi pemacu ke arah mencapai sasaran ketibaan seramai 36 juta pelancong dengan pendapatan pelancongan sebanyak RM168 bilion pada 2020, berdasarkan Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA). 

Melalui NKEA, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan telah mempertingkatkan kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan dan sektor swasta untuk memantapkan kedudukan negara sebagai destinasi pelancong antarabangsa yang terkemuka. Sasaran yang telah ditetapkan di bawah NKEA Pelancongan akan tercapai melalui pelaksanaan 12 Projek Permulaan (EPPs) yang merangkumi lima tema: Kembara Mewah Mampu Milik; Kembara Alam Semula Jadi; Keseronokan Seisi Keluarga; Acara, Hiburan, Spa dan Sukan; dan Pelancongan Perniagaan.         
 
Hubungi:
Unit Perhubungan Media:

Cik Azizah Aziz, Timbalan Pengarah Kanan, Bahagian Komunikasi dan Publisiti
Tel: +603-8891 8752
Emel:
azizahaziz@tourism.gov.my 

Unit Editorial:
Puan Anis Rozalina Ramli, Senior Editor, Bahagian Komunikasi dan Publisiti
Tel: +603-8891 8759
Emel:
anisramli@tourism.gov.my  

Copyright © 2025 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use